Kredit foto: FB Ismail Sabri Yaakob
DALAM banyak memori indah yang ditinggalkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-16 adalah setiap kali melihat mereka berjalan penuh mesra, saling berpegang tangan bak sepasang kekasih, senyum tawa dan pandangan mata yang sangat romantik.
Jika tengok Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Opah melihat seorang Tunku Pahang yang bukan saja jelita pada tika usia 63 tahun, auranya sangat anggun, bijak bergaya dan ikon isteri dan kerabat raja yang sibuk menemani baginda, rasa cinta dan sayang sentiasa terpapar pada wajahnya.
Yang betul-betul buat Opah paling terasa sweetnya Tunku masa pada majlis perkahwinan anakanda raja Brunei, Tunku Azizah kelihatan sangat resah ketika berpisah dengan tuanku. Bayangkan itu baru sekejap berpisah. Maknanya di dalam istana ,itu cara hidup baginda berdua. "Melekat" dan tidak boleh berpisah.
Hari ini pada 30 Januari 2024, kedua-dua baginda tuanku Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menamatkan giliran mereka menjawat pemerintah tertinggi negara sebagai Yang di-Pertuan Agong dan kembali ke Pahang dengan selamatnya.
Lima tahun bersemayan di takhta negara baginda berdua diibaratkan hadiah terbaik buat negara kerana sepanjang masa itu negara bukan saja dilanda ekonomi yang tidak stabil yang membabitkan seluruh dunia, malah baginda berjaya meredakan keresahan rakyat dengan menangani politik dengan pendekatan luar biasa.
Caranya pada kala warga rasa hampa baginda berdua menunjukkan kasih sayang secara terbuka. Berpimpin tangan mesra, mesra baginda berdua berbicara, berseloroh dengan rakyat dan turun padang menemui rakyat jelata tanpa ada protokol.
Baginda Al-Sultan Abdullah adalah Raja Payung Negara, jiwanya seperti almarhum ayahanda Sultan Ahmad Shah yang sentiasa bergaul mesra dengan rakyat jelata. Mungkin pengalaman baginda dalam dunia sukan terutama dalam bola sepak dan mesranya dengan penduduk kampung di Pahang membuatkan baginda tiada darjat dengan masyarakat.
Baginda Tenku Ampuan Pahang pula menjadi ikon pujaan wanita bila menjadi trendsetter dengan mempopularkan 'seledang' khas yang menghiasi bahagian luar pakaian membuatkan wanita menjadikannya satu pakaian tambahan di samping tudung yang cantik dan bergaya.
Kepakaran memasak Tuanku Pahang ini menjadi pujaan wanita untuk "masuk dapur" dengan meniru resepi dan cerita-cerita baginda berdua sering menjadi daya tarikan pembaca dalam media sosial. Kisah membeli durian di Pulau Pinang, contohnya penjual tidak tahu itu adalah tuanku yang menyebabkan dia demam sebab terkejut gerainya dikunjungi kenamaan.
Baginda diibaratkan penawar dan bertindak seperti melawan arus pada kala negara dilanda masalah politik yang kritikal apabila dalam satu pilihan raya umum itu tiada parti yang menang majoriti. Akhirnya baginda menyarankan ditubuhkan kerajaan perpaduan yang mengikat pemimpin bertelingkah bekerjasama untuk menguruskan rakyat dan memimpin negara.
Memori indah juga bila baginda sekeluarga membuat kunjungan ke Sabah dan Sarawak. Rakyat di dua negeri itu teruja dan seronok sungguh menyambut keluarga diraja itu. Sepanjang jalan mereka berbaris walaupun dalam hujan. Malah di daerah yang dilalui baginda berdua diraikan sambutan rakyat yang sungguh meriah.
Malah sampaikan rakyat mengutuskan berpuluh-puluh pucuk nota meminta baginda sebagai Seri Paduka untuk campur tangan bagi membaiki jalan yang rosak teruk, kemudahan asas dan paling seronok bila melihat anak-anak dara dan mak-mak berebut mahu memikat putera puteri.
Lucunya, kesungguhan rakyat itu sehingga mereka serahkan dua negeri itu kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan adiknya,Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Sepanjang Kembara Borneo dari 7 hingga 13 September 2023 sejauh 1,198 kilometer dari arah utara di Sabah sehingga penghujung selatan Sarawak iaitu dari pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas sehingga Telok Melano, Tawau, Sabah dan berakhir di perkampungan terakhir sebelah barat Borneo, Telok Melano di dalam daerah Lundu, Sarawak selain singgah di Brunei.
Siapa menduga kedatangan baginda berdua menimbulkan pesta spontan kepada rakyat dua negeri yang tidak putus menunggu baginda sekeluarga merentas desa di sana dalam keadaan hujang lebat dan pada akhir lawatan Raja Permaisuri Agong sudah tidak mampu menahan tangisannya.
Hari ini baginda sekali lagi diarak dengan penuh adat istiadat Melayu sebagai berterima kasih daripada rakyat jelata yang melalui tempoh lima tahun yang genting dengan gemilang.
Biar apapun kesusahan melanda selagi ada kasih sayang dan raja yang "memayungi" negara berkat daulat baginda berdua, kita semua melaluinya dengan rasa aman, makmur dan dalam diri penuh rasa cinta. - KitaReporters