Insan & Komuniti 14 Nov, 2023

Tahniah IKRAM! Terima Anugerah Khas Kasih Madani! Sempena November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


Pertubuhan IKRAM Malaysia terus mencipta kejayaan apabila menerima Anugerah Khas Kasih Madani 2023 bagi kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) - Inisiatif Mesra Keluarga sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK 2023) di Dataran Putrajaya pada 4 November 2023 lalu. Sambutan BKK 2023 bertema  “Keluarga Harmoni, Negara Madani”. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah itu kepada Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin. 

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Naib Presiden IKRAM, Prof Dr Hanim Salleh.

Anwar Ibrahim menyerahkan sijil penghargaan kepada Badlishah Sham Baharin (kanan) yang menerima Anugerah Khas Kasih Madani 2023 bagi kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) - Inisiatif Mesra Keluarga.


Anugerah Khas Kasih Madani diperkenal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai pengiktirafan kepada majikan yang telah melaksanakan amalan dan polisi mesra keluarga di agensi atau syarikat masing-masing.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula menerima anugerah khas, bagi kategori Syarikat Korporat - Pelaksanaan Inisiatif CSR Mesra Keluarga. Ia bagi mengiktiraf NGO yang menjalankan aktiviti dan program yang menyumbang kepada aspek kekeluargaan.


Anwar ketika merasmikan sambutan BKK 2023 bertemakan “Keluarga Harmoni, Negara Madani” di Dataran Putrajaya.


Badlishah Sham berterima kasih dan bersyukur atas penerimaan anugerah itu, sekali gus membuktikan penghargaan tertinggi kementerian kepada sumbangan IKRAM kepada masyarakat selama ini. 

Beliau berkata, IKRAM mahu menyumbang kepada pembinaan negara dengan komitmen kepada keluarga kerana percaya keluarga adalah asas kepada masyarakat dan negara.

“Jika keluarga itu baik, harmoni, bahagia, membentuk nilai kanak-kanak dan ahli masyarakat, maka negara itu akan menjadi lebih baik. Melalui Unit Institusi Keluarga Utuh IKRAM, banyak program yang dilakukan membabitkan syarikat swasta, agensi kerajaan dalam pembentukan nilai ini dalam keluarga.

“IKRAM mengutarakan Negara Rahmah yang sinonim dengan Negara Madani kerana ia mengutamakan institusi keluarga yang kuat yang menjadi resipi kepada sebuah negara maju dan sejahtera,” katanya. 

IKRAM juga akan mengadakan Karnival Keluarga Utuh Madani 2023 pada 19 November ini di Pusat Komuniti Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023.


Anwar beramah mesra dengan sebahagian pengunjung yang hadir sempena BKK 2023.


Sementara itu, Anwar ketika merasmikan sambutan BKK 2023 itu, mahu masyarakat perlu kembali mengamalkan nilai murni dalam keluarga sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat. Ia juga seiring dengan konsep Kerajaan Madani ketika ini dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia. 

Perdana Menteri berkata, negara Madani wajar dipupuk dan diangkat bermula daripada institusi keluarga dan bulan keluarga ini sangat penting untuk menjayakan negara Madani itu.


Family Fun Walk mendapat sambutan baik orang ramai sempena BKK 2023 di Dataran Putrajaya.


"Kita perlu melihat apa yang berlaku di Palestin, ketika kacau bilau akibat peperangan yang tidak pernah ada kesudahan, rakyat negara itu bersatu dalam nilai kekeluargaan yang kuat.

"Senario dunia ketika ini menyaksikan isu keganasan di Palestin membuatkan masyarakat di negara ini mudah tersentuh ekoran sudah dilatih untuk kenal apa itu ihsan. 

 “Mereka bukan satu kaum dengan kita, ada Arab Islam ada Kristian tetapi latihan asas daripada keluarga, kita tahu apa itu kebaikan menyebabkan perasaan terguris bila ada kezaliman. Ini yang patut ada di negara ini dalam memahami negara Madani,” kata Anwar lagi.


Catur antara permainan yang dimainkan bersama keluarga sempena BKK 2023.


Dalam perkembangan yang sama, pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena sambutan BKK 2023 di Putrajaya itu, antaranya ialah Zumba Keluarga, Family Fun Walk, Ekspo Kasih Madani dan gerai Jualan Rahmah.

Juga dianjurkan, aktiviti Mini Karnival Kasih Madani yang sarat dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga seperti diskaun pakej percutian bersama keluarga serta reruai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menyediakan kaunter semakan serta pengurangan saman sehingga 30 peratus bagi kesalahan trafik terpilih. - KitaReporters


Pelbagai reruai yang diadakan sempena BKK 2023 menarik perhatian orang ramai yang hadir di Dataran Putrajaya.

20
10
0
18
0
You will be interested