Insan & Komuniti 12 Apr, 2020

TERIMA KASIH!! ADA TANDAS, RUANG SOLAT DI SJR

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this

WALAU dalam apa keadaan sekalipun kita pastinya tidak akan boleh mengelak sekiranya mahu melepaskan 'hajat' sama ada membuang air besar atau kecil. Bagi orang Islam pula solat lima waktu menjadi kewajipan dalam apa juga keadaan. - KitaReporters

Sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Pahang.


Dalam suasana  pelbagai bantuan dan inisiatif dilaksanakan, mungkin ada yang terlepas pandang keperluan barisan hadapan iaitu polis dan tentera yang mengadakan sekatan jalan raya (SJR) selama 24 jam.

Kemudahan tandas dan ruang solat amat penting dan menjadi keperluan mereka yang melaksanakan tugas 24 jam mengawal sekatan jalan raya dan berhadapan dengan risiko musuh yang tidak kelihatan.

Ketika kita bersama ahli keluarga berada di rumah dan dapat tidur nyenyak pada waktu malam pasukan keselamatan ini masih meronda dan bekerja demi kita semua.

Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh (dua dari kiri)  bersama Pegawai Daerah Datuk Mohd. Zulkifli Hashim (kanan) dan Ketua Polis daerah Superintenden Yusof Unis (dua dari kanan) pada penyerahan tandas bergerak di Bentong, Pahang pada 11 April 2020.


Atas dasar inilah Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh menghulurkan sumbangan tandas bergerak yang amat diperlukan olah petugas-petugas di sekatan jalan raya. 

Sumbangan yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah, Datuk Mohd. Zulkiflli Hashim itu sememangnya amat dinantikan petugas berkenaan yang sebelum ini mungkin terpaksa menahan 'hajat' dan bergegas mencari tandas di kawasan yang paling hampir.

Tandas bergerak yang ditempatkan di sekatan jalan raya.


Sebanyak lima tandas bergerak disumbangkan iaitu di SJR Batu 4, SJR berhampiran Kilang Lee Rubber, SJR Benus dan dua SJR di Kampung Chinta Manis di Bentong Pahang. 

Jasvir berkata, sumbangan tandas bergerak itu dilihat amat diperlukan oleh pasukan petugas yang mengawal sekatan jalan, sekali gus dapat memberi keselesaan kepada petugas barisan hadapan berkenaan.

Datuk Jasvir Singh Ram Singh


"Jasa petugas sekatan jalan raya termasuk polis dan tentera amat besar kerana mereka berkorban masa serta tenaga siang dan malam selain berhadapan risiko COVID-19.

"Sebagai rakyat Malaysia saya tergerak memberikan sumbangan ini. Sumbangan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka," katanya semasa menyerahkan sumbangan tandas bergerak di Bentong, Pahang pada Sabtu, 11 April 2020.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Yusof Unis


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Yusof Unis berkata, tandas bergerak berkenaan sememangnya diperlukan petugas keselamatan yang melakukan sekatan jalan raya 24 jam dalam tempoh yang lama pada masa ini.

"Terima kasih kepada Datuk Jasvir Singh yang menyumbangkan tandas bergerak dan juga Pegawai Daerah, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim yang sentiasa memberi perhatian dalam pelbagai aspek,"katanya. 

Khemah tertutup yang turut digunakan untuk menunaikan solat di sekatan jalan raya di Raub.


Dalam pada itu, Majlis Daerah Raub  (MDR) turut bertindak proaktif menyediakan khemah terbuka dan khemah tertutup di setiap sekatan jalan raya di daerah Raub, Pahang.

Khemah tertutup yang boleh digunakan untuk solat lima waktu itu juga disediakan dengan sempurna, malah diletak pelapik lantai bagi memberikan keselesaan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Raub, Datuk  Mohamad Shahid Ismail


Yang Dipertua MDR, Datuk Mohamad Shahid Ismail berkata, pihaknya turut menyediakan tangki air statik untuk memudahkan petugas mengambil air sembahyang dan sebagainya.

"Memandangkan kawasan sekatan jalan raya di daerah ini berhampiran dengan kemudahan tandas awam sama ada di stesen minyak atau kawasan rehat kita tidak menyediakan tandas bergerak.

"Bagaimanapun, kita menyelenggara tandas-tandas ini bagi memastikan keselesaan petugas yang terlibat," katanya di Raub, Pahang pada Sabtu, 11 April 2020.

Kemudahan air untuk berwuduk turut disediakan di sekatan jalan raya di Raub Pahang


 

Tangki air statik diletakkan di sekatan jalan raya di Raub Pahang.


Tambahnya, pihak MDR akan terus memastikan keselesaan semua petugas barisan hadapan dan akan memberikan bantuan dan sokongan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, sebanyak lima sekatan jalan raya dilaksanakan di Raub yang mana sepanjang penugasan tiada rungutan diterima daripada petugas PDRM dan ATM berkaitan kebajikan mereka.

 "Dari sudut kelengkapan dan keperluan-keperluan disediakan di SJR amat baik dan makanan serta minuman juga berkualiti," ujarnya. - KitaReporters

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Kama Azural Mohamed  

3
0
0
1
1
You will be interested