
Dalam keadaan ekonomi yang meruncing ini, semua orang cuba untuk menjimatkan wang lebih-lebih lagi untuk menyewa sama ada rumah mahupun bilik untuk didiami.
Namun begitu, persoalannya adakah antara kita sanggup tinggal dan seterusnya tidur di ruang tandas? Ini nampaknya sudah keterlaluan.
Gara-gara terlalu ingin berjimat-cerat, seorang wanita muda dari Hunan, China tinggal di dalam tandas yang berkeluasan hanya enam kaki persegi.

Segala persiapan sebelum memulakan kerja dilakukan di dalam bilik tandas yang sudah dijadikan tempat tinggalnya.
Perkongsian remaja berkenaan yang menunjukkan tempat tinggalnya dalam media sosial mula menjadi tular.
Kediamannya yang luar biasa itu merupakan sebuah bilik tandas di tempat kerjanya yang kini disewa dengan kadar bayaran sebanyak 50 Yuan sebulan iaitu bersamaan lebih kurang RM32.
Berdasarkan paparan dalam laman sesawang Oddity Central, tandas kecil itu sudah tidak digunakan yang terletak di dalam kilang perabot tempat wanita berkenaan bekerja.
Remaja yang baharu berusia 19 tahun itu menjelaskan bahawa dia berasal dari keluarga miskin dan tidak mampu membayar lebih daripada 800 Yuan (RM488) untuk rumah yang sesuai, jadi dia bertanya kepada majikannya sama ada boleh tinggal di tandas kilang berkenaan.
Bagaimanapun, selepas perkongsian itu tular sehinggakan ada yang beranggapan pengisiannya sahaja tetapi majikannya itu telah tampil sekali gus mengesahkan bahawa pekerjaanya itu memang tinggal di dalam tandas di tempat dia bekerja.
Menurut majikannya itu, dia berkeras untuk membayar 50 Yuan bagi kegunaan air dan elektrik setiap bulan.
"Walaupun dia mahu membayar bil tersebut tetapi saya tidak mahu mengambil wangnya itu memandangkan dia juga meminta kebenaran untuk duduk di tandas yang sudah tidak digunakan lagi.
"Saya ada membantunya mencari bilik lain di kawasan berhampiran dengan kilang namun sewanya melebihi daripada kemampuannya iaitu antara RM488 hingga RM620.
"Memandangkan kawasan kilang ini juga agak jauh dan terpencil, sekali gus tidak ada banyak pilihan dengan sewa yang berpatutan, maka saya membenarkannya," kata majikan itu.

Barang disusun rapi dan kemas walaupun tinggal di dalam tandas.
Wanita muda berkenaan tidak mahu terlalu memilih soal tempat tinggal dan baginya sudah mempunyai tempat berteduh selepas pulang daripada kerja juga sudah memadai.
"Walaupun gaji bulanan saya sekitar RM1,800 sebulan namun saya tidak mahu menghabiskan banyak wang hanya untuk rumah dan lebih pasti tidak sanggu membelanjakan sehingga 800 Yuan hanya untuk membayar sewa," katanya yang menduduki tempat itu pada awal Mac 2025 yang lalu.
Wanita berkenaan turut mendedahkan bahawa dia telah pun berhenti sekolah pada usia 16 tahun lagi untuk membantu keluarganya.
Jadi, perkara lain sudah tidak menjadi kepetingan dalam hidupnya termasuk rumah kerana fokusnya hanya untuk mencari rezeki.
Dalam pada itu, menariknya, disebabkan perkara tersebut, majikannya yang prihatin itu sedang membuat sedikit pengubahsuaian di pejabat tersebut.
Keadaan hidup luar biasa remaja berusia 19 tahun itu mendapat reaksi bercampur-campur dalam media sosial China.
Ada sesetengah orang mengagumi keazamannya untuk berjimat-cermat dan mengumpul menjimatkan wang, namun ada juga yang lain mengatakan bahawa kesihatannya lebih penting daripada wang.
Tidak ketinggalan ada juga yang bersimpati ke atasnya dan menyatakan bahawa tiada siapa yang harus hidup dalam keadaan itu melainkan mereka tidak mempunyai alternatif lain. - KitaReporters
