Insan & Komuniti 22 Sep, 2021

Warga emas terbiar tetap patriotik! Al-Fikrah suntik semangat patriotisme sambut Hari Malaysia!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah mengibarkan Jalur Gemilang ketika turut bersama menyampaikan lagu patriotik.


MENGIMBAU sejarah pejuang khusus perajurit negara mendapatkan kemerdekaan ibarat terapi minda kepada 70 penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor yang menyertai Sambutan Hari Malaysia 2021 pusat itu pada 16 September 2021 lalu. 

Menerusi program berkenaan penghuni diberi pendedahan mengenai aktiviti kemerdekaan, menerapkan nilai murni semangat cintakan tanah air dan yang paling penting penghuni diberi peluang meraikan Hari Malaysia walaupun tersisih di pusat itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia

Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi (tiga dari kiri) bersama-sama kakitangan pusat berkenaan menyampaikan beberapa lagu patriotik pada program Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021 lalu.



Pengerusi pusat berkenaan, Nurul Atikah Mohd Azmi, berkata ada antara penghuni pusat itu bekas anggota keselamatan dan mungkin juga dalam kalangan mereka yang pernah melalui detik bersejarah penubuhan Malaysia

Menurutnya, apabila program itu diuar-uarkan kepada penghuni ramai antara mereka menunjukkan reaksi wajah bersemangat untuk menyertainya walaupun hanya mampu duduk di atas kerusi roda sambil mengibarkan Jalur Gemilang. 

Beliau berkata, program berkenaan mungkin membawa kenangan kembali pada zaman menuntut kemerdekaan kepada sesetengah penghuni yang pada masa itu berada dalam usia remaja bersama-sama ahli keluarga lain.


Warga emas, Rashimah Abdul Rashid berkerusi roda menyampaikan lagu patriotik pada program Sambutan Hari Malaysia.


“Dalam program ini mereka yang kini berusia antara 70 tahun dan 80 tahun dapat mengimbau kembali peristiwa lama yang membawa kenangan pahit dan manis selepas negara bebas daripada penjajah dan komunis,” katanya. 

Nurul Atikah berkata, bacaan doa dan disusuli ucapan ringkas beliau sebagai pembuka acara program itu yang kemudian diikuti persembahan deklamasi sajak oleh beberapa penghuni dan kakitangan pusat berkenaan sebaik sahaja bermula jam 9 pagi. 

Tambah beliau, kemuncak program itu ialah nyanyian beberapa lagu patriotik oleh kakitangan pusat berkenaan bersama-sama penghuni diiringi kibaran Jalur Gemilang yang menambahkan kesayuan kepada semua.


Warga emas, Abu Kasim Musa bersemangat menyampaikan sajak pada program Sambutan Hari Malaysia.


Menurutnya, program itu juga secara tidak langsung mengurangkan tekanan perasaan penghuni kerana dapat melapangkan fikiran mereka supaya tidak terlalu berasa diri dipinggirkan khususnya yang tiada waris. 

“Saya seperti arwah bapa yang menjadi pengerusi sebelum ini akan berusaha mengadakan pelbagai program kemasyarakatan membabitkan penghuni dan penduduk sekitar seperti sambutan Aidilfitri dan ibadah korban kerana banyak memberi manfaat. 

“Bagi memeriahkan program yang selalu dianjurkan itu, Al-Fikrah berharap terus mendapat sokongan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang sering turun padang bagi membantu menjayakannya,” kata Nurul Atikah. 

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kampung Sungai Sekamat, Jalan Cheras, Kajang, Selangor atau hubungi nombor telefon 013-2345692 (Nurul Atikah), 03-87330715 (Pejabat) atau e-mel: pjfmalfikrah@gmail.com. 

Sumbangan juga boleh disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia menerusi nombor akauan Bank Muamalat 12070005972713. - KitaReporters


Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) pada 11 September 2021 lalu. - Kredit foto: FB Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia

27
12
0
8
0
You will be interested