
Tetamu pertama hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1446H Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) Bandar Baru Bangi, Selangor.
MAJLIS Rumah Terbuka Aidilfitri 1446H Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) Bandar Baru Bangi, Selangor bukan sahaja mahu merapatkan ukhuwah dalam kalangan ahli tapi meraikan anak-anak-yatim, asnaf dan ibu tunggal selain jemaah haji yang akan berangkat ke Tanah Suci, pada akhir April 2025.
Ia acara wajib setiap Syawal bagi menyatakan kesyukuran kemenangan melawan nafsu selepas sebulan berpuasa selain gembira masih dapat melakukan misi kemanusiaan sepanjang Ramadan.
Biro Penggerak Misi Amal, Ustazah Norhayati Sulaiman berkata, pertubuhan itu bergerak dalam satu pasukan yang komited dan itulah tunjang kekuatan sehingga mampu melakukan banyak aktiviti menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin, asnaf, anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Ustazah Norhayati Sulaiman (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir.

Ramai tetamu datang bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Misi Amal 1446H.
"Mungkin sumbangan kami tidak seberapa tapi Misi Amal cuba memberi bantuan makanan dan wang tunai kepada seramai muingkin golongan memerlukan bukan hanya di Selangor tapi di seluruh negara.
"Terima kasih kepada ahli yang banyak memberi sumbangan tenaga, material dan kewangan selain penderma yang sentiasa bersama kami sehingga Misi Amal dapat melakukan banyak aktiviti bantuan kemanusiaan.
"Insya-Allah, misi bantuan kemanusiaan akan ke luar negara bermula dengan kunjungan ke Panti Asuhan Nurul Jannah di Lombok, Indonesia pada April 2025.
"Selepas itu Misi Amal akan berkelana bagi mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci dan menyantuni golongan miskin di sekitar kota Madinah," katanya.


Rumah Terbuka Aidilfitri Misi Amal bukan sekadar untuk makan dan minum tapi merapatkan ukhwah serta persahabatan sesama insan.
Sepanjang Ramadan 1446H, Misi Amal memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan setiap minggu, antaranya 16 keluarga di Kampung Sungai Jai, Beranang dan tiga kampung berhampiran; berkunjung dari rumah ke rumah 16 keluarga asnaf sekitar Hulu Langat; memasak bubur lambuk di ibu pejabat Misi Amal; dan sumbangan untuk keluarga asnaf di Kuala Krai, Kelantan.
Bantuan juga diberikan melalui ahli-ahli Misi Amal kepada penduduk miskin di Kuala Krai, Kelantan dan Baling, Kedah bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk menyediakan juadah kepada keluarga masing-masing sempena Aidilfitri 2025 ini.

Anak-anak yatim dan ibu tunggal menjadi tetamu istimewa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1446H Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor.

Kanak-kanak mendapat layanan VIP, menerima jajan dan duit raya.
Ditanya adakah dana mencukupi untuk menyantuni golongan miskin, asnaf, anak-anak yatim dan ibu tunggal, Ustazah Norhayati berkata Misi Amal mempunyai lebih 600 ahli di seluruh negara termasuk Brunei dan setiap mereka menyumbang RM10 sebulan.
"Tapi, jika mahu bergantung kepada yuran ahli memang tidak cukup, justeru kami mengusahakan kebun komuniti dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kangkung, bayam dan kucai untuk mengumpul dana bagi membolehkan bantuan diberikan kepada lebih banyak penduduk memerlukan.

Tetamu bergambar kenangan bersama Timbalan Pengerusi Misi Amal, Tina Wardi (dua dari kanan).

Penasihat Misi Amal, Ustaz Mohamad Raffe (empat dari kiri) turut hadir.
"Justeru, saya berharap ada syarikat korporat dan swasta dapat bersama kami bagi membolehkan usaha menyantuni lebih ramai penduduk miskin dapat dilakukan di masa depan kerana setakat ini kami tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak sama ada pusat zakat atau baitulmal.
"Syarikat korporat, swasta dan orang ramai yang mahu menyumbang kepada Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Insaniah Selangor boleh menyalurkan derma itu ke akaun berikut: Maybank 562263560241 atau menghubungi saya menerusi talian 017-2606062 untuk maklumat lanjut," katanya.

Keluarga berpakaian sedondon memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Misi Amal 1446H.
Ditanya kepuasan yang diperolehi daripada aktiviti amal itu, Ustazah Norhayati yang berasal dari Desa Putra, Sungai Merab, Selangor dan mempunyai 16 adik beradik mengakui kerjaya itu memenatkan tapi ia diubati apabila melihat usaha membantu golongan miskin dan asnaf mencapai kejayaan.
"Saya puas dan lega melihat insan-insan yang menerima sumbangan dari pertubuhan ini menguntum senyuman dan mengucapkan terima kasih selain berdoa moga usaha yang kami lakukan berterusan dan penuh istiqomah.

Aiskrim paling mendapat sambutan hadirin terutama di kalangan kanak-kanak.
"Saya datang daripada keluarga susah, apa yang kami lakukan hari ini juga untuk diinfaq pahala kepada ibu bapa yang meninggal dunia selain diri sendiri malah inilah amal jariah yang saya bawa sehingga ke liang lahad nanti.
"Sekurang-kurangnya saya dan suami ada jawapan di hadapan Allah jika ditanya apa sumbangan sesama manusia.
"Saya berharap untuk masa depan, kami memerlukan lebih ramai golongan muda menyertai Misi Amal bagi menggantikan ahli sedia ada yang akan berundur kerana faktor usia dan bagi meneruskan legasi ini selain memastikan usaha menyantuni penduduk miskin, asnaf, anak-anak yatim dan ibu tunggal dapat terus sampai bila-bila," Ustazah Norhayati mengakhiri kata. - KitaReporters
