Insan & Komuniti 26 Jul, 2024

Tahu tak kenapa tiada khidmat kereta api ke Melaka? Landasannya dicabut untuk Laluan Kereta Api Maut!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Pemandangan sebahagian Jalan Hang Tuah di Melaka.


SUDAH diketahui umum tidak ada perkhidmatan kereta api di negeri Melaka, khususnya dari destinasi lain ke ibu negeri, Bandar Raya Melaka. Yang ada hanyalah laluan ‘pinggiran’ Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) melalui stesen Pulau Sebang/Tampin dan stesen Batang Melaka, terus ke selatan.

Walaupun perkhidmatan kereta api sudah tiada, tidak bermakna kereta api tidak pernah ‘menjejak kaki’ ke negeri Melaka. Pada tahun 1900-an wujud perkhidmatan kereta api terus ke bandar Melaka.   

Namun kini ia hanya tinggal kenangan sebagai satu koleksi sejarah di negeri Hang Tuah yang memang terkenal dengan pelbagai tinggalan sejarah serta menjadi destinasi pelancongan popular dalam dan luar negara.  


Stesen Kereta Api Bandar Melaka di Jalan Bona Vista, kini dikenali Jalan Hang Tuah, Melaka.


Laluan perkhidmatan kereta api ke Melaka ketika itu menggunakan landasan cabang daripada landasan utama di Tampin. Landasan cabang sepanjang 32 kilometer ini dibuka pada 1905, menghubungkan Tampin dengan bandar Melaka.

Penumpang yang hendak ke Melaka dari stesen lain turun di stesen Tampin untuk mengambil kereta api ke Melaka. Stesen Kereta Api Bandar Melaka terletak di Jalan Bona Vista, dikenali sebagai Jalan Hang Tuah hari ini.

Perkhidmatan kereta api ke Melaka beroperasi sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Apabila Jepun menakluki Tanah Melayu, tentera Jepun ‘merobek’ landasan berkenaan, dicabut untuk dibawa ke Burma (Myanmar) bagi digunakan untuk pembinaan ‘Laluan Kereta Api Maut’.

Gelaran ini beri kerana ia merupakan projek pembinaan yang sangat getir dan sukar dengan menggunakan buruh paksa, termasuk dari Tanah Melayu. Landasan tersebut dibina pada 1943 menghubungkan Ban Pong di Thailand dan Thanbyuzayat, Burma (kini Myanmar) untuk memudahkan pergerakan dan kemaraan tentera Jepun.

Antara 180,000 hingga 250,000 buruh dari Asia Tenggara dan 61,000 tawanan tentera Berikat diarah melakukan kerja selaku buruh paksa. Dianggarkan 90,000 buruh dan 12,000 tentera Berikat terkorban ketika pembinaan.


Sebahagian daripada Laluan Kereta Api Maut di Kanchanaburi, Thailand, merentasi Sungai Kwai. Kisah jambatan ini pernah difilemkan dengan tajuk 'The Bridge On The River Kwai', keluaran Hollywood tahun 1957 dengan bintang utama William Holden.


Selepas besi landasan ke Melaka diambil oleh tentera Jepun, perkhidmatan kereta api ke Melaka lumpuh. Landasan ke Melaka tidak pernah dibina semula selepas itu. Dengan itu berakhirlah riwayat perkhidmatan kereta api ke Melaka sehingga hari ini.  

Menurut laman web ‘Perjalanan Hebat Kereta Api Malaysia’ dalam risalah ‘Informasi untuk Pelancong’ tahun 1914, banyak diceritakan mengenai Melaka, termasuk mengenai keseronokan di sepanjang perjalanan menaiki kereta api ke negeri itu.

Pemandangan di sepanjang landasan di antara stesen Rembau dan Melaka disifatkan yang paling cantik daripada keseluruhan perjalanan, terutama antara Tampin dan Melaka. Jika perjalanan pada waktu malam, keindahan ini tidak dapat dinikmati.

Untuk mencantikkan lagi pemandangan, jalan raya berada seiring dengan landasan kereta api pada hampir keseluruhan perjalanan. Ini dianggap kombinasi sangat menarik kerana kenderaan dan kereta api bergerak bagai dalam garisan selari.

Pemandangan semula jadi di sepanjang perjalanan pula dianggap paling menarik di keseluruhan Tanah Melayu. Gunung ganang di kejauhan, sawah padi dan kebun buah-buahan orang Melayu menampilkan pemandangan mengasyikkan. Ia ditambah seri oleh sungai atau kolam yang dipenuhi bungi teratai menyegarkan mata memandang.

Namun kini, pemandangan ini sudah berlalu. Bukan sahaja kerana tiada lagi kereta api ke Melaka, tetapi kawasan yang cantik menghijau dahulu mungkin sudah lupus dalam arus pembangunan pesat. Semua tinggal sejarah, tinggal kenangan. 

Mungkinkah suatu hari nanti perkhidmatan kereta api ke Melaka dihidupkan kembali? - KitaReporters


Muzium dan Pusat Penyelidikan Kereta Api Maut di Kanchanaburi, Thailand.

11
9
0
14
0
You will be interested