Sempat menemui dan beramah mesra dengan pendakwah di Malaysia. - Kredit foto: YouTube Daud Kim.
Video ketika mengunjungi rakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - Kredit foto: YouTube Daud Kim.
Daud Kim, seorang Youtuber Muslim baru saja pulang ke tempat asalnya di Korea Selatan selepas selesai misi kunjungan ke negara Islam termasuk Malaysia. Akhirnya beliau sampai juga ke negara ini yang telah lama menjadi cita-citanya untuk berkunjung.
Malaysia adalah antara negara yang disebut-sebut untuk beliau tinggal dalam usaha mendalami Islam selain beberapa negara lain. Dengan mengunjungi negara-negara terbabit dapatlah beliau mengenali dengan lebih dekat, mempelajari dan memahami adat budaya serta sifat masyarakat di negara itu bagi memberi kemudahan untuknya membuat pemilihan seandainya beliau benar-benar ingin melaksanakan rancangan itu apabila tiba masanya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan catatan hidup Daud Kim
Persinggahan di sebuah masjid di Malaysia. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Penjelajahan beliau ke serata negara Islam bermula pada awal tahun ini, dimulai dengan kunjungan ke Tanah Suci Mekah dan Madinah mengerjakan umrah, diikuti mengunjungi Pakistan, India, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia termasuk Bandar Aceh.
Pada 22 mac 2023, Daud Kim memuat naik video menunjukkan beliau baru saja sampai di Malaysia, dengan pemandangan di lapangan terbang dan tempat penginapan dipercayai di Kuala Lumpur. Tempat persinggahannya itu dilatari persekitaran kota menghijau. Daud Kim kelihatan sangat gembira dan terpesona dengan suasana di situ.
Kelihatan juga Daud Kim menaiki kenderaan melewati bangunan Menara Berkembar Petronas dan ternyata beliau sangat teruja sesampai di Kuala Lumpur.
Kunjungan kali kedua Daud Kim di Indonesia, tempat di mana beliau mendapat hidayah, iaitu mulai jatuh hati dengan Islam. - Kredit Foto: YouTube Daud Kim
Diraikan oleh satu keluarga yang sangat baik ditemui secara rambang di Banda Aceh. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Apabila Daud Kim memberitahu akan turut berkunjung ke Malaysia, ramai pengikutnya di sini teruja menanti-nantikan kedatangan beliau. Begitu juga di negara lain, sudah ada yang menanti di lapangan terbang menyambut ketibaannya.
Sayangnya kedatangan beliau di Malaysia tidak lama. Dalam sehari dua sahaja, sempat bertemu rakan-rakan baharu di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Gombak, Selangor. Beliau diraikan dengan begitu mesra oleh pelajar Muslim antarabangsa yang berasal dari pelbagai negara, selain pelajar tempatan.
Daud Kim teruja kerana berpeluang melihat kegiatan mengislamkan saudara baharu di masjid kampus itu selain solat.
"Di sini saya juga berpeluang meraikan saudara baharu dan menikmati makanan bersama saudara seislam," ujarnya yang seterusnya melawat Putrajaya. Destinasi lawatan tentunya masjid masjid yang unik dan indah serta menjadi tumpuan pelancong asing.
Gembira dengan sambutan mesra dan masakan berbuka puasa yang enak daripada keluarga ini, sehingga berseloroh menganggap yang memasak itu ibunya di Banda Aceh. Kredit Foto - You Tube Daud Kim
Dalam satu acara pertemuan sempena menyambut Ramadan, Daud Kim sempat beramah mesra dengan sekumpulan Muslim yang meraikannya.
Sekilas lalu beliau memberitahu perkembangan mengenai dirinya, sejak memeluk Islam sekitar tiga tahun lalu sehingga kini, masih berhadapan pelbagai masalah, termasuk berkait keluarga sendiri, "banyak sekali yang berlaku membabitkan saya dan keluarga."
"Ya saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran tapi dengan kedatangan Ramadan ini, saya mengingatkan diri sendiri tidak ada sebab saya perlu berputus asa, dan saya tak harus lupakan kebaikan Allah SWT, kerana Allah Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.
"Dengan Ramadan ini saya harap akan lebih rapat dengan Allah, lebih rajin membaca al-Quran dan patuh kepada-Nya," katanya lagi.
Menyertai satu majlis perkahwinan yang diraikan selama tiga hari, tempoh itu mengejutkan Daud Kim berbanding di Korea Selatan hanya beberapa jam saja. Kredit Foto - YouTube Daud Kim
Selepas Malaysia, beliau terus ke Indonesia. Menurutya, ini adalah kunjungan kedua beliau ke Indonesia, tempat di mana beliau mendapat hidayah untuk mengenali agama Islam dengan lebih dekat, asbab dalam pertemuan pertama dengan masyarakat Islam ketika itu, beliau dilayan sangat baik dan beliau juga mendapati rakan-rakan Islam di situ hidup tenang dan tidak nampak fenomena tertekan.
Beliau kemudian mengetahui bahawa pegangan kuat terhadap agama Islam menyebabkan mereka hidup seperti itu, sentiasa bersederhana dan tidak terlalu mengejar kebendaan dan mengutamakan beramal serta hidup mengikut cara Islam.
Sesampai di Indonesia, beliau disambut rakan-rakannya yang pernah dikenali dulu, sebelum kemudian melanjutkan lawatan ke Banda Aceh.
Video Daud Kim sewaktu di Bangladesh. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
"Saya memilih Aceh kerana di tempat saya, kalau sebut Aceh terkenal sebagai tempat sangat berbahaya kerana mengenakan hukuman berat kepada pesalah. Itulah saya ke sini untuk mengetahui keadaan sebenarnya," ujar beliau sebaik sampai di tanah Aceh, iaitu destinasi terakhir dalam misi kunjungan ke negara Islam.
Beliau lebih lama berada di tanah suci Mekah dan Madinah, begitu juga di India, Pakistan, Bangladesh dan Maghribi.
Dari Banda Aceh, Daud Kim terus berangkat pulang ke tanah airnya. Sesampai saja, beliau terus menyambung misi untuk mengembangkan Islam di Korea Selatan.
Buat masa ini beliau membantu usaha pembinaan masjid di tempat tempat yang belum ada rumah ibadat Islam. Link untuk sumbangan pembinaan masjid ada dipaparkan di sesetengah video YouTubenya, Daud Kim. - KitaReporters