Camilla ketika mengiringi Charles pada pembukaan Parlimen oleh bondanya. - Kredit gambar: BBC
SEBAIK saja Putera Charles berkahwin dengan bekas gundiknya, Camilla Andrew Parker Bowles pada 2005, wanita itu berjanji tidak akan menggunakan gelaran Tuanku Permaisuri (Queen Consort) atau bertaraf sama dengan darjat Ratu Elizabeth II yang memerintah sekarang. Tetapi kini yang berlaku adalah sebaliknya.
Gelaran atau taraf kedudukan Camilla atau nama asalnya Camilla Rosemary Shand secara automatik akan dikenali sebagai Tuanku Permaisuri raja sebaik saja Charles ditabalkan menjadi raja kerana gelaran itu sudah lama diguna pakai dalam sistem monarki berkenaan.
Lagi cerita-cerita kerabat diraja berkaitan Putera Charles
Royalcentral.co.uk dalam laporannya memberitahu, meskipun Clarence House, kediaman rasmi pasangan diraja itu menafikan pemakaian gelaran tersebut tetapi Camilla secara rasmi akan jadi Tuanku Permaisuri kecuali satu undang-undang baharu diluluskan oleh Parlimen untuk meminda darjat berkenaan.
Dan ini sudah pastinya akan menjadi satu mimpi ngeri kepada sistem perlembagaan negara berkenaan.
Persoalan kedudukan Camilla kini menjadi tumpuan kerana dia secara amnya dianggap wanita paling dibenci di Britain kerana meruntuhkan rumah tangga suaminya, Charles dengan Puteri Diana.
Warga Britain tidak begitu suka dengan kedudukan Camilla itu dan mahukan anak Charles, Putera William menjadi pengganti.
William dan Kate pilihan warga Britain menjadi Raja William dan Permaisuri Kate. - Kredit gambar: Reuters
Khabar akhir-akhir ini keadaan kesihatan Ratu Elizabeth II sering gering dan terpaksa berehat menyebabkan timbul kegusaran kerana Charles telah ada rekod 'buruk' untuk mewakili sebuah kerajaan beraja. Malah ada beberapa negara jajahan United Kingdom enggan mengakui putera itu sebagai raja mereka nanti.
Kini heboh pula Camilla yang sebelum ini enggan menggunakan gelaran Tuanku Permaisuri sebaliknya memilih menjadi Tuanku Puteri (Princess Consort) ketika suaminya menjadi raja, dikatakan tidak masuk akal. Ini kerana ia perlu meminda perlembagaan negara kerana dewan rendah dan dewan tertinggi yang perlu meluluskan penggunaan gelaran baru itu.
Jika ia betul-betul berlaku maka ia akan menjejaskan status kerabat raja pada masa depan. Bila gelaran Tuanku Permaisuri tidak lagi digunakan untuk isteri raja kerana akan diubah kepada Tuanku Puteri.
Penulis biografi diraja, Robert Lacey yang dipetik oleh MarieClaire memberitahu, Putera Harry dan abangnya, Willam sudah cuak dengan tindakan ayah mereka, Charles berkempen menaik taraf agar Camilla diberi penghormatan penuh sebagai Tuanku Permaisuri Camilla.
"Kedua-dua anaknya berasa sangat jelik selepas mendapat tahu Charles giat berusaha menjadikan Camilla sebagai permaisuri," kata Lacey .
Charles berkempen agar Camilla dapat gelaran Tuanku Permaisuri. - Kredit image: Getty/Dave J Hogan
Kali terakhir negara itu isteri raja mendapat gelaran Tuanku Permaisuri adalah pada 1936 apabila nenda Putera Charles, Queen Elizabeth mendampingi suaminya, Raja George VI sehingga kemangkatannya pada 1952.
Sekiranya gelaran sebenarnya untuk Duchess of Cornwall itu tidak dapat ditentukan bermakna Britain perlu mengubah perlembagaan baharu dan meluluskan gelaran baharu untuk disesuaikan kepada Camilla.
Camilla memilih untuk menggunakan gelaran Duchess of Cornwall kerana dia tidak mahu gelaran Princess of Wales yang sebelum ini diberikan kepada Lady Diana Spencer.
Sebab itu jugalah dia mahu dikenali sebagai Tuanku Puteri dan bukannya Tuanku Permaisuri bila suaminya menaiki takhta.
Camilla terkenal kerana ramai kekasih dianggap tak sesuai dengan institusi raja. - Kredit gambar: Daily Exspress.
Pengarang dan penulis sejarah diraja, Marlene Koenig dalam satu temu ramah dengan Royal Central, berkata sebarang tindakan memberi gelaran baharu Tuanku Puteri kepada Camilla akan menjejaskan reputasi Duchess of Cambridge, Kate Middleton yang akan menduduki senarai pewaris takhta diraja selepas ini.
"Ia akan menjadi asas musibah kepada Kate kerana apabila Charles mati dan digantikan dengan Putera William, maka akan ada satu pengumuman bahawa Kate akan diberi gelaran sebagai Tuanku Puteri. Adakah ini akan berlaku, saya rasa tidak,'' katanya.
Oleh itu, katanya, Camilla perlu digelar Tuanku Permaisuri. Kisah silam itu, biarlah berlalu (kisah tentang Diana) kerana Camilla sudah menjadi isteri seorang raja dan akan kekal sebagai kerabat aktif bekerja," katanya.
Koenig yang dianggap pakar dalam sejarah diraja memberitahu tradisi monarki dikenali dengan gelaran Raja dan Permaisuri. Begitu juga dengan seorang wanita Inggeris yang berkahwin akan menggunakan nama suaminya seperti Puan John Smith.
“Walaupun ada banyak perubahan berlaku apabila wanita tidak lagi menggunakan nama suaminya tetapi bila membabitkan isteri raja, dia mempunyai hak yang sama untuk mendapatkan gelaran tertinggi. Begitulah adat wanita di UK akan menggunakan gelaran suaminya kecuali dia ada darjat lebih tinggi," katanya.
Bakal Raja dan Permaisuri England. - Kredit gambar Dailynews
Kinsey Schofield dalam temu bualnya dengan seorang lagi pengarang, Christopher Anderson di To Di For Daily podcast, sudah membayangkan bahawa Camilla akan tetap diberi gelaran Tuanku Permaisuri Camilla.
Anderson berkata, selepas berkahwin, Camilla ada mengaku mahu menggunakan gelaran Tuanku Puteri. Itu satu muslihat kerana sebaik Charles ditabal raja, secara automatik Camilla akan dapat gelaran permaisuri.
"Sekarang pun mereka main tipu muslihat dan Camilla memang dikenali sebagai Puteri Wales tetapi sengaja disembunyikan bagi menjaga sensitiviti warga Britain yang memang akan marah sekiranya gelaran itu diberikan kepada Camilla. Ini kerana selama-lamanya Diana adalah Puteri Wales.
"Cubalah kita fikir begini, sebaik Charles ditabalkan sebagai raja dan berkata kepada Camilla, "Awaklah isteri Raja Charles yang diabaikan gelaran dalam sejarah. Sudah tentulah tak kan? Charles akan ambil peluang ini dan ada niat mahu tabalkan Camilla sebagai permaisuri, bukannya tuanku puteri," katanya. - KitaReporters