Insan & Komuniti 22 Feb, 2023

Betul ke? Makam Hawa, isteri Nabi Adam AS di Jeddah, Arab Saudi! Sepanjang 80m! Masih jadi perdebatan!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this


Lokasi makam Hawa, isteri Nabi Adam AS di Jeddah, yang 80 meter panjang itu. - Kredit foto: YouTube Alman Mulyana


WANITA pertama hidup di muka bumi ini ialah isteri Nabi Adam Alaihissalam (AS) iaitu Hawa. 

Tahukah anda bahawa makam Hawa ada di Jeddah, Arab Saudi. Kalau berpeluang melihat makam itu, kita boleh bayangkan setinggi mana wanita pertama itu yang dikatakan terhasil dari tulang rusuk Adam. Menurut penduduk setempat, makam Hawa di Jeddah itu berukuran panjang 80 meter! 

Gambar makam Hawa tidak ada bertebaran dalam media sosial, kerana dikawal agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya bertumpu di situ untuk apa jua tujuan hatta tidak boleh mengambil gambar mahupun video.

Bagaimanapun seorang YouTuber berasal dari Indonesia berpeluang mengintai makam Hawa di Kota Jeddah setelah bersusah payah berusaha mencarinya.  

Atas desakan ingin tahu, YouTuber Alman Mulyana dalam videonya kelihatan berjalan bersama seorang kawan menyusuri celah bangunan dan jalan mencari kawasan makam terbabit sambil  beberapa kali bertanyakan penduduk setempat mengenai lokasi dan arahnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makam-makam

Video Alman Mulyana mengenai makam wanita pertama iaitu Hawa, isteri Nabi Adam. Kredit Foto - YouTube Alman Mulyana


Sesampai di situ mereka hampir hampa apabila mendapat tahu tidak boleh masuk untuk merakam gambar, bahkan makam berkenaan tidak nampak kerana dilindungi tembok batu yang tinggi. Mereka mencari akal untuk menjenguk ke dalam tembok untuk melihat secara langsung makam Hawa.

Disebabkan tembok itu tinggi melepasi paras kepala, mereka menyusun beberapa ketulan batu sebelum dipijak untuk mengintai ke dalam, sebaik berjaya nampak serentak itu merakam suasana beberapa detik, sebelum turun semula daripada batu pemijak.

Akhirnya berjaya juga dia melihatnya. Gambar itu kemudian dimuatnaik dalam saluran YouTubenya, pada 22 Mac 2021. 

Ternyata makam itu dilingkungi binaan tembok tinggi tidak nampak dari luar. Tembok itu sengaja dibina begitu oleh pihak berkuasa untuk menghalangnya daripada menjadi tumpuan ramai.

Daripada paparan video YouTube saluran Alman Mulyana, kelihatannya makam dijaga rapi dan ketat.

Makam itu terletak di Al-Ammareyyah 1, Jeddah, Arab Saudi dan berada di tengah-tengah hiruk-pikuk kota. Tidak jauh dari lokasi yang dicari, terdapat papan tanda dengan maklumat "Maqburah Hawa," yang bermakna Makam Hawa. 

Pada waktu tertentu seperti ibadah haji dan umrah, kawasan pemakaman Hawa dikatakan menjadi tumpuan warga dari pelbagai negara untuk menziarah.


Video kunjungan ke makam Hawa dari saluran YouTube Mas Awiee. Kredit Foto - YouTube Mas Awiee


Seorang lagi Youtuber Mas Awiee pula bernasib baik kerana dibenarkan untuk merakam makam Hawa. 

Bagaimanapun Liputan6.com dalam satu laporan pada 15 Mac 2018, mengulas kesahihan dakwaan makam Hawa di kota Jeddah. Menurutnya banyak kalangan akademik memutuskan tidak ada bukti kukuh mengenai dakwaan itu, apa lagi bila tarikh wafatnya.

Penulis buku sejarah mengenai Jeddah, Mohammed Youssef Trabulsi mengakui Hawa datang ke Jeddah beberapa kali pada masa lampau, namun adakah yang di Kota Jeddah itu sebenarnya makam Hawa masih menjadi perdebatan.

Adnan Al-Harthi, Prof Peradaban Universiti Umm Al-Qura Makkah mengulas, Ibn Jubair seorang ahli geografi Arab abad ke-6 Hijriyah pernah menyebut mengenai sebuah makam berkubah di Jeddah. Beliau melihat sebuah kubah tua yang dikatakan rumah Hawa. Pengembara Ibnu Battuta juga ada melihat kubah tua itu sewaktu penjelajahannya di Jeddah abad ke-7 Hijriyah.

Namun Al-Harthi sebaliknya menambah, satu sumber mengesahkan tempat tinggal Adam dan Hawa adalah di Mekah, Arab Saudi dan tidak ada bukti Hawa dimakamkan di Jeddah.

Para ulama juga berbeza pendapat mengenai makam Adam A.S. Menurut pendapat masyhur, jenazah Adam A.S dimakam di suatu pergunungan, tempat pertama kali ia diturunkan dari syurga, iaitu di India. 

Ada pula mengatakan, Adam AS dimakamkan di Jabal (Gunung) Abu Qubais di Mekah selain ada juga menyebut, di Baitulmaqdis. Kisahnya, menurut riwayat Ibnu Jarir, sebelum terjadi badai taufan dan banjir dahsyat pada zaman Nabi Nuh AS, jasad Adam A.S dan Hawa disimpan dalam peti. Tatkala banjir surut, jenazah kedua-duanya dimakamkan di Baitulmaqdis. 



Sementara itu, Detikhikmah dalam laporan bertajuk, "Pendapat Masyhur soal Lokasi Makam Nabi Adam A.S" merujuk tulisan Ibnu Asakir hasil kajian pelbagai sumber, Nabi Adam dimakamkan di Al Quds (Baitulmaqdis).

Ibnu Asakir menyebutkan bahwa kepala Nabi Adam di Masjid Ibrahim. Sementara kedua-dua kakinya di lembah Baitulmaqdis. Sementara menurut kitab Qashashul Anbiya yang dipetik Bambang Pranggono dalam buku Percikan Sains Dalam Al Qur'an menjelaskan Nabi Adam dimakamkan di antara Hebron dan Jerusalem. 

Hakikatnya sehingga kini tiada satu pun lokasi-lokasi makam Adam A.S itu yang disahkan betul. Samalah dengan makam Hawa, agak mengelirukan. Makam Hawa dalam video berkenaan dirakam di Jeddah, namun satu riwayat menyebut, "jenazah kedua-duanya dimakamkan di Baitulmaqdis." Wallahuaklam.

Apa pun menariknya, manusia pertama bernama Adam dan isterinya (Hawa) itu sesungguhnya sangat tinggi. Kerana itulah kuburnya panjang. 

Ada pelbagai pendapat mengenai usia Adam sewaktu mangkat, ada menyebut 930 tahun, 957 tahun dan ada juga pendapat 1000 tahun. 


Rajah rangka manusia menunjukkan perbezaan ketinggian mengikut ukuran kaki. - Kredit foto: Dari laman HafizAmri.com


Daripada tempoh hayat yang begitu lama itu, logiklah kalau dikatakan ketinggian Nabi Adam dan Hawa itu berpuluh kali ganda daripada manusia sekarang yang paling lama hidup pun sekitar 100 tahun. Bayangkan kalau hidup 1000 tahun, lagi lamalah tempoh pembesaran tubuhnya.

Kebenaran mengenai ketinggian Nabi Adam A.S boleh merujuk riwayat hadis yang berbunyi, "Allah menciptakan Adam dengan tinggi 60 hasta. Dan selepas Adam, makhluk itu (manusia) semakin berkurang tingginya seperti sekarang ini,” (HR Bukhari). Hadis ini juga terdapat dalam riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad.

Tukaran 60 hasta kepada meter? Satu hasta bersamaan 45.72 cm jadi, tinggi Adam adalah kira-kira 27.432 meter. Hampir mencapai 30 meter. Sebaliknya makam Hawa di Jeddah seperti disebut di atas ialah 80 meter, jauh bezanya. Adakah makamnya saja dibuat berlebih-lebih panjang? Wallahuaklam. 

Dalam satu pameran di Jeddah, pernah diperlihat baju saiz Nabi Adam A.S setinggi 29 meter dan lebar 9 meter, dijahit di Jeddah mengambil masa 18 hari, sekadar untuk menunjukkan perbezaan ketinggian Adam A.S dengan manusia sekarang. - KitaReporters


Replika baju nabi Adam yang dipamerkan di Jeddah menunjukkan perbezaan ukuran dengan manusia sekarang. - Kredit foto: FB Kumpulan Data Aldhien

11
20
0
11
0
You will be interested