Insan & Komuniti 20 Jul, 2020

Kalau tak nak bagi kat saya! Abby Abadi sedih kes buang bayi

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

SEMALAM, Ahad 19 Julai 2020, rakyat Malaysia disajikan berita kurang enak dan menyentap hati apabila terdapat dua kes buang bayi baru lahir.  Pertama, bayi lelaki di Bercham dekat Ipoh, dan kedua, bayi perempuan di Ampang dekat Kuala Lumpur. Alhamdulillah, kedua-dua bayi ditemui selamat!! : KitaReporters

Bayi malang ini dicampak dari tingkap bilik berketinggian kira-kira 9 meter oleh ibu kandungnya yang berusia 16 tahun.


Kes pertama melibatkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemui berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham dekat Ipoh, Perak.

Lebih malang lagi, bayi berkenaan dicampakkan sendiri oleh ibunya yang berusia 16 tahun dari tingkap biliknya yang berketinggian kira-kira sembilan meter.

Manakala kes kedua pula ialah seorang bayi perempuan yang juga masih bertali pusat ditemui dalam kotak air mineral di persimpangan Jalan Kabus-Jalan Bintang di Ampang dekat Kuala Lumpur

Satu lagi kes pembuangan bayi yang ditemukan dalam kotak air mineral.


Nasib baik kedua-keduanya dilaporkan selamat walaupun kes pertama pada mulanya dalam keadaan kritikal.

Kes ini bukan sahaja meruntun perasaan tetapi juga menyebabkan masyakarat berang kerana individu terbabit tergamak berbuat sedemikian kepada bayi yang tidak berdosa!

Pelakon dan juga bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi dilihat agak terkejut dengan kejadian tidak berperikemanusiaan itu, sementelah dia selama ini berjuang menyelamatkan bayi-bayi malang seperti ini.

Umum mengetahui, sejak dulu lagi Abby gigih menyelamatkan bayi-bayi yang baru lahir daripada dibuang dengan menolong memberikannya kepada keluarga angkat baharu.

Malah, dia sendiri mengambil tiga orang anak angkat hasil perjuangannya itu. 

Justeru, Abby sentiasa merayu dan menghebahkan dalam media sosial mana-mana wanita atau gadis yang tidak mahu menjaga anak yang baru dilahirkan atas sebab apa-apa sekalipun, datang atau hubunginya segera.

Tiga anak angkat Abby Abadi kini membesar dengan sihat dan comel.


“Ya Allah! Kan dah cakap tak nak bagi dekat saya. Tak kisah apapun statusnya, saya akan usahakan yang terbaik untuk masa depan baby ni bersama yang sudi menjaga mereka sebaik mungkin dan penuh kasih sayang.

“Saya mohon yang tak sengaja termengandung, yang mengandung tapi tak mampu nak jaga, yang termengandung anak dah berlebih atau memang tak nak baby dalam perut tu, kalau segan atau malu nak ke badan-badan yang bertanggungjawab, sayalah orang yang perlu dicari.

“Jangan dibuang, jangan dibunuh. Fikir panjang sikit adik kakak. 

"Berat hukumannya kalau didapati bersalah. Tak kasihankan diri sendiri, kasihankanlah orang di sekelilingmu,” rayu Abby.



Ramai yang memuji kesungguhan Abby menyelamatkan bayi-bayi yang baru lahir daripada menjadi mangsa kekejaman ibu kandung sendiri. 

Sekiranya malu atau takut, hubungi sahaja Abby menerusi Instagramnya.

Dalam hal ini, masyarakat juga memainkan peranan untuk menghebahkan niat dan usaha murni Abby ini agar diketahui ramai. - KitaReporters

2
1
2
0
1
You will be interested