Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR), Yayasan Bank Rakyat (YBR) ialah projek yang diwujudkan di institusi terpilih seperti sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) dan masjid.
@masjidalhasanahbbb Perpustakaan Digital Pertama (E-Library) di Negeri Selangor Terima kasih yang tidak terhingga kepada @officialybr ♬ original sound - Masjid Al-Hasanah BBB (RASMI)

Ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) YBR untuk menggalakkan tabiat membaca, memperkasa akses ilmu digital, dan membantu golongan pelajar dan komuniti. Konsep asasnya ialah 80 peratus digital dan 20 peratus fizikal bahan bacaan.
YBR berkata, koleksi digitalnya mengandungi lebih 100,000 bahan digital yang boleh diakses melalui pelbagai pangkalan data seperti Emerald, Overdrive, eLaw, PressReader, RAM Rating dan BLIS. Ia membabitkan subjek perniagaan, kewangan, ekonomi dan bacaan umum.

Selain memiliki perpustakaan pusat, projek SIR Corner menyediakan ruang khas lengkap dengan komputer bagi memudahkan jemaah mendapatkan bahan bacaan secara digital.
Selain mempunyai perpustakaan pusat, projek SIR Corner menyediakan ruang khas di lokasi terpilih dengan dilengkapi komputer, meja, keahlian e-perpustakaan iaitu 50 kad akses untuk pengguna.
"Ia bertujuan memudahkan pelajar dan pengguna komuniti menggunakan bahan rujukan digital di mana-mana dan bila-bila masa termasuk di luar masjid atau “hab pendidikan tanpa sempadan”.
"Ia juga bagi menyokong pembelajaran, tugasan, penyelidikan serta meningkatkan budaya membaca dalam kalangan jemaah masjid dan masyarakat sekitar.
"Perpustakaan Digital ini membantu institusi masjid di kawasan bandar dan luar bandar selain golongan yang kurang berkemampuan," kata Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.

Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman
Ustaz Mohd Safian, yang merupakan Nazir Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, berkata, masjid itu adalah institusi agama yang pertama menerima manfaat Perpustakaan Digital YBR di Selangor dan kedua di Malaysia.
Ia dirasmikan Pengurus YBR Menanggung Kerja Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Mohammad Firdaus Muhammad Sharoni.
Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Pulau Pinang menjadi masjid pertama di Malaysia yang mempunyai ruang khas perpustakaan digital untuk jemaah dan pelajar di negeri itu mendapatkan maklumat dan bahan-bahan digital.
"Terima kasih Yayasan Bank Rakyat atas kerjasama bersama Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi bagi menjayakan projek Perpustakaan Digital Pertama (E-Library) di Selangor.
"Inisiatif ini pasti memberi manfaat besar kepada masyarakat dengan menyediakan akses mudah kepada ilmu pengetahuan, bahan bacaan digital dan sumber rujukan moden di hujung jari.
"E-Library ini menempatkan lebih 100,000 koleksi digital, dilengkapi dengan dua unit komputer dan 50 ID pengguna yang disediakan YBR menerusi inisiatif Serambi Ilmu Rakyat (SIR)," katanya.

Ustaz Mohd Safian mencuba menggunakan Perpustakaan Digital SIR sambil dibantu oleh seorang AJK Masjid Al-Hasanah untuk mendapatkan bahan bacaan dan rujukan.
Ustaz Safian berkata, SIR ialah usaha prihatin bagi meningkatkan taraf pendidikan tanpa sempadan. Justeru, katanya orang ramai dijemput mengunjungi dan memanfaatkan kemudahan E-Library ini bagi menambah ilmu, meningkatkan kemahiran, dan menyemarakkan budaya membaca dalam komuniti.
"SIR bertujuan menggalakkan pembacaan dalam platform digital serta membudayakan amalan membaca dalam rakyat terutamanya jemaah masjid dan penduduk setempat.
"Kami berharap sekurang-kurangnya komuniti yang hadir ke MAH untuk beribadah dapat menggunakan peluang ini sebagai salah satu platform mencari bahan-bahan digital dan informasi terkini ketika di masjid semasa menunggu waktu solat," katanya.

Ustaz Mohd Safian menyerahkan cenderahati kepada Mohammad Firdaus Muhammad Sharoni (kanan) selepas majlis perasmian Perpustakaan Digital Yayasan Bank Rakyat di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Selangor.
Syarat untuk mendapat akses kepada Perpustakaan Digital ini mudah.
Anda hanya perlu memaklumkan kepada pengurusan masjid. Lepas itu, anda akan mendapat ID untuk menggunakan kemudahan itu.
Selain di ruang yang disediakan di masjid, anda boleh menggunakan kemudahan Perpustakaan Digital di mana-mana sahaja tetapi jika tidak digunakan untuk tempoh tertentu, ID yang anda miliki secara automatik akan "log off".
Anda juga boleh menghubungi YBR pada talian 03-2612 9600 atau e-mel: [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters