
MAJLIS perkahwinan zaman dahulu ringkas tapi meriah
MAJLIS perkahwinan sekarang sudah tak ikut musim. Boleh dikatakan sepanjang tahun, kecuali bulan Ramadan, saban minggu, sana sini berlangsung kenduri kahwin.
Ia berbeza dengan zaman dahulu, majlis perkahwinan hanya dilangsungkan pada musim cuti sekolah terutama cuti penggal terakhir pada hujung tahun.
Ini bagi membolehkan sanak saudara terutama yang tinggal jauh untuk turut hadir. Malah, ia seolah-olah menjadi satu majlis penyatuan keluarga yang mana dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturahim serta saling kenal mengenal.
Juga, tidak seperti zaman sekarang yang menganjurkan majlis perkahwinan di dewan, rumah perkahwinan malah yang berkemampuan, di hotel, orang zaman dahulu lebih selesa melangsungkan di rumah sendiri.

MASYARAKAT zaman dahulu saling bekerjasama membantu menjayakan majlis perkahwinan.
Malah, penyediaan makanan juga dimasak sendiri di belakang rumah. Dulu-dulu, terutama di kampung, mana ada khidmat katerer seperti sekarang sebaliknya ia disediakan secara bergotong-royong oleh masyarakat setempat.
Ketika itu terserlah sifat kerjasama serta saling bantu membantu dalam kalangan masyarakat. Setiap urusan majlis dari A hingga Z, semua dilakukan bersama secara sukarela. Kalau ada 'upah' pun, hanya sekotak rokok dan sehelai tuala 'Good Morning'.
Sebulan sebelum majlis berlangsung, suasana sudah dapat dirasai apabila orang kampung sama-sama bersising lengan mencari kayu api bagi dijadikan bahan bakar untuk memasak makanan pada hari perkahwinan nanti.
Biasanya, tuan rumah akan menyediakan minum petang sebagai menghargai mereka dengan menyediakan juadah ringan, paling tidak ubi kayu rebus cicah sambal atau kelapa dan kopi 'O'. Kalau tuan rumah berkemampuan, dapatlah menikmati bihun goreng!

PENDUDUK kampung mencari kayu api sebagai persediaan memasak untuk majlis kahwin.
Beberapa hari sebelum majlis, orang
kampung bergotong-royong pula mendirikan balai khusus untuk tetamu lelaki.
Tetamu perempuan biasanya ditempatkan di dalam rumah pengantin dan rumah-rumah
berhampiran.
Sudah tentu sesuatu yang janggal ketika itu jika kita lihat tetamu wanita duduk bersama tetamu lelaki walaupun mereka suami isteri atau datang sekeluarga. Begitulah adab ketika itu yang sangat dititikberatkan.
Sehari sebelum majlis, mereka bergotong-royong pula menyediakan bahan-bahan untuk dimasak sebagai sajian keesokannya. Ada yang memotong cili, menyiang sayur, pucuk paku, mengupas serta memotong bawang, membersihkan ayam, mengukur kelapa, memerah santan dan menggiling cili, semua dilakukan sama-sama.

SEMUA orang ada tugas masing-masing.
Sambil melakukan semua itu, mulut masing-masing 'sama naik' dengan kerja mereka. Ketika zaman media sosial belum wujud, 'radio bergerak' adalah sumber penyebaran makumat.
Selain bergurau-senda, usik mengusik, ada yang menggunakan waktu berkumpul itu untuk bergosip. Sambil tangan menyiang bawang, ada yang seronok turut 'membawang'!
Pada hari berlangsungnya majlis, masing-masing diberikan tugas khusus. Ada kumpulan ditugaskan memasak, yang lain mengutip pinggan dan cawan yang sudah digunakan dan dihantar ke tempat cucian yang mana sedia disambut oleh tukang cuci.

TUGAS penanggah adalah menghantar makanan.
Pemuda pemudi pula lazimnya ditugaskan sebagai penanggah atau di utara dipanggil mentara. Penanggah lelaki akan membuat barisan panjang yang akan menyambut talam hidangan untuk dihidangkan kepada tetamu.
Penanggah perempuan pula bertugas menyambut makanan di dalam rumah. Ketika menyambut makanan inilah, ada penanggah lelaki mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan penanggah perempuan yang terdiri daripada anak-anak gadis kampung itu malah ada yang akhirnya bertemu jodoh!
Tidak seperti trend terkini yang mewah dengan pelbagai juadah sampingan seperti laksa, bihun goreng, mi kari, kuih-muih, cendol dan minuman panas, kenduri kahwin zaman dahulu, tetamu hanya dihidangkan menu utama seperti nasi minyak, daging atau ayam, kuah dal dan jelatah atau kerabu pucuk paku.
Biasanya daging dimasak kurma, 'rendang besar' atau kari (di utara disebut gulai) sementara ayam dibuat masak merah, rendang atau kari. Sementara minuman pula hanya air manis (sirap).

MAKANAN dihidang dalam talam.
Namun, apa yang pasti, tidak timbul
isu makanan tidak cukup kerana tukang masak sentiasa bersedia untuk memasak on the spot bagi menampung kehadiran tetamu.
Sekarang, dengan menggunakan khidmat katerer kerap berlaku isu makanan tidak cukup, baru masuk jam 1 tengah hari, makanan sudah habis sedangkan tetamu makin ramai membanjiri dewan. Kelam kabut tuan rumah mencari kedai mamak untuk 'top up' makanan walaupun sekadar nasi putih berlaukkan ayam goreng.
Ia bukan salah katerer sebaliknya selalunya tuan rumah yang silap perhitungan. Makanan yang ditempah untuk 1000 orang tapi yang dijemput 1200.
Sebab itu, dalam beberapa majlis, kita dapati tuan rumah menyediakan khidmat 'tukang cedok lauk' bagi tujuan mengawal makanan. Ini semua kerana bimbang makanan tak mencukupi selain mengelak pembaziran.

TETAMU datang membawa bersama buah tangan yang diletakkan dalam mangkuk tingkat.
Hal ini tidak berlaku pada majlis perkahwinan zaman dahulu. Kita dapat lihat, tetamu yang datang bukan sekadar suami isteri sebaliknya 'satu batalion', anak cucu cicit semua dibawa meraikan majlis perkahwinan itu.
Lazimnya, walaupun ketika itu tidak ada 'salam kaut' seperti sekarang namun tetamu tidak datang berlenggang dengan tangan kosong sebaliknya membawa buah tangan berupa barang makanan seperti gula, tepung, kuih atau beras yang diisi dalam mangkuk tingkat.
Dan apabila mereka pulang, mereka juga tidak balik dengan tangan kosong sebalik mangkuk tingkat mereka akan diisi dengan buah tangan dari tuan rumah sebagai tanda terima kasih. Paling tidak mereka akan dapat telur rebus yang dibalut dengan tisu.

LAGU-LAGU Pop Yeh Yeh berkumandang pada majlis perkahwinan zaman dahulu.
Sesuatu yang menarik pada zaman dahulu, silaturahim juga terserlah semasa menikmati juadah. Makanan yang dihidangkan dalam talam dinikmati empat orang. Selagi tak cukup regu (empat orang) anda tidak dibenarkan makan.
Justeru, sebelum duduk bersila menanti hidangan, tetamu biasanya akan mencari regu lebih awal supaya mereka tidak ternanti-nanti menelan liur di depan hidangan kerana tak cukup korum.
Selain duduk di balai, ada juga yang selesa makan bersantai di bawah pokok terutama pokok manggis hanya beralaskan akar atau rumput. Namun, suasana begitu memang satu kenangan yang nenyeronokkan dan penulis sangat merinduinya.
Sambil menikmati makanan, tetamu dihiburkan dengan lagu-lagu Pop Yeh Yeh nyanyian Jeffrydin, A Ramlie, A Halim, S Jibeng, Ahmad Jais, Rafeah Buang, Sanisah Huri dan bintang-bintang 1960-70an lain, dimainkan oleh deejay yang diberikan 'konti' khas di bawah rumah.

PERIUK belanga dicuci sebaik saja tamat majlis.
Speaker yang dipasang di atas pokok
manggis menyebabkan alunan muzik itu bergema ke sekitar kampung, sekali gus
memudahkan tetamu untuk mencari lokasi majlis. Ketika GPS dan Waze belum wujud,
speaker itulah menjadi penunjuk arah selain kad jemputan yang dilengkapi peta
lokasi.
Menjelang jam 5 petang, majlis berakhir tapi tugas belum selesai kerana pinggan mangkuk, periuk belanga perlu dicuci. Malah, majlis bersambung pula pada malam hari yang ternyata lebih meriah.
Selain tidak sabar untuk melihat pasangan pengantin bersanding, acara yang amat dinanti-nantikan adalah joget lambak atau persembahan kugiran mahupun ghazal parti.

LAGAK Pak Maon jadi ikutan.
Penulis masih ingat, joget lambak memang acara yang sangat diminati ramai. Walaupun penulis tidak mengambil bahagian sebaliknya hanya menonton tapi sangat terhibur dengan gelagat kaki joget yang 'naik syeh' menari hingga tak memberi peluang kepada orang lain
Ketika inilah kita dapat melihat ramai 'Pak Maon' (watak Mahmud June dalam filem Nasib Do Re Mi) yang muncul nenunjukkan belangnya. Nasib baik tidak berlaku insiden 'bentara guru' datang berjoget sama.
Maka bersoraklah orang kampung melihat Pak Maon terkinja-kinja di atas balai melayan lagu-lagu seperti Joget Serampang Laut, Lenggang Mak Limah hatta lagu Inggeris seperti Black Magic Woman dan Smoke In The Water.

ZAMAN berubah, orang sekarang lebih selesa buat majlis kahwin dalam dewan.
Semua itu sudah berlalu dan sekadar tinggal kenangan. Di kampung penulis sendiri, majlis perkahwinan tidak lagi dilangsungkan di rumah sebalik mereka memilih dewan, tidak ada lagi gotong-royong mencari kayu api, meendirikan balai atau memasak secara beramai-ramai.
“Sekarang mudah, buat di dewan, rumah tak bersepah. Masak pun tak perlu lagi suruh orang kampung, kita ‘ring’ (telefon) saja,” kata seorang warga emas yang penulis panggil Pak Ngah.
“Lagipun zaman sekarang, mana ada orang nak buat kerja free macam dulu. Semua kena upah. Dah tak ada istilah gotong-royong atau bekerjasama. Anak-anak muda pun tak minat jadi penanggah,” sambung Pak Ngah.
Memang penulis rindu kenduri kahwin zaman dahulu tapi kena terima hakikat bahawa masa beredar meninggalkan waktu silam seiring dengan perubahan masa kini. - KitaReporters