Insan & Komuniti 26 May, 2020

Memandu mabuk!! Jadi 'lesen' membunuh tanpa hukuman berat??

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this

KEMATIAN akibat kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk bagaikan tidak berkesudahan sehingga ada yang menganggap seolah-olah memandu mabuk sudah menjadi 'lesen'  membunuh  yang tidak dikenakan hukuman berat. : KitaReporters

Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu oleh seorang pemandu yang dipercayai mabuk dan memandu melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang.


Di Kuantan, Pahang perjalanan seorang lelaki yang bekerja syif pada malam kedua Hari Raya Aidilfitri berakhir di atas jalan raya selepas mangsa maut dirempuh sebuah kenderaan yang melawan arus di Jalan Pintasan di Kuantan, Pahang pada malam hari Isnin, 25 Mei 2020.

Difahamkan lelaki yang memandu kereta melawan arus berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk selepas mengambil minuman keras.

Berdasarkan rakaman video seorang pemandu jalan raya di laluan bertentangan yang mengekori kereta berkenaan dari jalan bersebelahan menunjukkan kereta jenis Toyota C-HR dipandu begitu laju, walaupun melawan arus sehingga gagal 'dikejar' orang awam berkenaan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintenden Kamalruzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu berlaku ketika mangsa Irwan Herman Kamarudin, 41, dalam perjalanan dari Sungai Isap Perdana di Kuantan ke Gebeng kerana bekerja syif.

"Apabila sampai di tempat kejadian kereta mangsa dirempuh oleh kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus dan dalam keadaan berbahaya.

"Akibat kejadian menyebabkan mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Yaris mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan dada dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di Kuantan, Selasa, 26 Mei 2020.

Tambahnya, pemandu kereta Toyota C-HR berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut. 

Kereta jenis Toyota C-HR dipandu laju melawan arus oleh seorang lelaki dipercayai dalam pengaruh alkohol


Kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk melawan arus bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Pintasan Kuantan pada malam 25 Mei 2020. 


Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kereta Toyota C-HR berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai peraih ikan.

Katanya, kereta Toyota C-HR berkenaan dipercayai mula dipandu melawan arus dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkannya hampir bertembung dengan beberapa kenderaan yang mengelak daripada berlanggar.

"Siasatan juga mendapati pemandu kereta jenis Toyota C-HR dipercayai baru selesai mengambil minuman keras di rumah rakannya di Taman Andora Peak, Semambu, Kuantan.

"Lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih terus dilakukan," ujarnya.

Pemandu kereta jenis Toyota C-HR yang hanya mengalami kecederaan ringan ditahan oleh pihak polis.


 KitaReporters.com      

0
0
0
0
4
You will be interested