Insan & Komuniti 06 May, 2020

Bantuan keperluan bagi bapa tunggal! ABM baiki bumbung rumah

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Bapa tunggal kepada empat anak lelaki yang tinggal di Felda Bukit Tangga menyediakan makanan untuk berbuka dan bersahur sejak kematian isterinya tujuh tahun lalu. Ahmad Nasir Othman, 53, yang berkerja di sebuah kilang di Bukit Kayu Hitam ketika ditemui berkata, tugas menyara hidup anak-anak itu telah menjadi kewajipannya sejak tujuh tahun lalu. : KitaReporters

Eksekutif Latihan ABM Habibah Hassan (empat dari kanan) dan dua tenaga pengajar akademi itu Mohd Rosdi Husin dan Izzuddin Ramizon menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Nabil Ahmad Nasir.


"Saya tidak keseorangan menguruskan kehidupan ini kerana anak-anak sering membantu termasuk anak kedua saya yang mengambil tanggungjawab memasak sekiranya saya lewat pulang kerumah," katanya ketika ditemui semasa kunjungan Eksekutif Latihan Akademi Binaan Malaysia (ABM), Habibah Hassan dan dua tenaga pengajar akademi itu Mohd Rosdi Husin dan Izzuddin Ramizon.

Kunjungan mereka ialah untuk menyampaikan sumbangan keperluan dapur dan juga datang untuk melihat sendiri keadaan rumah anak sulong Ahmad Nasir yang belajar di ABM Sintok.

 

Ahmad Nasir Othman (kanan) sedang menunjukkan bumbung yang bocor kepada Habibah.


"Sebelum ini, kami telah maklum mengenai keadaan rumah pelajar Kursus Penjaga Jentera A1 Mohamad Nabil Ahmad Nasir," kata Habibah.

Justeru, kunjungan ini bukan sahaja untuk menyampaikan sumbangan keperluan dapur malah untuk melihat dan berbincang bagi memperbaiki bumbung rumah pelajar mereka yang bocor itu.

ABM sebelum ini banyak menjalankan kerja kemasyarakatan termasuk pembinaan rumah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terbakar sebelum Ramadan tahun lalu.

Oleh itu kepakaran dan kemahiran yang mereka perolehi semestinya dapat membantu untuk membaik pulih rumah pelajar mereka sendiri terutama pada bulan Ramadan ini.

Bumbung yang bocor akan dibaiki oleh pelajar ABM Wilayah Utara Sintok. 


Dalam pada itu, Habibah yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara Mohd Nazri Zakaria berkata, lebih 42 keluarga terdiri daripada keluarga susah termasuk pelajar dan staf menjadi sasaran mereka untuk mengagihkan barangan keperluan dapur untuk digunakan terutama pada bulan puasa ini.

Semua barangan yang dibeli ini ialah hasil kutipan dalam kalangan staf dan pelajar ABM. - KitaReporters

Sumbangan staf dan pelajar ABM turut diagihkan kepada beberapa penduduk yang memerlukan sumbangan.

10
1
3
0
0
You will be interested