Insan & Komuniti 02 Feb, 2023

Kelab Alumni Riong Bangsar orak langkah! Rintis kerjasama dengan LZS! Bela nasib bekas petugas media!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


NASIB pengamal media, khususnya bekas kakitangan akhbar Berita Harian dan Harian Metro semakin terbela dengan tertubuhnya Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) pada Ogos, 2022 lalu.

Inisiatif yang digerakkan oleh sekumpulan bekas wartawan kedua-dua akhbar berkenaan, diketuai Datuk Abdul Karim Mustafa selaku pengerusi, kini aktif menggerakkan pelbagai program dengan tumpuan utama adalah membantu rakan-rakan yang yang sedang menghadapi masalah kesihatan dan kesempitan hidup.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelab-kelab alumni

KARIB diketuai Abdul Karim Mustafa (tiga dari kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas LZS di Shah Alam. - Kredit foto: KARIB.


Selain menziarah sambil menghulurkan sedikit sumbangan hasil kutipan melalui Tabung Ihsan KARIB, kelab itu juga mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk sama-sama berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.

Sebagai langkah pertama, pada 25 Januari, 2023, KARIB telah melakukan kunjungan hormat dan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam.

Pertemuan sulung KARIB-LZS ini bertujuan merintis jalan dan peluang untuk mewujudkan kerjasama sebagai rakan strategik, dalam usaha memastikan KARIB dapat memainkan peranan membantu ahli mendapat bantuan lebih mampan. 

LZS diwakili tiga pegawainya, iaitu Ketua Jabatan Divisyen Perhubungan Stakeholder & Komunikasi Korporat, Ima Syuhada Ismail, Ketua Jabatan Divisyen Perhubungan Stakeholder & Komunikasi Korporat, Norazimah Mohd Rayes, dan Eksekutif Kanan

Divisyen Perhubungan Stakeholder & Komunikasi Korporat, Aira Haniza Yaakop.

KARIB pula yang diketuai Karim turut disertai enam ahli jawatankuasa terdiri daripada Isa Nikmat (Timbalan Pengerusi), Azman Zakaria (Bendahari), Rosli Rahmat (Biro Agama), Zamberi Othman (Biro Ekonomi), Norliza Abdullah dan Zainab Md Yatim.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra itu memberi gambaran lebih jelas apakah peranan yang boleh dimainkan oleh KARIB dan LZS dalam menyalurkan maklumat serta bantuan kepada ahli-ahli kelab itu.


PERBINCANGAN antara KARIB dan LZS berjalan dalam keadaan santai dan mesra ke arah menjalinkan kerjasama untuk membantu bekas-bekas petugas media Berita Harian dan Harian Metro. - Kredit foto: KARIB 


Menurut Karim, idea melakukan kerjasama strategik itu timbul apabila program Ziarah Kasih KARIB setakat ini, mendapati KARIB boleh memainkan peranan lebih besar kepada rakan rakan selain kunjungan berkala atau bantuan one-off. 

“Hasrat KARIB, dengan adanya platform rasmi ini, KARIB boleh menjalin kerjasama bersama agensi kerajaan seperti LZS dengan bertindak sebagai ejen yang selanjutnya menyampaikan maklumat sahih kepada LZS untuk membolehkan bantuan disampaikan di bawah pelbagai skop seperti perubatan, kebajikan, pendidikan dan lain-lain.

“Ada kalangan kita yang kurang jelas dengan prosedur yang perlu diikut dalam membuat permohonan, jadi KARIB akan bertindak sebagai permudahcara bagi kedua-dua pihak iaitu pemohon dan LZS supaya permohonan itu dapat diproses dengan sewajarnya.

“Selain itu, kerjasama ini juga akan membolehkan KARIB meyebarluaskan peranan LZS pada mata umum, betapa LZS begitu prihatin dan sentiasa proaktif dalam menghulurkan bantuan kepada pelbagai golongan terutama asnaf, fakir miskin dan golongan yang memerlukan,” kata Karim.

Dalam pertemuan ini juga, KARIB menyerahkan senarai dan data rakan-rakan yang diperolehi menerusi Ziarah Kasih KARIB sebelum ini, untuk membolehkan LZS membuat lawatan susulan dan mempertimbang bantuan yang sesuai untuk mereka.

“Insya-allah, hasil pertemuan hari ini juga, KARIB-LZS akan memeterai secara rasmi kerjasama sebagai rakan strategik untuk membolehkan KARIB berjalan seiring dengan LZS dalam program program KARIB yang akan datang. Dengan cara ini, lebih ramai sahabat KARIB dapat dibantu dan lebih banyak bantuan boleh dihulurkan secara jangka masa panjang,” ujar Karim lagi.


Abdul Karim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Allahyarham Kamarulzaman Pid. Turut hadir adalah Pegawai Seranta YPN, Asyraf Dhari (dua dari kiri). - Kredit foto: KARIB.


Terdahulu, KARIB melalui program Ziarah Kasih, telah mengunjungi serta menitipkan sedikit sumbangan kewangan kepada beberapa orang ahli.

Antaranya, pada 15 Januari, 2023, KARIB telah menjenguk serta bertanya khabar anak anak kepada bekas Eksekutif Copy Editor Metro, Allahyarham Kamarulzaman Pid di kediaman mereka, di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Kamarulzaman yang meninggal dunia pada 29 Disember, 2022, meninggalkan enam orang anak berusia 10 hingga 22 tahun, kini berstatus anak-anak yatim piatu kerana sebelum itu ibu mereka, Lamizah Ab Hamid @ Kassim terlebih dahulu kembali ke rahmatullah pada Ogos 2017. Mereka kini tinggal bersama ibu saudara mereka.

Untuk rekod, anak Allahyarham, Sufiyah Raihany Kamarulzaman (23), kini menuntut dalam Tahun 3 UTM; Aidil Firhan (22) Tahun 2 Unisel; manakala Amirul Firhan (17) Tingkatan 5; Shafina Raihany (15) Tingkatan 3, Shafiyah Raihany (12) menunggu peluang ke Maktab Rendah Sains MARA dan yang bongsu Suhaila Ilman Raihany (9).

Selain barisan AJK KARIB serta beberapa orang bekas kakitangan Beritan Harian/Harian Metro, kunjungan itu turut disertai Pegawai Seranta Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Asyraf Dahari. YPM adalah satu daripada Rakan Strategik KARIB.


ANITA yang mengalami kesukaran untuk bergerak ekoran masalah sakit lutut kronik menerima sumbagan kerusi roda daripada KARIB. -Kredit foto: KARIB


BACAAN doa selamat untuk Nor Azmi (berkerusi roda) dipimpin oleh Azman Zakaria (berbaju hijau). - Kredit foto: KARIB


Selepas tahlil ringkas, KARIB telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM3,700 menerusi kutipan khas dalam kalangan rakan-rakan bekas Berita Harian dan Harian Metro untuk Tabung Kamarulzaman Pid-KARIB; RM300 daripada Tabung Ihsan KARIB dan RM1,000 sumbangan one-off YPM. Turut disampaikan sumbangan beg sekolah YPM untuk kegunaan mereka.

Pihak YPM juga mempertimbangkan bantuan lebih mampan menerusi skim bantuan sedia ada YPM, termasuk skim anak angkat dan seumpamanya, untuk membantu pembiayaan pendidikan anak anak ini.

Dalam siri Ziarah Kasih berasingan, KARIB turut menyumbangkan kerusi roda kepada bekas pereka grafik Berita Harian, Anita Ismail yang menghadapi masalah sakit lutut kronik sehingga menyukarkan pergerakannya.

Turut dikunjungi serta diberikan sumbangan adalah bekas jurufoto, Nor Azmi Mohd Noor; bekas Editor Hiburan, Akmal Abdullah; dan bekas wartawan, Azran Jaafar. - KitaReporters


KARIB berkunjung serta bertanya khabar Akmal yang sedang menjalani dialisis di sebuah pusat dialisis di Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur. - Kredit foto: KARIB


ABDUL Karim menyampaikan sumbangan KARIB kepada Azran dalam sesi Ziarah Kasih baru-baru ini. Turut hadir Isa Nikmat. - Kredit foto: KARIB.

10
16
0
11
0
You will be interested