
Kemalangan maut melibatkan lori membawa kerikil dengan kenderaan yang membawa anggota FRU berhampiran Teluk Intan, Perak pada pagi 13 Mei 2025 meragut nyawa sembilan anggota FRU.
LORI, treler! Balik-balik kisah dua kenderaan berat ini. Saban hari ada sahaja berita kemalangan maut melibatkan lori atau treler di jalan biasa atau lebuh raya.
Kemalangan maut paling tragis pada tahun 2025 ini sehingga kini ialah insiden sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pada pagi 13 Mei 2025.

Anggota bomba melakukan kerja menyelamat di lokasi kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dekat Teluk Intan pada 13 Mei 2025.
Biasanya pemandu lori, yang dianggap ‘Raja Jalan’ sangat jarang terkesan dengan kemalangan. Yang kerap jadi mangsa ialah pengguna jalan lain. Mereka ibarat mentimun, lori dan treler ibarat durian. Mentimun digelek luka, kena gelek pun luka.
Dalam
peristiwa di Teluk Intan, punca kemalangan kerana stering lori tidak
berfungsi. Ini menyebabkan lori terbabas ke laluan bertentangan, bertembung dengan kenderaan yang membawa anggota FRU dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai
Senam, Ipoh, dari tugasan di Teluk Intan.
Dalam banyak kemalangan lain, alasan sering diberi ialah brek rosak. Akibatnya lori gagal dikawal, merempuh kenderaan di hadapan, atau gagal berhenti di lampu isyarat lalu merempuh kenderaan yang menunggu lampu bertukar hijau.

Kemalangan ngeri melibatkan dua buah treler dan kereta di Terowong Menora, Lebuh Raya Utara Selatan pada tengah malam 12 Mei 2022 mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

Tinggal rangka... Kereta yang dinaiki lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar hangus dalam kemalangan melibatkan kereta tersebut dengan dua treler di Terowong Menora pada tengah malam 12 Mei 2022.
Namun elemen kecuaian pun ada. Misalnya membuat pusingan-U di tempat tidak dibenarkan menyebabkan insan tidak berdosa menemui maut.
Selain itu, kemalangan berlaku melibatkan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Tidak kurang memandu melebihi had laju.
Anihnya, hanya
selepas berlaku kemalangan barulah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis mendedahkan pemandu terlibat mempunyai
banyak kes kesalahan lalu lintas dan saman tidak dibayar, atau kes jenayah seperti
pemandu lori yang terlibat kemalangan dengan lori FRU di Teluk Intan.
Kenapa hanya selepas berlaku kemalangan baru fakta-fakta ini semua hendak ditonjolkan?
Sudah terantuk baru tengadah. Kenapa pemandu lori yang ada kes jenayah serta kesalahan lalu lintas dan tidak bayar saman, dibiarkan tanpa tindakan?

Kemalangan kereta dengan lori di Lebuh Raya Karak, berhampiran Bentong, pada 30 Mac 2025 mengorbankan empat orang.
Pendedahan selepas kemalangan seolah-olah memberi justifikasi kenapa kemalangan berlaku. Sepatutnya langkah pencegahan diambil sejak awal dengan memastikan pemandu bermasalah tidak berada di belakang stereng.
Benar,
malang tidak berbau. Tetapi langkah pencegahan perlu diambil sebagai usaha dan
ikhtiar. Aspek pemandu dan kenderaan mesti dititikberatkan.
Pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya, cuai serta memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol mesti disekat. Kenderaan pula mesti kerap diperiksa dengan sangat teliti sebelum dibenar berada di jalan raya. Kemungkinan besar kerana tiada pemantauan dan pemeriksaan rapi menyebabkan berlaku kes stereng atau brek lori rosak.
Dalam konteks tersebut, apa pula tangungjawab pemilik atau syarikat kenderaan yang rosak di atas jalan? Tak kan pemandu sahaja yang dipersalah?

Lori menghempap kereta menyebabkan pemandu kereta terkorban. Insiden berlaku di Seremban, Negeri Sembilan, pada September 2024.
Dalam hal seperti ini, penulis berpendapat wajar pemilik lori atau syarikat di mana pemandu berbahaya ini bekerja diambil tindakan tegas juga. Mereka dianggap bersubahat kerana membiar dan membenarkan pemandu yang tidak pemenuhi piawaian atau peraturan berada di atas jalan.
Kemalangan
melibatkan lori sudah terlalu kerap sehingga ia menimbulkan igauan ngeri serta ketakutan melampau.
Perhatikan di jalan raya, pemandu kenderaan lain akan cuba mengelak daripada berada
di hadapan, sisi atau belakang lori.
Ini
gara-gara mereka takut dan fobia dengan lori. Justeru pihak berkuasa usah biar
fobia ini terus menghantui. Bertindak tegas kepada pemandu lori yang memandu
secara berbahaya. Sita lori yang tidak memenuhi kelayakan berada di atas jalan
raya.
Yang penting, bertindak dari awal, bukan biarkan pemandu yang dapat berpuluh-puluh saman terus memandu. Jika saman pertama tidak dijelaskan, dan tidak memperbaiki mutu pemanduan, gantung atau batalkan lesen.
Lori yang tidak selamat tetapi berada di jalan raya perlu pula disita. Pemilik atau syarikat kenderaan kena dipertanggungjawab bersama.
Jalan raya atau lebuh raya adalah hak untuk semua, bukan untuk dikuasai kenderaan berat. Semua pemandu mesti berasa selamat ketika berada di atas jalan. Justertu jangan ancam keselamatan mereka. - KitaReporters

Pemandu lori tanah 'sodok' lima kereta di Nilai pada 27 September 2024 positif dadah, lapor media. - Kredit foto: Kosmo Digital