Insan & Komuniti 12 Oct, 2024

Jom hidup sihat! Jangan merokok, vape! Karnival Sihat dan Aktif Komuniti Hulu Langat didik masyarakat!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Syahredzan Johan (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada petugas reruai pemeriksaan mata di Karnival Sihat dan Aktif Komuniti Hulu Langat 2024.


MASYARAKAT perlu menyokong tindakan tegas Kementerian Kesihatan berkaitan larangan merokok dan vape di beberapa lokasi tertentu di seluruh negara kerana jumlah perokok terutama penghisap vape semakin membimbangkan termasuk dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah, kata Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

"Saya menyambut baik larangan itu kerana rokok atau vape menimbulkan budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat bahkan memberi kemudaratan bukan sahaja kepada perokok tapi mereka yang berhampiran yang turut menghidu asap rokok atau vape.

"Saya juga risau dengan penggunaan vape yang menjadi punca peningkatan lebih ramai perokok baharu yang kebanyakan dalam kalangan usia masih mentah termasuk pelajar sekolah. 

"Kadangkala macam tak percaya melihat mereka (pelajar sekolah) semakin berani dan tiada lagi segan silu menghembus asap rokok elektronik di khalayak awam.


Syahredzan Johan.


"Jom kita sama-sama menjauhi tabiat merokok dan vape, jika boleh usah mulakan perbuatan tidak sihat itu, nanti menyesal," katanya selepas merasmikan Karnival Sihat dan Aktif Komuniti Hulu Langat 2024 di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Karnival itu anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat sempena One Hour Malaysia Clean Up peringkat Negeri Selangor dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bersama Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat Daerah Hulu Langat 2024.  

Pelbagai aktiviti akan dijalankan secara percuma, antaranya saringan Kesihatan & HPV, Fun Run & Wellness Walk @ Plogging, Saringan Telinga, Pemeriksaan Gigi, Ujian Kecergasan, Sukan Rakyat, Reruai Pameran dan Jualan, Pertandingan Masakan Tradisi, Aktiviti Memanah, Pertandingan Mewarna untuk Kanak-Kanak, Kursus Hidroponik Jabatan Pertanian dan Mini Zoo.


Antara peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna sempena Karnival Sihat dan Aktif Komuniti Hulu Langat 2024.


Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa pewartaan Akta 852 pada 2 Februari 2024 lalu adalah sejajar dengan usaha mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan produk-produk tembakau lain, termasuk rokok elektronik atau vape.

Bangunan dobi antara 28 kawasan yang diwartakan sebagai larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). 

Selain itu, bangunan tempat kerja kerajaan dan swasta turut tersenarai sebagai kawasan baharu larangan merokok dengan kedua-duanya berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Tindakan penguatkuasaan yang bermula tahun depan (2025) adalah bagi memberi masa secukupnya kepada pemilik premis menampal tanda amaran larangan merokok.


Seorang petugas zoo mini memberi keyakinan bagi menghilangkan ketakutan kepada seorang pengunjung untuk memegang ular sawa.  


Syahredzan turut menyokong langkah kerajaan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk terbabit secara terbuka di premis perniagaan.

"Ia sangat baik apatah lagi akta berkenaan turut melarang penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelak ia dibeli oleh Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berusia di bawah 18 tahun.

"Selain itu, produk rokok dan vape tidak  boleh lagi dijual melalui mesin vending atau di kawasan institusi pengajian tinggi (IPT),  pasar jualan atau mana-mana pasar jualan bersifat sementara," katanya.


Petugas reruai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memberi penerangan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada dua pengunjung cilik. 


Mengenai karnival sihat dan aktif itu, katanya beliau berpuas hati dengan kehadiran orang ramai dan persiapan terutama penyertaan pelbagai agensi yang berkaitan untuk memeriahkan program itu. Kerjasama ini baik ke arah menjadi rakyat negara ini sihat dan menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit berbahaya.

"Saya gembira kesedaran orang ramai pentingnya menjaga kesihatan. Ini terbukti apabila mereka sanggup beratur panjang untuk mendapatkan saringan kesihatan bagi golongan B40, pemeriksaan telinga, mata dan mendapatkan pelbagai nasihat mengenai penjagaan kesihatan.

"Sekarang penyakit tidak mengenal usia, ramai berusia belasan tahun pun menghidap pelbagai jenis penyakit dan kesihatan mental. 

"Tekanan seperti peningkatan kos sara hidup dan kesukaran mendapatkan pekerjaan menyebabkan masalah itu berlaku tapi saya berharap melalui karnival ini, kita memberi mesej bahawa belum terlambat jika mahu berubah.


Staf Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bergambar bersama maskot Karnival Sihat dan Aktif Komuniti Hulu Langat 2024.


"Pastikan gaya hidup sihat, jangan merokok, elak mengambil minuman keras, dadah, jaga pemakanan, usah makan berlebihan, kurangnya penggunaan gula dalam makanan serta minuman. dan sentiasa melakukan senaman, jika tidak sempat di luar buat lakukan aktiviti riadah di rumah," katanya.

Beliau juga meminta masyarakat membuat saringan kesihatan, sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jika tidak buat saringan, seseorang itu tidak akan tahu sama ada tubuhnya sihat atau sebaliknya.

"Periksa kadar gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan jantung sebab sekarang banyak program saringan disediakan sama ada oleh swasta dan kerajaan malah di bawah program saringan kesihatan B40, kerajaan memberi perkhidmatan saringan percuma," katanya.


Dr Norsafinaz Mohamed


Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Norsafinaz Mohamed, berkata Karnival Sihat dan Aktif sempena One Hour Malaysia Clean Up peringkat negeri Selangor dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bersama Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat Daerah Hulu Langat 2024 mahu melahirkan masyarakat sihat.  

Beliau berkata, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) adalah inisiatif bagi mengurangkan faktor risiko kesihatan dalam kalangan orang ramai dan masyarakat, sekali gus mempromosikan budaya hidup sihat dan persekitaran yang lebih bersih.

"Karnival seumpama ini diadakan setiap tahun bagi menggalakkan masyarakat hidup sihat dan aktif, membersihkan persekitaran rumah, taman dan kawasan tumpuan awam, mendidik masyarakat jangan membuang sampah sesuka hati selain mengelak lokasi tertentu menjadi kawasan pembiakan jentik-jentik Aedes yang menjadi punca jangkitan denggi.


Antara reptilia yang dipamerkan dan menjadi tumpuan pengunjung di reruai zoo mini ialah iguana.


"Kami juga mahu menggalakkan penduduk membersihkan rumah sendiri kerana apa pun kempen jika masyarakat tidak mahu mengambil peduli dan hanya mementingkan diri sendiri, ia akan gagal. 

"Jadi, mulakan dengan kebersihan di rumah, Luangkanlah masa selama 10 minit setiap minggu di premis masing-masing (gotong-royong kendiri) bagi membendung penularan kes denggi," katanya.

Mengenai kempen kerajaan berkaitan rokok dan vape selain larangan melakukan aktiviti itu di 28 kawasan yang dikenal pasti termasuk kawasan hospital dan klinik, tempat makan, lif atau tandas awam dan bangunan hentian bas, katanya Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dalam proses memberi penerangan dan nasihat kepada orang ramai, bukannya mengambil tindakan undang-undang lagi.


Kenderaan bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat menjadi tumpuan pengunjung di Karnival Sihat dan Aktif Komuniti Hulu Langat 2024.


"Kakitangan kami mengunjungi tempat-tempat makan untuk menasihatkan orang ramai mengenai larangan itu supaya mereka faham dan tidak terkejut apabila akta itu dikuat kuasa tahun depan (2025). Kempen pendidikan ini akan berjalan sehingga tahun depan.

"Kita mahu menggalakkan masyarakat bebas daripada merokok kerana banyak komplikasi buruknya, pencegahan lebih baik dari rawatan. 

"Justeru, pendidikan mengenai keburukan merokok ini sepatutnya bermula dari rumah, bapa perlu menunjukkan teladan baik, jangan merokok di depan anak atau berusaha untuk berhenti jika masih merokok.

"Tiada untungnya pun merokok sebaliknya berusaha untuk sihat dan aktif dengan menjaga pemakanan, bersenam, kurangkan pengambilan gula dan lebih banyak ambil air kosong atau mineral," kata Dr Norsafinaz lagi. - KitaReporters


14
14
0
11
0
You will be interested