Insan & Komuniti 21 Jan, 2026

Video| Terima kasih abang kren! Tunjuk cara solat bekerja di kren menara! Rupanya ramai nak tahu!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this

Malaysia sebagai sebuah negara membangun, penggunaan teknologi dan tren moden dalam sektor pembinaan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan. Bangunan pencakar langit, projek infrastruktur berskala besar dan kawasan perbandaran baharu kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan. 



Di sebalik kemajuan ini, wujud satu realiti yang jarang diberi perhatian iaitu peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dalam bidang berisiko tinggi, termasuk sebagai operator kren menara (tower crane) yang bekerja di ketinggian luar biasa. 

Kren pembinaan yang semakin tinggi secara literal ini bukan sahaja mencabar fizikal dan mental, malah menuntut disiplin serta tanggungjawab besar terhadap keselamatan. 

Namun di sebalik risiko tersebut, satu persoalan sering bermain pada fikiran masyarakat, bagaimana golongan ini, khususnya operator kren beragama Islam yang berada berjam-jam di atas, menunaikan kewajipan solat?

Persoalan itu akhirnya terjawab menerusi satu perkongsian dalam TikTok oleh pemilik akaun @azman_azroy, atau lebih dikenali sebagai Azray_Azroy, apabila beliau memuat naik video menunjukkan tempat dia menunaikan solat ketika bertugas sebagai operator kren. 

Video berdurasi ringkas itu nyata mencuri perhatian kerana berjaya meraih 976.2k tontonan, 21.5k tanda suka serta ratusan komen netizen dalam tempoh beberapa hari.



Dalam kapsyen ringkas, Azray menulis, “Ramai tanya tempat solat jadi inilah aku tunjuk tempat aku solat.” 

Perkongsian itu bukan sahaja menjawab rasa ingin tahu orang ramai, malah membuka ruang perbincangan lebih luas tentang komitmen terhadap ibadah dalam apa jua keadaan.

Menerusi video tersebut, Azray memperlihat ruang sempit di dalam kabin kren yang dijadikan tempat solat. 

Walaupun terhad dan berada di ketinggian yang boleh mencecah puluhan meter dari tanah, ia tidak menghalangnya untuk menunaikan solat fardu. 

Rakaman itu memperlihat persediaan ringkas serta keadaan sebenar yang dilalui operator kren setiap hari.



Tindakan tersebut mendapat reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa kagum dan hormat terhadap kesungguhannya menjaga ibadah.



“Bangga dengan kau bro kat mana-mana boleh solat moga berjaya dunia akhirat,” komen salah seorang netizen yang kagum.

Turut senada seorang lagi netizen yang membandingkan orang yang tak solat walaupun disediakan tempat solat. 

“Kagum tengok. Kita yang sediakan ruang solat untuk staf pun tiada seorang pun yang solat sampai dah berhenti kerja. Nak tegur masing-masing dah besar. 

"Semoga kita semua sentiasa jaga ibadah kita,” katanya. 



Komen-komen ini secara tidak langsung mencerminkan realiti masyarakat hari ini, di mana kemudahan bukan jaminan kepada kesedaran beribadah, sebaliknya keikhlasan dan disiplin diri menjadi penentu.

Selain pujian, timbul juga persoalan teknikal yang mencetuskan perbincangan menarik dalam ruangan komen.



“Kiblat akan berubah setiap kali tukar posisi kren kan bang?” tanya netizen.

Soalan itu dijawab oleh seorang netizen. Dia memberikan penjelasan ringkas.

“Pusing kren arah kiblat siap-siap. Selepas itu stay je lah sampai siap solat,” jelas netizen tersebut.

Walaupun kedudukan kren boleh berubah, operator masih boleh mengambil kira arah kiblat sebelum memulakan solat dan memastikan posisi kekal sepanjang ibadah.

Dalam ratusan komen yang ditinggalkan, terdapat juga soalan bersifat santai dan berseloroh, namun tetap mencerminkan rasa ingin tahu netizen terhadap kehidupan sebenar operator kren.



“Terbaik bro, di mana-mana pun tetap utamakan solat. Tapi saya tertanya-tanya juga macam mana ek? Rupa-rupanya bukan saya je apabila ramai yang tanya kalau nak membuang macam mana? 

"Saya harap sangat bro jangan pula buat video demo membuang pula apabila dah ramai sangat bertanya tu,” seloroh seorang netizen.

Perkongsian Azray_Azroy ini secara tidak langsung memberi gambaran sebenar tentang dunia pekerjaan dalam sektor pembinaan, khususnya peranan operator kren yang sering dipandang dari jauh, tetapi jarang difahami cabaran hariannya. 

Dalam suasana kerja berisiko tinggi, disiplin terhadap keselamatan dan tanggungjawab profesional, dia tetap tidak mengabaikan kewajipan sebagai seorang Muslim. Syabas! - KitaReporters



11
11
0
11
0
You will be interested