Insan & Komuniti 17 Jun, 2025

Pelajar madrasah wujudkan Beach Boy Street! Pantai Melawi makin popular! Jadi tumpuan pengunjung!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Pintu gerbang ke kawasan ‘Beach Boy Street’ di Pantai Melawi, Bachok, Kelantan.


‘Beach Boy Street’ yang diwujudkan pelajar Madrasah Al-Insaniyyah Wa-Tahfizul Quran bagi menyuntik populariti Pantai Melawi, Bachok, Kelantan kini kian menjadi destinasi pelancongan menarik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kota Bharu, "jalan" itu diibaratkan salah satu permata tersembunyi di Pantai Timur kerana memiliki keindahan alam yang masih asli dengan suasana tenang, sekali gus menawarkan lokasi sempurna untuk bersantai bersama keluarga atau lari daripada kebisingan kota.

Pantainya memiliki hamparan pasir putih yang bersih lembut dengan air laut jernih menjadikan pilihan bagi orang ramai termasuk pengunjung dari luar berehat menenangkan fikiran disulami melihat matahari terbenam dengan sinaran langit cahaya keemasan amat mempersonakan.


Pantai Melawi yang putih bersih dulunya sunyi sepi kini menjadi tumpuan ramai untuk menenangkan fikiran dan bersantai bersama keluarga.


“Berbeza lapan tahun lalu, pantai ini sunyi sepi hanya kedengaran ombak menghempas gigian pantai dan angin sepoi sepoi bahasa dengan iringan riuh rendah suara pelajar madrasah beriadah bermain bola sepak atau berkejaran di persisiran pantai setiap petang.

“Saya berasa sayu melihat keseronokan telatah pelajar melepaskan penat lelah selepas seharian mengikuti pengajian agama di madrasah dan sebelum matahari terbenam mereka bergegas ke bilik air untuk mandi manda seterusnya berkumpul di surau untuk menunaikan solat maghrib,” cerita pengurus madrasah berkenaan, Ustaz Muhammad Muaz Hasbullah.

Menurutnya, walaupun pantai berkenaan landai dan bersesuaian untuk mandi manda tetapi suasana pada masa itu belum menjadi perhatian atau dikunjungi ramai menyebabkan keadaan sunyi sahaja termasuk pada hujung minggu.

Tambahnya, keadaan itu membuka minda beliau dan pihak pengurusan untuk membangunkan kawasan pantai khusus yang berdepan atau berhampiran madrasah dengan menjadi lokasi dilengkapi kemudahan bangku untuk duduk serta kiosk menjual pelbagai barangan termasuk makanan, minuman dan cenderamata.


Ustaz Muhammad Muaz Hasbullah.


Jelasnya, bagi mengelak sebarang masalah berbangkit, pihak madrasah berjaya memperoleh lesen serta kebenaran pihak berkuasa tempat (PBT) menggunakan kawasan pantai berdepan madrasah untuk menempatkan kira-kira 25 kios yang disewa kepada vendor berminat. 

Beliau berkata, manakala orang ramai atau pengunjung pula boleh menggunakan tandas dan surau pada bila-bila masa dan mereka hanya perlu membayarkan penggunaan seikhlas sahaja serta tiada paksaan dengan menghulurkan derma.

“Hasil sewaan kiosk dan derma orang ramai menggunakan tandas dan sebagainya ini dimasukkan dalam tabung sebagai dana membiayai kos operasi madrasah yang pahalanya dikongsikan dengan mereka juga,” ujarnya.

Ustaz Muhammad Muaz, berkata walaupun kawasan ‘Beach Boy Street’ dipagari dengan tali bermula dari pintu gerbang, ia bukan sekatan kerana orang ramai termasuk pengunjung bebas untuk masuk bagi membeli barangan makanan, minuman serta cenderamata.


Pengunjung bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan dalam kawasan ‘Beach Boy Street’.


Menurutnya, pihak madrasah menyediakan bangku dan meja kayu bagi kegunaan mereka untuk duduk berehat sambil menjamah bekalan makanan yang dibawa bersama dari rumah atau dibeli dari kiosk serta gerai sekitar jalan utama masuk ke pantai itu.

Tambahnya, pihak madrasah ingin berkongsi rezeki dengan penduduk sekitar yang membuka gerai menjual pelbagai barangan makanan serta minuman sepanjang pantai kerana keadaan itu turut menjadi daya tarikan di samping mewarnai kemeriahan sehingga pantai berkenaan semakin terkenal dan menjadi tumpuan.

“Kewujudan ‘Beach Boy Street’ ini juga menjadi satu kemudahan kepada ahli keluarga pelajar madrasah yang berkunjung pada hujung minggu untuk bersantai bersama anak mereka sambil menikmati pelbagai makanan dan minuman.  

“Madrasah ini menempatkan 40 pelajar lelaki yang dilengkapi tiga asrama di samping kemudahan 10 unit chalet yang dibuka kepada ibu bapa pelajar apabila berhajat untuk bermalam dan kami amat berterima kasih kepada PBT serta penduduk sekitar yang banyak memberi kerjasama,” ujarnya. 


Suasana yang tenang dan nyaman dengan angin sepoi-sepoi bahasa memberi keselesaan kepada pengunjung menggunakan kemudahan disediakan dalam kawasan ‘Beach Boy Street’.


Sementara itu seorang pengunjung dari Teluk Intan, Perak, Muhammad Ibrahim yang ditemui, berkata pantai Melawi amat menarik dan apabila memasuki kawasan ‘Beach Boy Street’ banyak meja dan bangku disediakan, sekali gus memberi keselesaan untuk menjamu selera bersama keluarga.

Terangnya, keadaan pantainya yang landai dan luas amat sesuai untuk kanak-kanak bermain sambil diperhatikan ibu bapa manakala madrasah pula menyediakan kemudahan asas khusus tandas serta surau untuk kegunaan pengunjung.


Kanak-kanak menikmati keseronokan bermain di tepi pantai yang bersih dan mudah diperhatikan ibu bapa.


Manakala Muhammad Ridhwan dari Kajang, Selangor, pula berkata pelbagai kiosk makanan dan minuman yang beroperasi memudahkan pengunjung mendapat keperluan sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Orang ramai yang berkunjung ke pantai ini juga turut memberi peluang kepada penduduk membuka gerai menjual makanan serta minuman dilaluan utama yang membuka peluang mereka menjana pendapatan.

"Sebagai memilihara keindahan pantai ini pengunjung juga perlu menjaga kebersihan dan bertanggungjawab menggunakan kemudahan yang disediakan seperti tandas dan surau di madrasah berkenaan sebaik mungkin supaya dapat turut digunakan pengunjung lain," ujarnya. - KitaReporters


Antara kiosk dalam kawasan ‘Beach Boy Street’ yang menjadi tumpuan pengunjung untuk menjamu selera.


Sebahagian bangunan utama Madrasah Al-Insaniyyah Wa-Tahfizul Quran di Pantai Melawi, Bachok, Kelantan.

25
15
0
13
0
You will be interested