Insan & Komuniti 06 Oct, 2023

Caring World: Mission Bangladesh! IR Malaysia tinjau projek kemanusiaan diusahakan! Juga beri bantuan!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Seramai empat orang kakitangan Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bersama dua Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Irma Hasmie Ibrahim dan Cef Imelda Harris berlepas ke Bangladesh malam tadi (5 Oktober 2023) bagi meneruskan misi kemanusiaan bermula 4 Oktober sehingga 11 Oktober 2023.

Pasukan misi yang membawa nama “Caring World” Mission #Bangladesh itu akan berada di Madhupur dan Rangpur bagi meninjau projek kemanusiaan yang dilaksanakan di sana selain memberi bantuan dan menyantuni penduduk Bangladesh di dua lokasi tersebut.

Ketua “Caring World” Mission #Bangladesh merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, pemilihan Bangladesh sebagai lokasi misi kali ini adalah sejajar dengan kempen pengumpulan dana yang sedang dijalankan. 



“IR Malaysia telah memberi tumpuan dalam meningkatkan agihan dan pelaksanaan program bantuan di dalam Malaysia. 

"Tetapi, pada masa yang sama, kami tidak melupakan keperluan untuk membantu mereka yang memerlukan di luar negara.

“Kempen Dana Wakaf Sistem Air (DWAS) yang telah dilancarkan sejak 2021 bertujuan untuk mengumpul dana bagi projek pembinaan bekalan air bersih di beberapa buah negara seperti Bangladesh dan Somalia.

“Jadi, objektif misi kali ini adalah untuk memantau pelaksanaan projek-projek bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia di samping membuat penilaian terhadap impak projek serta mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan projek-projek ini berjaya dan bertahan lama. 

“Antara projek yang bakal kami tinjau di Bangladesh adalah pembinaan telaga tiub selain daripada penajaan anak yatim dan kehidupan mampan,” katanya ketika ditemui di KLIA 1, Sepang.

Sehingga kini, melalui dana DWAS, IR Malaysia telah membina 78 telaga tiub di Bangladesh dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat.

Bangladesh merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di dunia. Namun begitu, masalah air menjadi isu utama buat sebahagian besar rakyatnya. 

3.79 juta penduduk Bangladesh tidak mempunyai kemudahan sumber bekalan air bersih berdekatan kediaman mereka manakala 68 juta penduduknya menggunakan air tercemar yang mempunyai kandungan arsenik dan virus e-coli bagi kegunaan harian. 

Ini meningkatkan risiko penyakit seperti kanser hati, buah pinggang, masalah cirit-birit, jangkitan kolera dan penyakit usus.



“Melalui misi ini, IR Malaysia berharap agar dapat mengumpul dana bagi membina lebih banyak telaga tiub di Bangladesh dan kompleks air di Somalia.

“Sebagai sebuah NGO yang memberi bantuan kemanusiaan kepada pelbagai kelompok masyarakat, projek ini diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan hidup dan kualiti kesihatan penduduk Bangladesh khususnya dan mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi di negara-negara di mana Islamic Relief beroperasi,” tambah Fadilah.

Selain meninjau projek-projek bantuan, pasukan “Caring World” Mission #Bangladesh juga akan mengagihkan sumbangan pek makanan dan melakukan beberapa aktiviti psikososial bagi menyantuni penduduk di sana. - KitaReporters/Kenyataan Media

8
7
0
17
0
You will be interested