Insan & Komuniti 09 Apr, 2020

COVID-19: MAJIKAN CABUT!! PEKERJA KEBULURAN!!

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this

TERPAKSA makan pucuk kayu selepas kehabisan makanan, itulah nasib pekerja asing yang dibiarkan oleh majikan masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac 2020, ekoran penularan wabak COVID-19. : KitaReporters.com

Pucuk paku antara tumbuhan hutan yang dikutip dan dimakan sekumpulan pekerja waga asing yang kehabisan makanan.


Jika sebelum ini, mereka bekerja keras membanting tulang membantu majikan masing-masing tetapi kini nasib mereka dibiarkan pihak majikan. 

Di Jerantut, Pahang, akibat tidak dipedulikan oleh majikan yang 'menyelamatkan' diri dengan berada di rumah masing-masing, sekumpulan pekerja warga asing hampir kebuluran.

Sikap majikan yang mementingkan diri sendiri ini amat mengecewakan kerana walaupun warganegara asing, mereka telah memberikan sumbangan yang besar kepada majikan dan ekonomi negara.

Ketua Wanita UMNO Jerantut, Datuk Siti Hajar Mubin menyampaikan bantuan makanan kepada pekerja asing yang kehabisan makanan. 


Seorang pekerja yang berasal daripada Indonesia, Aarif Harrang berkata, mereka kehabisan makanan lebih seminggu selepas majikan tidak lagi menghantar bekalan makanan.  

"Kami hanya ambil pucuk kayu dan tumbuhan berdekatan kongsi ini yang boleh dimasak dan dimakan untuk mengisi perut sejak terputus bekalan makanan lebih seminggu lalu.

"Walaupun ada sedikit wang, tetapi kami tidak dapat keluar membeli makanan sambil menunggu tauke (majikan) datang menghantar barang (makanan), namun masih tidak ada," katanya yang bekerja di sebuah kilang di pekan Jerantut.

Kumpulan pekerja berkenaan yang terdiri daripada tujuh warganegara Indonesia dan tiga Bangladesh tinggal di sebuah rumah kongsi terputus bekalan makanan apabila tidak dihantar berikutan penguatkuasaan ketat PKP.

Dalam tempoh berkenaan, mereka kehabisan beras dan keperluan memasak, dan hanya memakan pucuk paku dan daun-daun tumbuhan bagi mengisi perut. 

Ketua Wanita UMNO Jerantut, Datuk Siti Hajar Mubin 



Namun kesusahan dan kelaparan yang terpaksa ditanggung oleh 10 pekerja asing ini berakhir apabila dikunjungi Ketua Wanita UMNO Jerantut, Datuk Siti Hajar Mubin yang turut menyampaikan bantuan makanan

Siti Hajar yang bergegas ke kongsi berkenaan pada petang Rabu, 8 April 2020 telah menjadi penyelamat yang pasti tidak dapat dilupakan oleh pekerja-pekerja asing berkenaan.

Siti Hajar bersama Skuad Sayang Wanita UMNO membawa barang makanan seperti beras, tepung, gula, mihun, mi segera, telur, teh dan biskut yang disumbangkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membantu mereka yang terkesan.

"Kami terharu dan bersimpati melihat keadaan pekerja ini yang mulai lemah kerana tidak menjamah makanan lebih seminggu dan hanya makan pucuk paku dan daun-daun berdekatan rumah kongsi mereka.

"Saya telah menghubungi segera majikan mereka dan meminta supaya lebih bertanggungjawab ke atas pekerja mereka dan majikan itu berjanji akan menghantar wakil bagi membantu pekerja mereka," katanya.

Ketua Wanita UMNO Jerantut, Datuk Siti Hajar Mubin  menyampaikan bantuan makanan kepada pekerja warga asing. 


Dalam pada itu, Siti Hajar berkata, Skuad Sayang Wanita UMNO Jerantut juga telah mendapat maklumat terdapat seramai 14 pekerja asing Bangladesh yang menginap di premis baharu Pusat Perniagaan Persona Batu 57 di Jerantut, yang terputus bekalan makanan sejak dua minggu.

Katanya, difahamkan pekerja Bangladesh ini bekerja sebagai buruh di Jengka, manakala majikan mereka tinggal di Negeri Sembilan.

Justeru beliau berkata, pihaknya Kakan mengunjungi dan membantu mereka dengan menyumbangkan makanan kepada mereka.

"Kepada majikan-majikan, jangan hanya memfokuskan kepada keuntungan semata-mata dengan mengerah kudrat pekerja, tetapi mengabaikan kebajikan mereka. 

"Saya harap kerajaan Persekutuan mengenakan hukuman yang setimpal kepada majikan yang cuai berlandaskan undang-undang negara," katanya. - KitaReporters

1
1
0
1
0
You will be interested