PEMAIN PUBG Mobile dari Skuad SEM9.Gank akan meneruskan legasi jurulatih mereka, Allahyarham Agusalim Amran (Agus) (@Hahagus) untuk membimbing golongan pelapis sebagai pemain profesional dalam skuad PUBG Mobile bagi menyertai kejohanan Liga Profesional PUBG Mobile.
Malah kata seorang ahli skuad itu, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (@Draxx), pihaknya akan menggunakan nama Allahyarham Agus (Hahagus) dalam kejohanan akan datang bagi mengekalkan legasi kumpulan dan sebagai pembakar semangat agar tidak mudah menyerah kalah berdepan wabak Covid-19 yang telah pun meragut nyawa jurulatih mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PUBG
Petikan berita What's The Meta @WTM Today, Allahyarham Agus yang juga jurulatih skuad PUBG Mobile popular tanah air, SEM9.Gank menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8.56 malam pada 13 Ogos 2021, sehari selepas ditidurkan di Hospital Sungai Buloh pada Khamis, 12 Ogos.
Selepas keadaannya meruncing, kira-kira 12 jam kemudian Hahagus memberitahu WTM Today akan ditidurkan dan meninggal dunia tidak lama kemudian. Arwah bertarung nyawa sejak 28 Julai lalu.
Jenazahnya selamat kebumikan di Tanah perkuburan Islam Taman Sri Sinar, Segambut Dalam pada jam 2 petang 14 Ogos 2021.
Kenalan arwah, Muhammad Fitri Tolib memaklumkan kepada WTM Today majlis tahlil dan bacaan Yasin turut diadakan selepas jenazah dikebumikan.
Hahagus merupakan jurulatih e-sukan yang cukup dikenali di Malaysia dan Asia Tenggara.
Hasil bimbingan arwah, Malaysia berjaya memenangi Kejohanan Final Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) buat kali pertama pada 3 Mei 2020 bersama pasukannya yang sebelum ini dikenali Yoodo Gank.
Sebelum bergelar sebagai seorang jurulatih, arwah Hahagus merupakan seorang pemain kompetitif PUBG.
Selain keluarga terdekat, pemain-pemain SEM9.Gank seperti Azim Ikromi (Draxx), Faizul Iskandar Putra (Putra), Hakim Saddar (Bravo) dan Azim Haris Puhatdi (Wrydep) turut kelihatan menziarahi pusara arwah.
Mereka ditemani jurulatih 4Rivals, Muhammad Nur Azmi Mohammed Halim (Pasha) yang juga antara kenalan rapat arwah.
Sementara itu sebagai merasmikan penggunaan nama Hahagus bagi meneruskan Legasi Hahagus, Draxx kemudian menamakan dirinya "HahaDraxx" ketika menyertai majlis bacaan Yasin itu.
Draxx turut meluahkan kehilangan Allahyarham seperti dia hilang abang sendiri. “InsyaAllah, syurga untuk Agus,” tambah Draxx.
Sementara itu abang Abang kepada Allahyarham Hahagus, Ali Sofhuan Amran (gambar atas) memohon orang ramai agar tidak terlalu bersedih dengan peninggalan adiknya itu.
Ali Sofhuan berkata dia berharap orang ramai juga boleh mendoakan pesakit-pesakit lain, yang turut bertarung nyawa dengan Covid-19.
“Tolong doakan untuk orang lain juga ya. Jangan sedih sebab adik saya ya. Dia pergi dengan penuh kebaikan,” katanya kepada WTM Today.
Ali Sofhuan berterima kasih kepada semua pihak mengadakan majlis bacaan Yassin dan banyak membantu arwah ketika dia masih hidup. InsyaAllah, Allah akan membalas jasa anda semua.
Sebelum itu, dalam Instagramnya, arwah Hahagus memuatkan status: "Kak, saya akan ditidurkan nanti” sebelum dia dipindahkan masuk ke ICU Hospital Sungai Buloh.
Pengasas, pengarang dan penerbit What's The Meta, Mariah Ahmad memberitahu, kematian jurulatih itu disahkan oleh abangnya, Ali Sofhuan. Hahagus disahkan pesakit tahap 4, Covid-19.
Katanya, berikutan keadaan paru-paru yang semakin tidak sihat, Hahagus dimasukkan ke ICU pada awal pagi Khamis, 12 Ogos 2921 dan banyak pesanan yang memberi sokongan supaya arwah terus berjuang. Namun ternyata akhirnya, Hahagus terkorban juga.
Sebelum itu, seorang lagi pemain PUBG Mobile, Man Parang (@aiman.pa) yang dijangkiti wabak itu difahamkan sudah sembuh. Perkara itu dikongsikan isteri Man Parang, Zatiz Zahrah dalam satu komen dalam Instagram WTM Today pada 1 Ogos lalu.
"Alhamdulillah Man Parang sudah sembuh, nak habis kuarantin dah. Semoga sihat cepat, Hahagus dan The Gank yang berada di gaming house," katanya.
Sebelum ini, ahli-ahli pasukan The Gank dilaporkan dijangkiti Covid-19 dan jurulatih, Hahagus antara yang terjejas sehingga perlu dibawa ke hospital. - KitaReporters