Kisah Insan 10 Jun, 2021

Tak lagi kerabat diraja Britain! Patung lilin Meghan-Harry dipindahkan ke 'planet' Hollywood!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

Kredit foto: Instagram Meghan Markle Official


SELEPAS Harry-Meghan meninggalkan tugas sebagai kerabat istana Britain untuk memulakan kehidupan baharu di Amerika Syarikat, Muzium Lilin Madame Tussauds di London `memindahkan` patung lilin pasangan Megaxit itu ke tempat selayaknya, Zon Hollywood dan bukan lagi sebaris dengan keluarga diraja di House of Windsor

Putera Harry dan pelakon drama bersiri Suits, Meghan Markle yang diberi gelaran Duke and Duchess of Sussex mengambil keputusan `meletakkan jawatan` sebagai pasangan diraja yang melakukan tugasan rasmi istana dan dibayar gaji oleh kerajaan Britain untuk mencari peluang kerja sambil berdikari di California.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Meghan Markle


Selamat datang ke dunia Hollywood... Patung lilin Putera Harry dan Meghan ketika mereka berpakaian sewaktu hari pertunangan. - Kredit gambar: Insider.com


Mereka menjalin kerjasama untuk menghasilkan dokumentari dan siri yang menarik dengan Netflix, Spotify dan Apple. Dokumentari yang menimbulkan kekecohan dunia ialah temu ramah dengan Oprah Winfrey dalam perihal isu kestabilan mental. 

Ini berdasarkan pengalaman Harry dan Meghan ketika terikat dengan sistem diraja yang hampir meragut nyawa isterinya akibat tekanan jiwa. Harry kemudian memilih membawa keluarganya jauh dari istana kerana bimbang kemungkinan Meghan ditimpa nasib malang macam mendiang ibunya, Lady Diana.

Satu kenyataan dari pengurusan muzium di London itu  yang dipetik Rueters dan disiarkan oleh vionnews.com melaporkan patung lilin mereka kini sudah dipindahkan dari seksyen diraja untuk `bersama-sama` berdiri setanding dengan selebriti Hollywood itu pada 14 Mei 2021 lalu.

"Harry dan Meghan berpindah. Madame Tussauds London "sudah memindahkan figura Putera Harry dan Meghan Markle ke tempat baharu, di zon Award Party sebagai simbolik pemindahan mereka dari kediaman di Frogmore Cottage ke Hollywood," demikian kata satu kenyataan daripada muzium itu.



Kredit foto: CNN.com


Baru-baru ini, satu siri dokumentari yang memaparkan isu kesihatan mental dihasilkan bersama oleh Harry dan Oprah Winfrey dibuat tayangan perdana melalui saluran perkhidmatan televisyen Apple.

Sebelum itu menerusi siaran langsung, Harry muncul dalam bual bicara melalui podcast, "Armchair Expert" dihoskan oleh pelakon Dax Shephard dan menggambarkan dirinya sebagai kerabat diraja yang sudah ditulis kisah hidupnya sebagaimana filem realiti "Truman Show", lakonan Jim Carrey.

Harry juga menceritakan pertama kali dia bertemu Meghan ialah di sebuah pasar raya untuk menggelakkan tumpuan paparazi dan jurugambar. Kini hidup mereka lebih bebas dan bahagia selepas berpindah ke California bersama anak lelakinya, Archie Harisson.

"Hidup di sini, saya sudah boleh mendonggakkan muka dan rasa sangat berbeza. Bahu kami lebih ringan kerana tiada lagi pikul bebanan tugasan dan boleh berjalan ke sana sini dengan sangat bebas.

"Saya boleh menggendong Archie di belakang basikal. Saya mungkin tidak pernah dapat peluang berbuat begini. Bersiar-siar dengan anak lelaki macam seorang bapa rakyat biasa," katanya. 

Terkini, Meghan baru sahaja melahirkan anak kedua mereka, bayi perempuan diberi nama Lilibeth Diana pada 4 Jun 2021 lalu di California, Amerika Syarikat. - KitaReporters.com


2
1
0
1
0
You will be interested