Norazaemi Ibrahim dikunjungi pegawai perubatan dan kakitangan IIUM di rumahnya di Sungai Isap Perdana, Kuantan.
Sakit itu ujian daripada Allah SWT. Siapa kita untuk menidakkannya.
Dia juga tidak akan menguji hamba-Nya lebih daripada kemampuan empunya diri. Begitu juga apabila sedang diuji sama ada penyakit ringan atau berat, hanya kepada Dia kita mohon doa.
Begitu situasi yang sedang dilalui seorang wanita yang sangat tabah mengharungi cabaran hidupnya. Daripada seorang wanita yang sihat dan aktif melakukan kerja amal, dia kini terlantar dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Lagi cerita-cerita prihatin berkaitan Tolong Kami, Bantu Kami
"Saya perlu kuat untuk menghadapi ujian ini demi anak saya yang menghidap sindrom Asperger," kata Norazaemi Ibrahim ketika ditemui di rumahnya di Sungai Isap Perdana, Kuantan pada 25 Disember 2022 lalu.
Wanita berusia 46 tahun yang didiognosis menghidap Meningitis Tuberkulosis (MTB) pada Oktober 2022 lalu saban hari berdoa supaya cepat sembuh untuk kembali memberi tumpuan kepada anaknya, Muhammad Adam Mukhriz Mohd Nor Saiful, 15.
“Setiap hari saya berdoa supaya cepat sembuh kerana kasihankannya yang kerap sangat ‘tantrum’ sejak melihat saya dalam keadaan begini.
“Dia seperti tidak boleh terima perubahan diri saya tetapi pada masa sama tidak mampu meluahkan perasaan sedihnya,” kata ibu kepada dua cahayamata itu.
Muhammad Adam Mukhriz yang menghidap sindrom itu pada usia empat tahun adalah pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau. Seorang lagi anaknya, Nur Allisa Syahanim, 24, bekerja di sebuah kafe.
Penghidap sindrom Asperger dikategorikan sebagai penghidap autisme sederhana yang mana antara ciri ketara penghidapnya adalah interaksi sosial yang sangat rendah, tingkah laku yang berulang-ulang dan terhad.
Berkongsi pula kisah bagaimana dia didiognosis menghidap MTB, Norazaemi yang juga bekas kakitangan syarikat swasta berkata, semuanya bermula apabila dia hilang selera makan sekali gus menjadikan badannya lesu.
“Hampir sebulan saya kurang selera makan sehinggalah pada suatu hari saya gagal membuang air kecil dan pitam.
“Rakan sekerja membawa saya ke bahagian kecemasan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) untuk membuat pemeriksaan dan ditahan untuk menjalani ujian darah bagi mengenal pasti penyakit saya namun doktor gagal mengesannya.
“Mereka membuat keputusan mengambil air tulang belakang pula dan keputusannya memang amat mengejutkan apabila saya didiognosis menghidap penyakit itu,” katanya.
MTB adalah penyakit yang berkembang secara perlahan dan bertahap, melibatkan membran yang meliputi otak dan spina (saraf tunjang).
Menurut Norazaemi, selepas menjalani rawatan selama 29 hari, dia dibenarkan pulang pada 19 Oktober 2022.
Norazaemi menerima senaskah Al-Quran sumbangan rakan usrah IIUM
“Saya masih boleh berjalan dan menguruskan rumah tangga seperti biasa namun selepas dua minggu, kaki kiri saya menjadi semakin lemah (lembik) dan tidak boleh digerakkan langsung walaupun masih ada rasa (urat saraf masih berfungsi).
“Saraf pada bahagian pinggang juga sudah tidak kuat, secara tidak langsung saya tidak boleh duduk lama dan lebih banyak berbaring sekarang,” katanya yang menjalani rawatan fisioterapi di rumah.
Norazaemi juga amat berharap ada pihak yang sudi memberi perkhidmatan fisioterapi dan urutan secara percuma kepadanya kerana sudah tidak mampu menyediakan kos RM500 seminggu bagi tujuan itu di masa akan datang.
Menurutnya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada kakaknya, Nik Zainon Nik Lek, 67, dan anak saudaranya, Mohd Azuan Ibrahim ,40, untuk menguruskan dirinya.
Katanya, dia juga terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan untuk pelbagai urusan termasuk bayaran kereta, rumah, bil letrik dan air, lampin pakai buang, fisioterapi, rawatan susulan, susu, ubat-ubatan dan perbelanjaan dapur.
"Saya sudah tidak mampu untuk bekerja, tiada pendapatan tetap dan hanya menggunakan simpanan yang ada untuk perbelanjaan selain sumbangan kawan dan saudara mara," katanya.
Kepada anda ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 156012063439 milik Norazaemi atau menghubunginya menerusi talian 016 640 3396.
Sama-sama kita membantu untuk mengurangkan beban yang digalas. - KitaReporters