KETIKA negara dilanda wabak COVID-19 dan petugas barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat bertungkus lumus berkorban nyawa ada segelintir individu yang bersikap mementingkan diri sendiri. Dan berbangga dengan apa yang mereka lakukan!! : KitaReporters
Seorang individu memaparkan dalam akaun Twitter miliknya satu sanitizer yang diambil dari hospital.
Bukan sahaja tidak membantu tetapi mereka menyusahkan petugas apabila mencuri sanitizer yang diletakkan di hospital dan klinik yang begitu penting pada masa ini dan mempunyai bekalan terhad.
Sudahlah mencuri, mereka dengan bangganya memaparkan dalam media sosial mengenai 'kehebatan' mereka membawa balik sanitizer ketika orang ramai tidak dapat membelinya kerana kehabisan stok.
Susulan itu juga beberapa hospital termasuklah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang mengambil inisiatif mengikat sanitizer bagi mengelakkan dicuri individu tidak bertanggungjawab.
Pakar Ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamed berkata, dalam keadan genting ini banyak 'sanitizer' di hospital dicuri pesakit dan pelawat hospital.
Katanya, sudahlah terpaksa berhadapan pelbagai cabaran dan risiko termasuklah ditipu pesakit yang mulanya menyatakan tidak pernah kontak dengan individu positif tetapi akhirnya mengaku sebaliknya, kini ditambah lagi dengan curi.
"Ini harta rakyat dan kerajaan dan bukannya milik peribadi anda!! Adakah anda fikir sanitizer yang bukan hak anda akan melindungi anda daripada COVID-19?
"Kakitangan kesihatan berkorban membahayakan nyawa, masa dan tenaga untuk anda.
"Anda pula langsung tidak peduli, pentingkan diri dan bodoh sombong,"katanya dalam laman sosial pada Jumaat, 20 Mac 2020.
Pakar Ortopedik Hoshas, Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamed
Sementara itu, seorang jururawat Klinik Kesihatan Indera Mahkota, Rafidah Hamzah berkata, bukan sahaja hospital tetapi klinik kesihatan turut mengalami masalah kehilangan sanitizer.
"Samalah dengan kami di klinik kesihatan masa rehat sanitizer kena curi," katanya.
Sementara itu, Nur Afisah Humaira Piraveena berkata sebagai rakyat Malaysia, kes seperti itu tidak harus berlaku kerana bukan sahaja menyusahkan petugas tetapi juga memberikan pandangan negatif terhadap orang ramai.
Katanya, disebabkan segelintir individu tidak bertanggungjawab menyebabkan kepercayaan petugas hospital kepada orang awam yang dtang terjejas.
"Patutlah masa saya ke hospital nak sapu sanitizer sebelum keluar kawasan itu orang kaunter tengok saya lain macam.
"Sebabkan seorang semua kena!!" katanya. - KitaReporters
Sebuah hospital mengambil inisiatif mengikat sanitizer bagi mengelakkan dicuri individu tidak bertanggungjawab.