Insan & Komuniti 07 Aug, 2025

Gelek sama dia! Polis lupuskan mesin bitcoin, rokok seludup, arak, mercun! Kes mahkamah dah selesai!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Pengelek jalan digunakan untuk memusnahkan mesin bitcoin.

Bagi mengelak kesesakan stor barang kes; memastikan integriti serta ketelusan; mencegah sebarang penyelewengan, kehilangan dan penyalahgunaan barang kes; dan mematuhi arahan mahkamah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bertindak melupuskan barang-barang kes.

Program melupus barang kes itu dijalankan di pekarangan IPD Taiping dan disempurnakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Luqman Abdul Rahman.

Sebanyak 40 kertas siasatan kes yang telah selesai di antara tahun 2011 sehingga 2025 membabitkan kes penyeludupan rokok, perdagangan mata wang kripto, judi, mercun dan kes-kes am dengan nilai rampasan berjumlah RM355,292.

Antara barang yang dilupus ialah 427 unit mesin bitcoin dengan nilai RM106,750; 10,470 kartons rokok (2.1 juta batang) dengan nilai RM266,788.45; 632 tin arak dan 44 botol dengan nilai rampasan RM1,753.55; 130 kotak mercun dan 41 bungkusan mercun pelbagai jenama dengan nilai RM15,000 dan kes judi dengan nilai rampasan RM10,000.

Dalam kategori kes am, lapan kertas siasatan dari tahun 2011 hingga 2019 melibatkan sampel darah daripada kes-kes seksual turut dilupuskan secara sah mengikut perintah mahkamah.


Mohamad Nasir Ismail (kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun yang dirampas sambil diperhatikan oleh Luqman Abdul Rahman (kiri)

Luqman Abdul Rahman mengendalikan jentera berat untuk melupuskan rokok seludup pada majlis perlupusan mega barang kes di perkarangan IPD Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, objektif  majlis pelupusan mega barangan kes untuk memastikan pengurusan barang kes dilakukan dengan teratur, telus, efisien dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan selepas kes selesai di mahkamah.

Beliau berkata, tujuan pelupusan itu bagi mengelak kesesakan di stor barang kes memastikan integiti dan ketelusan; dan untuk mencegah sebarang penyelewengan, kehilangan atau penyalahgunaan barang kes.

“Selain itu, ia juga untuk mematuhi kepada prosedur perundangan dan arahan mahkamah. 

"Barang kes boleh dilupuskan selepas menerima perintah mahkamah dan melindungi kepentingan pemilik sah, meningkatkan kecekapan sistem kehakiman dan siasatan.” katanya pada majlis pelupusan mega barang kes peringkat IPD Taiping di Taiping pada 7 Ogos 2025.

Sehubungan itu, Mohamad Nasir berkata, pelupusan ini dapat memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap agensi penguatkusaan agar terus kekal relevan di masa hadapan. - KitaReporters


Luqman Abdul Rahman (kiri) bersama pegawai-pegawai polis menunjukkan rokok seludup untuk dilupuskan.

11
15
0
7
0
You will be interested