DI MALAYSIA ini, kalau kita bercakap tentang jalan berlubang, sudah tentu kita akan terfikirkan kumpulan Ikatan Silaturahim Brotherhood iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan Abang Lando Zawawi, bekas pelakon terkemuka tanah air.
Mereka ini mengambil inisiatif sendiri membaiki lubang-lubang yang ada di jalan raya khususnya di Lembah Klang. Kisah dan semangat Lando dan Brotherhood ini rupa-rupanya turut 'merebak' sehingga ke negara India.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kemalangan jalan:
https://kitareporters.com/search?search=kemalangan+jalan
Di Malaysia, kita ada Lando Zawawi (kiri). Di India, mereka ada Dadarao Bilhore.
Sebuah pemilik akaun Facebook Jasson King Fans Official telah kongsikan satu cerita benar yang berlaku di India.
Cerita seorang penjual sayur India ini pernah "meletup" suatu ketika dahulu. Namanya Dadarao Bilhore, 48, mengalami tekanan dan kesedihan yang teramat sangat disebabkan kematian anaknya Prakash.
Prakash yang semasa itu berumur 16 tahun membonceng motosikal pakciknya dan telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya di Mumbai, India pada 28 Julai 2015.
Ia berpunca apabila tanpa dia sedari motosikalnya telah melanggar lubang lopak air yang ada di tengah jalan di negeri berkenaan.
Prakash yang tidak bertopi keledar telah melayang dan kepalanya terhentak pada tar jalan raya yang keras hingga akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pakciknya pula yang bertopi keledar terselamat dari kecelakaan dan hanya mengalami cedera ringan.
Kematian Prakash telah mendatangkan kesan yang cukup mendalam terhadap diri ayahnya, Dadarao Bilhore.
Disebabkan perasaan yang bercampur baur antara marah, geram, sedih, kecewa dan tertekan, maka Dadarao telah bertindak sendiri dengan mencari jalan-jalan raya yang rosak dan berlubang untuk ditampalnya.
Hasilnya, Dadarao telah berjaya menampal hampir 700 lubang di jalan-jalan raya yang rosak sekitar Mumbai, India.
Tindakannya ini bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Sebaliknya usaha murninya ini dilakukan selama 3 tahun berturut-turut.
Beliau mengatakan yang pemergian anaknya telah membuatkan jiwa mereka sekeluarga menjadi kosong, lalu timbul kesedaran untuk melakukan sesuatu terhadap jalan-jalan raya yang rosak dan berlubang di sekitar Mumbai.
Untuk rekod, Dadarao hanya menggunakan batu-batu halus dan pasir semasa menampal jalan-jalan tar yang berlubang. Kerja amal ini dilakukannya agar orang lain tidak mengalami nasib yang sama seperti anaknya itu.
Semoga ia menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa untuk terus bekerja dengan lebih baik dalam memperbaiki kualiti jalan raya di bawah seliaan masing-masing.
Kita juga berharap agar masyarakat dapat memupuk semangat dan kesedaran prihatin seperti Lando di Malaysia dan Dadarao di India ini. - KitaReporters