Insan & Komuniti 31 Jan, 2021

Empat keluarga tabah hadapi ujian! Kediaman musnah dalam kejadian kebakaran mengejut di Gombak

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Isteri dan salah seorang anak Zaki Hassan Abdul Rahim di hadapan rumah mereka yang musnah terbakar di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, Kuala Lumpur. - Kredit foto: FB MB Selangor, MAIWP, LZS dan YIDE.


UJIAN getir terpaksa dilalui empat keluarga di kawasan Gombak dalam menjalani kehidupan harian terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini berikutan rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran berasingan. Alhamdulillah, tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Namun mereka tetap tabah dan sabar dengan bencana yang terjadi sekalipun hanya terpaksa tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu.


Lagi kisah-kisah duka berkaitan kebakaran:

https://kitareporters.com/search?search=kebakaran



Bagi Zaki Hassan Abdul Rahim, beliau tetap bersyukur kerana dia dan keluarga terselamat biarpun rumahnya yang terletak di Lot 1414 Lorong Haji Kassim dalam Zon Paya di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran itu.

Pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 pagi Jumaat 29 Januari 2021 itu, keseluruhan rumah di mana struktur binaannya separuh batu itu musnah sama sekali.

Pihak bomba, polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Belia Warisan dan Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) sama-sama membantu memadam kebakaran, selain penduduk kampung.


Zaki Hassan Abdul Rahim (tiga dari kanan) menerima sumbangan bantuan kecemasan dari pihak pengurusan Darul Kifayah.


Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Zaki Hassan, Darul Kifayah salah sebuah sekolah kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di mana dua orang anaknya bersekolah di situ telah menyumbang bantuan.

Melalui bantuan kecemasan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai yang disampaikan oleh pihak pengurusan sekolah berkenaan pada Sabtu 30 Januari 2020 diharap dapat membantu mengurangkan beban keluarga beliau menjalani kehidupan harian.

Pihak Pengurusan Darul Kifayah berharap keluarga Zaki Hassan,Isteri dan anak-anak terus tabah menghadapi ujian yang berlaku dan didoakan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala. 


Sebuah daripada tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Batu 10, Gombak, Selangor dipercayai berpunca litar pintas.


Sementara itu, tiga keluarga di Batu 10, Gombak, Selangor tinggal sehelai sepinggang bila rumah mereka musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pada awal pagi Isnin 25 Januari 2021 lalu.

Antara tiga keluarga mangsa kebakaran tersebut termasuk seorang tukang jahit, Kamariah Man.

Menurut Kamariah, berikutan kejadian tersebut, semua mesin jahit miliknya yang diletakkan di ruang tamu hangus dijilat api. Juga termasuk beberapa helai pakaian dan kain tempahan pelanggan.

Pada kejadian itu, unit RELA, polis, TNB dan bomba bekerjasama memadam api kebakaran. Enam anggota bomba Selayang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian.


Salah seorang mangsa kebakaran di Batu 10 Gombak, Selangor menerima sumbangan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.


Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan, dua agensi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menghulurkan bantuan kepada ketiga-tiga keluarga yang terlibat.

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyumbang bantuan kewangan serta enam beg kit penjagaan peribadi bagi setiap keluarga iaitu tuala, kain pelekat, sepasang baju harian, selimut dan kit pembersihan serta penjagaan diri.

Pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bantuan awal menyumbang RM500 dan bakinya akan disalurkan terus ke akaun mangsa kebakaran berkenaan.


Amiruddin Shari (tiga dari kanan) meyantuni mangsa kebakaran di Batu 10,Gombak.Mereka ditempatkan sementara di dewan komuniti kampung berkenaan.


Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari pada hari yang sama turut menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada ketiga-tiga mangsa yang ditempatkan di dewan komuniti kampung berkenaan.

Beliau berharap mereka sentiasa tabah dan bersabar dengan ujian ditempuh.

Mangsa kebakaran juga turut menerima bantuan sumbangan pelbagai pihak termasuk agensi dan orang perseorangan bagi mengurangkan beban mereka lebih-lebih lagi semasa PKP 2.0 .

Dengan adanya bantuan-bantuan tersebut diharap selain meringankan beban juga mampu menghilangkan keresahan yang dihadapi.Jadikanlah ujian yang berlaku ketentuan takdir.Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan iman. - KitaReporters 


Wakil Yayasan Islam Darul Ehsan menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran (kanan) di Batu 10, Gombak, Selangor.

0
0
0
0
0
You will be interested