SAYA Anak Malaysia album dR. Sam dan Musafir yang diibaratkan 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas' kerana elemen-elemen patriotik yang ada di dalamnya.
BAGI jemaah tabligh yang sering berhimpun di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, biasanya mereka tidak sukar untuk terserempak dengan pendendang lagu patriotik, 'Saya Anak Malaysia' iaitu dR. Sam Rasputin.
Ini kerana, penyanyi serta pelakon era tahun 1980-an itu bukanlah orang baharu dalam dunia penyebaran dakwah termasuk di sekitar pusat tabligh terbesar negara itu dan juga di merata-rata tempat dalam serta luar negara, malah pembabitannya sebagai pendakwah juga telah mencecah empat dekad lamanya.
Namun, selepas muncul dengan album terakhir berjudul Sinar Harapan pada tahun 1989, dR. Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim seakan-akan senyap daripada persada hiburan tanah air sehinggalah ke saat ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu-lagu patriotik
dR. SAM tetap istiqomah dengan imej serta perjuangannya berdakwah dalam usaha mencapai matlamatnya yang satu iaitu mencari keredaan Allah, Tuhan yang Maha Esa.
Biarpun hampir 33 tahun tiada lagu mahupun album baharu, tetapi ramai yang tetap menyebut-nyebut namanya terutama setiap kali menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan juga Hari Malaysia, 16 September saban tahun. Ternyata, lagu Saya Anak Malaysia tidak pernah luput sebagai antara lagu patriotik yang popular, apatah lagi ia pula sinonim dengan dua tarikh keramat tersebut.
Bukan setakat para peminat, malah wartawan hiburan juga seolah-olah tidak pernah jemu daripada mengajukan soalan lazim yang antaranya berbunyi, Abang Sam tidak terasa rindukah mahu menyanyi semula dan merakamkan album baharu?
Tetapi dengan nada bersahaja, figura yang sentiasa tenang dan sangat merendah diri yang kini berusia 69 tahun itu tegas membayangkan bahawa dunia bergemerlapan yang penuh warna-warni glamor itu sudah terlalu lama berlalu dan ia telahpun terkambus dalam diari hidupnya.
"Cukup-cukuplah dulu saya pernah jadi penyanyi. Sekarang janggut saya bukan setakat satu warna, tetapi sudah jadi tiga warna. Biarlah baki umur yang saya ada ini untuk beribadah buat bekalan di akhirat nanti," katanya semasa ditemui selepas forum sempena acara Hari Rock Negara di Malakat Mall, Cyberjaya, baru-baru ini.
Beliau merupakan salah seorang ahli panel dalam segmen itu yang dikendalikan oleh bekas pengurus kumpulan nasyid Raihan iaitu Farihin Abdul Fatah selaku moderator.
Turut bercakap selaku panel dalam acara anjuran pusat beli-belah milik Bumiputera itu antaranya, komposer Saari Amri dan penulis lirik AD Samad.
FARIHIN ABDUL FATAH (kanan) selaku moderator bersama dR. Sam dan ahli-ahli panel yang lain dalam forum sempena Hari Rock Negara di Malakat Mall, Cyberjaya, baru-baru ini.
Malah, pembabitan anak kelahiran Seremban ini dalam dunia tabligh selama hampir 40 tahun turut menyebabkan beliau amat disegani dalam kalangan teman seperjuangannya dalam arena dakwah sehinggakan dia mendapat gelaran 'maulana' kerana kewarakan, ilmu dan pengalamannya dalam bidang agama.
Justeru, dengan imej berjambang dan berjanggut sehingga mencecah paras dada, sentiasa berserban dan berpakaian kurta sejak puluhan tahun lampau jelas selari dengan gelaran itu, sekali gus menggambarkan lagi identiti serta istiqomahnya beliau dalam menghidupkan sunah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian.
"Setiap orang ada peranan masing-masing, tidak kiralah penyanyi rock sekali pun.
"Bagi saya, 'R.O.C.K' itu adalah 'Ramai Orang Cari Kebaikan'. Sebabnya, kebaikan atau kebenaran itu tidak datang begitu sahaja, tetapi ia perlulah dicari bersungguh-sungguh oleh sesiapa jua.
"Ini kerana, apabila buat sesuatu perkara yang ada matlamat, maka barulah kita akan dapat manfaatnya. Mula-mula apabila dengan adanya minat, bakat, matlamat dan akhirnya kelebihan itu kelak insya-Allah akan dapat memberi kebaikan kepada orang lain," ujarnya.
Mula menimba pengalaman sebagai penyanyi jalanan di Jerman pada hujung tahun 1970-an dengan lagu-lagu berkonsepkan reggae, dR. Sam pernah menghasilkan lima album bertajuk Abu Nawas pada 1983, Sayang Oh Sayang (1984), Saya Anak Malaysia (1986), Semarak Merdeka (1987) dan Sinar Harapan (1989).
Maulana dR. Sam juga pernah terjebak sebagai pelakon pada awal tahun 1980-an di mana antara filem lakonannya bertajuk Mekanik pada 1983, Matinya Seorang Patriot (1984), Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Kepala Angin (1987).
Pada forum yang diadakan sempena penganjuran buat pertama kalinya sambutan Hari Rock Negara dengan menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan muzik rock itu, dR. Sam banyak berkongsi pengalaman suka dukanya sebagai penyanyi dan juga pelakon.
Beliau juga pernah aktif menyanyi bersama kumpulan Musafir yang turut terdiri daripada kalangan jemaah tabligh.
Pada masa yang sama, dalam perkongsiannya itu, beliau berulang kali memberi nasihat kepada para hadirin terutama penggemar muzik rock agar tidak lupa diri dan sentiasa mengutamakan matlamat hidup iaitu mengumpul bekalan amal soleh bagi menuju alam akhirat yang kekal abadi.
"Di kesempatan ini, saya ingin mengajak sesiapa yang mahu 'keluar' tabligh ke jalan Allah boleh berjumpa dan beri nama anda kepada saya. Sebabnya selepas ini, saya akan 'keluar' ke Pulau Perhentian selama beberapa hari bersama para jemaah tabligh yang lain. Insya-Allah banyak kebaikan yang kita akan dapat daripada aktiviti seperti ini nanti," serunya lagi. - KitaReporters
dR. SAM tetap istiqomah dengan imej serta perjuangannya berdakwah dalam usaha mencapai matlamatnya yang satu iaitu mencari keredhaan Allah, Tuhan yang maha esa.