Kadang-kadang kita mengeluh tentang hidup, tentang harga barang naik, tentang kerja yang penat, tentang hari yang terasa terlalu panjang.
Tetapi setiap kali kita berhenti sejenak dan mendengar kisah orang lain, barulah kita tersedar bahawa ada insan lain menanggung beban jauh lebih berat daripada kita bayangkan.
Kisah keluarga kecil ini adalah antara yang mengajar kita erti sabar, reda dan kecekalan seorang isteri dan ibu yang cuba bertahan.
Nor Hamizah Mohd Yusof, 33 tahun, bukanlah wanita biasa. Dia ialah ibu kepada lima orang anak berusia 12, 11, 7, 5 dan si kecil 2 tahun.
Rumah kecil mereka di Kampung Telok Panji, Kota Bharu, Kelantan menjadi saksi kepada setiap tawa, air mata dan perjuangan keluarga ini. Namun perjalanan hidup mereka tidak pernah mudah.
Semuanya bermula dengan sakit lama suaminya, Mohammad Romzi Ab Rahman yang kini berusia 42 tahun.
Sejak umur 18 tahun, doktor mengesahkan buah pinggangnya bocor. Walaupun begitu, dia tetap bekerja seperti biasa, berusaha menyara isteri dan anak-anak.
Inilah wajah anak-anak yang masih belum mengerti tentang kesusahan hidup.
Namun pada penghujung 2016, kehidupan mereka berubah dalam sekelip mata.
Hari itu, suaminya ke tempat kerja seperti biasa, tetapi pulang ketika waktu rehat kerana muntah darah. Pada mulanya Hamizah menyangka suaminya hanya bergurau tetapi apabila melihat sendiri darah yang keluar bersama batuknya, lututnya hampir terjatuh.
“Allah, masa tu saya hanya mampu menangis,” ceritanya.
Dengan anak-anak kecil di belakang, dia menaiki motor dan membawa suaminya ke Hospital Kota Bharu secepat mungkin.
Sesampainya di sana, doktor memanggilnya dan menyampaikan berita yang paling ditakuti oleh seorang isteri.
Menurut doktor, kedua-dua buah pinggang suaminya telah rosak sepenuhnya. Tiada rawatan lain, tiada ubat yang boleh memulihkan, hanya dialisis yang dapat menyambung nyawa.

Nor Hamizah Mohd Yusof bersama suaminya, Mohammad Romzi Ab Rahman.
Malam itu, Hamizah duduk lama di tepi katil suaminya. Hanya bunyi mesin hospital menemani. Tubuh suaminya yang dahulu sihat berubah menjadi sangat kurus, wajahnya pucat, nafasnya terputus-putus.
Dia cuba menahan air mata, tidak mahu suaminya nampak dia lemah. Tetapi apabila doktor terpaksa menebuk paha suaminya untuk memasukkan wayar dialisis, hatinya seolah-olah pecah.
Dalam kepala, hanya terbayang anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa.
Sejak hari itu, hidupnya bertukar menjadi perjuangan yang tidak berpenghujung. Suaminya perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dan setiap rawatan memakan masa berjam-jam. Ujian bagi pesakit buah pinggang bukan hanya jarum atau mesin tetapi air.
Suaminya hanya boleh minum sekitar 500ml sehari. Sedikit terlebih, badannya akan mula membengkak dan sesak nafas.
Mohammad Romzi perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.
Hamizah mengurus segalanya sendiri, memandikan suaminya, menyuapkannya makan, menjaga anak-anak kecil, menghantar dan mengambil suami ke pusat hemodialisis Renal-Link.
Ada hari suaminya kuat sedikit, dia gagahkan diri naik motor sendiri. Tetapi lebih banyak hari di mana Hamizah yang perlu memimpin dan mengurus semuanya seorang diri.
“Sepanjang perkahwinan, kami tak pernah berpisah. Ke
mana pun kami pergi, pergi bersama. Tiba-tiba bila suami kena tahan wad, Allah saja
tahu betapa saya cuba kuat,” ceritanya sedih.
Pendapatannya kecil, namun tanggungannya besar. Mereka hanya bergantung kepada RM500 pencen PERKESO, RM850 Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan bantuan JKM yang digunakan sepenuhnya untuk membayar bil elektrik, air dan keperluan asas rumah.
Wang yang tinggal untuk makan kadang-kadang terlalu sedikit. Ada hari mereka hanya makan apa yang ada. Ada jiran yang baik hati sesekali memberikan telur ayam bagi meringankan sedikit beban.
Bagi menambah pendapatan, Hamizah mengambil tempahan puding. Setiap kali dia mengacau bahan di dapur, dia terfikir betapa bernilainya setiap tempahan itu.
Itulah duit minyak untuk menghantar suami ke hospital. Itulah duit untuk membeli lampin anak. Itulah duit untuk membeli ubat suami yang tidak ditanggung.

Sesi persekolahan tahun 2026 pula memberi cabaran baharu. Tiga orang anak akan memulakan sesi persekolahan dan seorang lagi masuk prasekolah.
Baju sekolah, yuran, kelengkapan belajar semuanya belum mampu dibeli. Bantuan awal persekolahan ada, tetapi selebihnya masih belum mencukupi.
Zakat juga sudah dimohon, namun jawapan belum diterima.
Setiap malam, Hamizah menatap anak-anak yang tidur bergelimpangan di lantai. Ada hari dia tertanya-tanya bagaimana dia mampu bertahan sejauh ini.
Tetapi keesokan harinya, dia bangun lagi demi suami, demi anak-anak, demi keluarga kecil yang hanya bergantung sepenuhnya pada kekuatannya.

Jika kisah ini menyentuh hati anda dan anda ingin
membantu keluarga ini walaupun sedikit, berikut adalah maklumat sumbangan:
Nama: Nor Hamizah binti Mohd Yusof
Bank: Bank Simpanan Nasional (BSN)
No. Akaun: 03010-41-000419146
Setiap sen yang anda hulurkan, tidak kira besar atau kecil, akan menjadi cahaya buat keluarga ini yang sedang bertahan dalam gelap.
Semoga Allah membalas segala kebaikan anda dengan seribu keberkatan. - KitaReporters
Hasil jual puding yang tidak seberapa tidak cukup untuk menampung perbelanjaan seharian.