Insan & Komuniti 04 Feb, 2023

Tukang cuci pusat dialisis berhati emas! Sudi wakafkan 2 mesin dialisis di tempat cari rezeki sendiri!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this

REZEKI yang dikongsi hasil jualan tanah pusaka


MAHU sedekah tidak perlu jadi kaya raya kerana orang kaya sendiri belum tentu bersedia untuk berkongsi rezeki. Hanya yang mengetahui kehebatan bersedekah sahaja akan mengambil peluang tersebut.

Itu juga yang berlaku kepada seorang lelaki dari Perlis yang berniat mahu membeli mesin dialisis untuk diwakafkan di tempat dia mencari rezeki di sebuah pusat rawatan dialisis.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan amalan-amalan sedekah

KALIPULIZAN MANSUR berkongsi rezeki kerana sudi guna duit jualan tanah pusaka untuk membeli mesin dialisis untuk diwakafkan di tempat dia mencari rezeki.


Hebatnya dia bukan pemilik pusat dialysis berkenaan tetapi hanya mencari rezeki sebagai pencuci di pusat berkenaan.

Namun azam yang suci itu bertapak di hati sejak beberapa tahun itu akhirnya tercapai apabila dua mesin yang diimpikan untuk diwakafkan berjaya dibeli.

Mesin dialisis yang bernilai RM80,000 sebiji itu dibeli menggunakan wang hasil daripada tanah miliknya yang dijualkan.

Kisah hebat ini dikongsikan oleh perunding hartanah, Izahar Azimat yang bertanggungjawab menjual tanah milik lelaki berkenaan yang dikenali Kalipulizan Mansur atau dipanggil Kali.

Kongsi Izhar di media sosial Facebook miliknya pada 1 Februari 2023 lalu,  Kali yang bekerja sebagai pencuci di pusat rawatan dialisis di sebuah bandar di negeri utara itu melantik dirinya sebagai perunding hartanah dan menguruskan penjualan tanah pusaka miliknya. 



Malah ketika melantik Izhar, Kali telah menyuarakan hasrat hati mahu melakukan kerja baik dengan menggunakan sebahagian hasil jualan tanah itu untuk membeli mesin dialisis.

“Tahun lepas (202) Kali lantik saya untuk jual tanah dia. Sebenarnya, hasrat dia nak wakafkan mesin dialisis tu sebelum tanah dia terjual lagi. Tanah dia terjual tahun lepas juga,” katanya yang menyifatkan Kali yang berusia 54 tahun dan berasal dari Perlis itu merupakan seorang yang merendah diri dan bersederhana.

Izhar menambah Kali adalah seorang yang sederhana dan hanya memiliki sebaha motosikal yang digunakan untuk urusan hariannya  termasuk ke tempat kerja di pusat dialisis.


Perkongsian kisah hati emas Kalipulizan oleh Izhar yang bertanggungjawab mengurus penjualan tanah pusaka miliknya.


"Saya pernah memberi cadangan supaya Kali menggunakan sebahagian duit hasil jual tanah tu digunakan untuk membeli kereta tepakai untuk kemudahan dirinya berulang alik bekerja namun menolak kerana ebih selesa menggunakan motosikal untuk berulang alik bekerja. 

“Biarlah bawa motor masa hujan sekalipun, saya boleh pakai baju hujan’, kata Kali,” ujar Izhar yang berpengalaman sebagai perunding hartanah selama lebih tiga tahun.

Kongsi Izhar lagi, walaupun tanah milik Kali berjaya dijual dengan harga yang tinggi dan mencapai enam angka namun dia tidak pernah melupakan pekerjaan yang menjadi sumber rezekinya sebelum ini.

Izhar pada masa sama menyifatkan kali sebagai individu yang hebat kerana sanggup mewakafkan wang yang dimiliki kepada masyarakat dan tidak lupakan diri walaupun menjadi orang kaya baru.



Kini impian Kali untuk mewakafkan dua buah mesin di tempat dia mencari rezeki sudah terlaksana.

“Dia share gambar mesin dialisis yang diwakafkan tu pada sebelah petang. Saya dapat tahu malam itu dia masih bekerja di sana,” kongsi Izhar.

Semoga keikhlasan Kali mewakafkan mesin dialisis tersebut bukan sahaja memudahkan  pesakit di pusat rawatan tetapi diberikan pahala berganda oleh yang Esa.

kisah Kali ini wajar dijadikan contoh kepada masyarakat hari ini dengan meletakkan bukan yang kaya sahaja mampu bersedekah namun jika ada hati yang ikhlas pasti ada jalannya.

Moga Allah mudahkan urusan Kali bukan sahaja di dunia dan di sana nanti... Amin!!! - KitaReporters


Gambar hiasan

14
13
0
10
0
You will be interested