Insan & Komuniti 23 Apr, 2022

Allahuakhbar! Rezeki Aidilfitri! Warga emas dulu tinggal dalam reban ayam kini dapat rumah baharu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this

Rumah baharu Hashim yang diusahakan oleh Muszleem Malaysia


Reban ayam yang menjadi tempat tinggal Warga Emas Hashim selama tujuh tahun


SELEPAS tujuh tahun hidup bersendirian dalam reban ayam yang menjadi rumah kediaman akhirnya impian seorang warga emas dapat tersenyum lebar apabila mendapat sebuah rumah yang lebih selesa untuk dijadikan tempat tinggal yang sempurna.

Bukan itu sahaja sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi bakal menceriakan kehidupan warga emas berkenaan kerana dapat tinggal di rumah baharu.


Lagi cerita-cerita pilu berkaitan pondok usang

Mohd Izzat Mohd Zubir (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada Hashim Hamzah.


Hashim Hamzah, 60, dari Kampung Beris Baru, Kuala Besut, Terengganu yang sebelum ini tinggal sebatang kara di reban ayam dalam kebun getah kampung tersebut sudah sebati dengan kehidupan yang serba kekurangan dan dalam keadaan daif.

Penderitaan hidup warga emas berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian sebuah pertubuhan kebajikan yang dikenali Muszleem Malaysia hasil aduan daripada sukarelawan pertubuhan terbabit yang mengesan kehidupan lelaki terbabit.

Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman bersama wakil Muszleem Malaysia turun padang membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi warga emas berkenaan.


Mohd Izzat Mohd Zubir


Pengurus Operasi Muszleem Malaysia, Mohd Izzat Mohd Zubir berkata, selepas berbincang dengan Tengku Zaihan pihaknya bersetuju untuk membantu membina sebuah rumah baharu bagi menggantikan tempat tinggal lama dalam reban ayam.

Katanya, hasil kata sepakat dengan ADUN terbabit pihak Muszleem Malaysia memulakan pembinaan rumah baharu bernilai RM40,000 pada Februari 2022

Menurutnya proses membina rumah tersebut yang terletak berhampiran reban ayam yang menjadi kediaman Hashim sebelum ini dipercepatkan supaya beliau dapat tinggal sebelum menyambut Aidilfitri tahun ini.


Mohd Izzat (kiri) dan Tengku Zaihan (kanan) ketika menemui Hashim di reban ayam yang menjadi tempat tinggal beliau sebelum ini


“Alhamdulillah rumah tersebut dapat disiapkan dalam tempoh singkat dan simbolik majlis penyerahan kunci rumah kepada Hashim dilakukan pada Khamis 21 April 2022,” katanya.

Mohd Izzat berkata, rumah dua bilik termasuk bilik air dan ruang tamu dilengkapkan dengan kemudahan bekalan elektrik dan air.

“Pihak kami juga sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan lain termasuk perabut dan peralatan dapur jika ada peruntukan lain,” katanya.

Kisah hidup warga emas tersebut sebelum ini pernah mendapat liputan Kitareporter pada 8 Oktober 2021. - KitaReporters


 Lagi cerita-cerita menyayat hati berkaitan Hashim Hamzah


Hashim tersenyum lebar selepas mendapat rumah baharu

19
12
3
11
2
You will be interested