TPr. Noraini Roslan (depan, tengah) bersama jemputan khas. - Kredit foto: Gambar-gambar daripada Jabatan Komunikasi Korporat, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Karnival Bandaraya Diraja Klang yang berakhir pada 19 Februari 2024 baru baru ini telah meninggalkan impak yang baik untuk masyarakat Klang dan dilihat sebagai satu wadah jalinan kerjasama yang baik untuk semua peringkat .
Karnival ini juga merangkumi tiga bentuk pengisian termasuk kerohanian dan kekeluargaan bersesuaian dengan moto Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) iaitu Perpaduan Asas Kemakmuran.
Datuk Bandar, Datin Paduka TPr. Noraini Roslan ketika berucap pada majlis penutup Karnival Bandaraya Diraja Klang berkata "setelah tiga hari karnival yang diadakan, pelbagai aktiviti dan pengisian yang telah dijalankan.
"Hari ini adalah merupakan hari kemuncak. Diharap apa yang telah diusahakan dengan pengorbanan dan peranan serta khidmat dari semua pihak dapat kita jadikan sebagai buah mulut dan perkongsian indah bersama komuniti penduduk di daerah Klang."
Beliau juga berkata jalinan kerjasama erat dan keringat yang dicurahkan oleh semua pihak dalam menjayakan karnival itu boleh dijadikan sebagai satu simbolik perpaduan untuk semua komuniti daerah Klang dalam usaha menjadikan Klang sebagai sebuah bandar raya idaman yang aman, harmoni dan berdaya mampan.
"Semoga jalinan Kerjasama yang terjalin pada hari ini dapat dieratkan dan diteruskan pada masa-masa yang akan datang untuk kita bersama-sama berganding bahu membangunkan dan memajukan Bandar Raya Diraja Klang yang dicintai." kata Noraini.
Karnival tiga hari yang berlangsung dari 17, 18 dan 19 Februari 2024 di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, telah berjaya menarik 5 ribu pengunjung pelbagai kaum untuk memeriahkan dan menyaksikan pelbagai persembahan dan acara yang diadakan.
Malam penutup karnival dimeriahkan dengan beberapa artis terkenal seperti Dato' Jamal Abdillah, Suki Low, Santesh dan lain-lain.
Antara acara menarik yang dipersembah termasuk persembahan silat, tarian Cina , tarian singa dan tarian India. - KitaReporters
Gambar-gambar daripada Jabatan Komunikasi Korporat, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).