1. TATKALA ramai yang seronok menantikan kelahiran baharu akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! esok, tersebar pula di media massa sekitar 300 petugas di bawah Media Prima Bhd. bakal diberhentikan bermula 31 Julai ini. : KitaReporters
2. Ironinya, Media Prima merupakan abang kepada Media Mulia Sdn. Bhd., syarikat yang telah membeli jenama akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! daripada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang sudahpun menghentikan operasinya pada 9 Oktober tahun lepas selepas 80 tahun menjadi obor memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air.
3. Kata Media Prima, pemberhentian itu adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mengatasi ketidakcekapan kos akibat pertindihan tugas.
4. Ketika ini, kita tahu bahawa entiti media seluruh dunia sedang mengalami proses pembaharuan dari pelbagai sudut termasuklah penukaran cara pemberitaan, cara pelaporan, cara diterbitkan, cara penulisan dan cara pengedaran ekoran ledakkan penggunaan media sosial ketika ini.
5. Maka, ia akan menyaksikan para petugas yang bertindan dan tidak kompetitif akan disingkirkan secara terhormat.
6. Berbanding bekas pekerja Kumpulan Utusan yang perlu mengosongkan meja dan keluar dari bangunan dalam tempoh 3 jam (pada awalnya, dan dipanjangkan selama sehari), entiti media lain lebih menjaga kebajikan petugasnya dengan pampasan dan gaji yang dibayar.
7. Malah, pemotongan cukai berjadual bulanan (PCB) LHDN kami juga tidak dibayar sejak Januari 2019 dan itu menyebabkan ramai antara petugas yang masih tidak berkerja ketika ini terpaksa turun naik pejabat LHDN membuat rayuan untuk tidak dikenakan tindakan. Momentum penyingkiran kami masih ada sehingga ke saat ini. Percaya atau tidak, itulah realiti nasib bekas petugas Kumpulan Utusan. Pemotongan yang lain termasuk zakat, wallahuakalm. Tidak kami jumpa nisannya.
8. Berbanding pekerja Utusan, kami diberhentikan togel, 'sehelai sepinggang' tanpa gaji selama tiga bulan yang tertunggak (yang sudah menjadi amalan sejak setahun), apatah lagi melihat pampasan yang adil.
9. Gaji bulanan terakhir yang tertunggak berkenaan berjaya dilunaskan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lepas ketika majoriti daripada bekas pekerja Kumpulan Utusan semakin derita dalam kehidupan lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.
10. Ada yang sakit, ada yang tua, ada yang masih tidak bekerja, ada yang berniaga namun terpaksa gulung tikar namun ada segelintir yang berjaya sedikit dalam menyambung kehidupan seharian selepas 'diterajang' dengan hina daripada naungan syarikat yang akhirnya turut bungkus.
11. Ramai yang seronok melihat kelahiran semula akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!. Tetapi apa yang pasti, bekas pekerja yang ' tidak terpilih' untuk menganggotai akhbar kelahiran baharu itu pasti mempunyai perasaan yang berbaur sedih dan gembira.
12. Memanglah, dengan syarikat baharu, tidak mungkin mereka mampu untuk menyerap semula kira-kira 815 bekas pekerja Kumpulan Utusan yang 'dipinggirkan' ekoran mereka juga akan menggunakan konsep multiskills pada semua petugas yang ada.
13. Ramai yang bertanya kepada saya, bila dan bagaimana rupa akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! nanti. Jawapannya, saya tidak tahu. Saya tidak terlibat sekelumit pun dalam proses menghidupkan semula akhbar berkenaan.
14. Adakah mereka akan memperkasakan online? Saya tidak tahu. Adakah mereka akan menggunakan platform media sosial? Saya tidak tahu. Adakah mereka akan terus mencetak jenama berkenaan? Saya tidak tahu. Kalau dicetak adakah saiznya besar atau kompak? Juga saya tidak tahu. Saya hanya tahu, Julai nanti, lahirlah kembali akhbar berkenaan. Itupun disebabkan Facebook lama yang pernah saya kendalikan Utusan Online memuat naik video pemakluman berkenaan.
15. Mungkin dengan kelahiran baharu itu, ada cara baharu yang akan mereka guna pakai untuk mencergaskan semula jenama tersebut.
16. Tak tahu lah sama ada roh dan jiwa perjuangan Kumpulan Utusan yang dilahirkan di Cecil Street dan kemudian bertapak di Queen Street Singapura pada tahun 1939 akan diteruskan atau tidak. Itu kini menjadi hak Media Mulia, bukan lagi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
17. Saya masih ingat ketika mengendalikan kursus Kerja, Makan, Tidur, Online (KeMaTo) kepada semua petugas Kumpulan Utusan sejak 2017, sudah saya nyatakan bahawa terdapat satu dapatan dalam sebuah forum media di Australia yang menyatakan pada tahun 2020, akhbar akan PUPUS!
18. Dan hasil daripada forum itulah saya sering mengingatkan rakan-rakan wartawan, jurufoto dan artis grafik bahawa kita perlu berubah. Masa tidak akan menunggu. Masa mencemburui kita.
19. Ketika itu juga, saya hasilkan kursus MOJO, Mobile Journalism atau kewartawanan mudah alih ketika masih ramai leka dan tidak mengambil serius tentang MOJO ketika itu.
20. MOJO sudah saya dan rakan-rakan di Utusan Online guna sejak tahun 2008 yang ketika itu agak sukar untuk dilakukan ekoran pendedahan mengenai konsep berkenaan masih asing bagi entiti media di negara ini walaupun Eropah sudah mula berubah mengarah ke konsep berkenaan ketika itu.
21. Adakah kelahiran baharu akhbar Utusan dan Kosmo akan meneruskan usaha yang kami terapkan? Saya tidak tahu.
22. Orang kata kepada saya, move on. Saya sudah move on sejak 10 Oktober 2019 lagi. Namun move on saya seringkali terhenti-henti dan tidak konsisten. Kami disisihkan syarikat tanpa ada sebarang pengalaman tambahan untuk menghadapi situasai luar yang semakin mencabar.
23. Kehadiran Covid-19 merencatkan move on berkenaan. Kemahiran dan tenaga yang ada pada saya terbatas. Usia menjadi antara penghalang utama untuk kembali beraksi.
24. Namun kehadiran rakan-rakan lama membantu memberikan sedikit nafas untuk saya terus berlari, membuatkan saya mengerah tulang empat kerat saya untuk lebih berusaha selagi mampu dan lainnya saya berserah kepada Allah.
25. Kepada rakan-rakan Media Prima yang akan diberhentikan, ingat, rezeki kita di tangan Allah dan berdoalah agar, nasib tuan/puan tidak akan sama dengan kami.
26. Jerit perih diberhentikan, sudah kami rasai. Susah senang, duka lara, pahit getir, semua itu menjadi asam garam kami menghabiskan sisa-sisa hidup menunggu kepulangan abadi.
Sabarlah wahai teman. - KitaReporters
Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia
Tags: