SELEPAS lapan tahun beroperasi dengan disulami pelbagai rintangan dan dugaan demi memastikan warga emas tersisih dapat meneruskan kelangsungan hidup akhirnya usaha murni Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia mendapat pengikhtirafan pada 5 Oktober 2024.
Bagi merealisasikan usaha itu supaya dapat dilakukan secara
berterusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, menubuhkan rumah
kebajikan yang dikenali Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung
Sungai Purun, Semenyih, Selangor, menjadi tempat berlindung warga emas.
Justeru dengan kesungguhan dan komitmen tanpa berbelah bagi PJMM membela nasib warga emas tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan, pada sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, PJMM meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Warga Emas Cemerlang.
Muhammad Syafiq Mohaidin menunjukkan sijil penghargaan yang diterima oleh PJMM.
Anugerah yang tertinggi dan paling bermakna kepada PJMM itu
disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk
Seri Dr Noraini Ahmad kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman pada sambutan yang
diadakan di Dewan A, Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.
Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin.
Azman yang ditemui berasa amat terharu PJMM menerima
anugerah daripada kerajaan yang tidak pernah diimpikan atau diangan-angankan
kerana setiap tugas serta tanggungjawab menjaga dan menyantuni warga emas itu
dilakukan dengan seikhlasnya.
Menurutnya, dengan ketiadaan peruntukan khusus setiap bulan dari pelbagai pihak, bagi menampung kos operasi, dia bersama-sama kakitangan lain sentiasa gigih berusaha mencari dana sumbangan berbentuk wang disamping barangan keperluan asas untuk dinikmati warga emas.
Azman Rasman menyampaikan cenderahati kepada Dr Noraini Ahmad iaitu naskhah buku cerpen kisah benar berjudul 'Terkulai Di Senja Hari' yang menjadi sumber mencari dana sumbangan.
Tambahnya, kakitangan tetap serta pelbagai ahli NGO seperti
Sukarelawan Kasih, Kesuma ’24, Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, Hospital
Ampang, Hospital Kuala Lumpur dan sebagai memberi suntikan semangat kepada
pengurusan untuk meneruskan tanggungjawab mengurus warga emas itu.
“Kejayaan meraih anugerah Ini bukanlah suatu keegoan
sebaliknya keprihatinan serta sikap rendah diri bagi memuliakan warga emas yang
disisihkan oleh ahli keluarga, menjadi gelandangan, hidup sebatang kara, uzur dengan
menghidap bermacam-macam penyakit dan Orang Kelainan Upaya (OKU) apabila mereka
menagihkan kasih sayang seorang anak.
“Kami memikul tanggungjawab ini bersama-sama mereka yang
prihatin apabila ada sesetengah menyalurkan sedikit sumbangan setiap bulan
sebagai amal jariah, agensi kerajaan, korporat, pelajar institut pengajian
tinggi dan sebagainya mengadakan program tanggungjawab sosial korporat di PJMM.
“Saya mengalu-alukan pebagai pihak agensi kerajaan, korporat, NGO dan pusat pengajian tinggi untuk membawa pelajar mereka membuat aktiviti amal kebajikan serta CSR di sini, bagi mengelak sebarang kekeliruan atau untuk mendapatkan kepastikan boleh hubungi kami terlebih dahulu,” ujar Azman lagi.
Azman dan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado (duduk tengah) berkongsi kegembiraan bersama-sama warga emas dengan menunjukkan sijil penghargaan Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Warga Emas Cemerlang.
Sementara itu, Muhammad Syafiq menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengoperasian PJMM dan anugerah itu membakar semangat dan usaha untuk terus berbakti serta membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Beliau berkata, falsafah kerja kebajikan dia adalah untuk memastikan masyarakat di negara ini tidak diabaikan dan disisih terutama warga emas yang sakit serta tidak ada keupayaan diri kerana mereka perlu disantuni sebaik mungkin bagi meneruskan kehidupan sehingga akhir hayat.
Jelasnya, perlu diketahui satu perkara lagi dalam kalangan masyarakat, pengoperasian pusat jagaan warga emas yang percuma itu tanpa dikenakan sebarang bayaran, bukanlah untuk bersaing tetapi perlu fokus pada niat dan objektif asal iaitu membantu golongan memerlukan pembelaan.
“Tidak dinafikan penganugerahan ini juga akan membakar semangat dan meneruskan misi kami dalam menjadikan PJMM sebagai pusat tumpuan pendidikan berkaitan penjagaan warga emas.
"Melalui pendidikan, kita akan mendidik anak muda ke arah yang lebih baik dan sekali gus selari dengan pembentukan tamadun yang berkualiti pada masa hadapan.
“Saya sentiasa mempelawa agensi kerajaan, swasta, kolej atau universiti untuk hadir bagi mengadakan pelbagai program amal kebajikan serta CSR di PJMM di samping menimba serta berkongsi pengetahuan dan ilmu mengurus warga emas yang betul,” katanya. - KitaReporters
Azman merakam kenangan kegembiraan dan rasa bersyukur selepas menerima sijil penghargaan Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Warga Emas Cemerlang.