Insan & Komuniti 03 Aug, 2025

Meriah dan menyeronokkan! Sukaneka Kejururawatan Hospital Teluk Intan! Sasar eratkan hubungan staf!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Sebahagian anak-anak staf Hospital Teluk Intan yang mengambil bahagian dalam 'Sukaneka Kejururawatan' menunggu giliran acara dipertanding.


BADAN yang cergas, minda yang sihat ciri penting menjalani rutin kehidupan seharian, juga dalam menjalankan apa juga tugas yang diamanahkan.  

Kerana itu dalam kesibukan mengurus pesakit, atau mentadbir hospital, kakitangan Hospital Teluk Intan (HTI), Perak, meluangkan masa bersantai dan merehatkan diri pada acara 'Sukaneka Kejururawatan' HTI pada Sabtu 26 Julai 2025.


Staf Hospital Telik Intan (HTI) memegang banner 'Sukaneka Kejururawatan' yang diadakan di Padang Helipad, HTI pada 26 Julai.


Ibarat kata orang, bekerja tanpa berehat dan berhibur boleh membosankan. Tambahan lagi bagi staf hospital, terutama doktor dan jururawat serta pentadbir yang begitu komited menjaga dan mengurus kebajikan pesakit.

Waktu rehat berlibur bersama rakan-rakan sekerja an keluarga sangat penting bagi menghilangkan penat bekerja sambil berpeluang berinteraksi sesama rakan dan keluarga.

'Sukaneka Kejururawatan' diadakan di Padang Helipad, HTI. Acara yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 petang itu adalah anjuran Jawatankuasa Kejururawatan, Unit Kejururawatan HTI.

Acara sukaneka dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 (Perubatan) Hospital Teluk Intan,  Dr. Nor Aqidah Kamri dan senamrobik menjadi acara pembuka tirai. 


Senamrobik pembuka tirai 'Sukaneka Kejururawatan' Hospital Teluk Intan.


Matlamat utama sukaneka ialah mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga kejururawatan dari berlainan jabatan dan unit.

Selain itu, boleh memupuk semangat berpasukan, saling memahami dan menyokong rakan-rakan setugas dalam suasana mesra, santai dan penuh persaudaraan.

Sukaneka juga menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan kakitangan. Seterusnya ini akan memupuk kesedaran mengenai pentingnya aktiviti fizikal demi kesejahteraan tubuh badan agar sentiasa sihat ceria.

Tidak kurang penting, sukaneka juga memupuk dan mempertingkat motivasi melalui pertandingan sukan yang diadakan. Ia mendorong untuk mencapai kejayaan secara berpasukan dalam semangat kesukanan.


Kumpulan 'Pom-Pom' berbaju ungu hitam menceria dan menyerikan 'Sukaneka Kejururawatan' Hospital Teluk Intan.

Interaksi rakan sekerja akan mendorong kepada kesejahteraan fizikal dan mental kakitangan.  Ini kerana sukaneka memberi mereka ruang berehat daripada rutin harian dan mengurangkan tekanan kerja melalui aktiviti menyeronokkan.

Pada masa sama, hubungan silatulrahim dalam kalangan kakitangan daripada pelbagai jabatan atau unit dapat dipererat. Seterusnya memupuk jalinan ukhwah dan persefahaman lebih baik dalam kalangan warga HTI khususnya.

Nilai kesukanan juga dapat diserap dalam diri seperti disiplin dalam sukan dan semangat positif untuk meraih kejayaan. Ia menerapkan nilai-nilai murni dalam suasana pertandingan yang sihat dan adil.


Memang susah lari apabila diikat kaki! Tetapi menyeronokkan. Ini antara acara dalam 'Sukaneka Kejururawatan Hospital Teluk Intan.


Kain sarung selalu dipakai di rumah. Ini kena berlari dalam kain sarung pula! Silap-silap memang boleh jatuh! Ini antara acara 'Sukaneka Kejururawatan' HTI.


Berlari bawa bola dalam sudu acara untuk anak-anak staf HTI pada 'Sukaneka Kejururawatan'.


Seramai 190 orang menyertai 'Sukaneka Kejururawatan' HTI itu yang terdiri daripada jururawat, pembantu perawatan kesihatan, dan anak-anak kakitangan HTI. 

Kesemuanya ada lima pasukan, Team 1 hingga Team 5, bertanding dalam sukaneka tersebut daripada gabungan pelbagai jabatan dan unit.

Acara yang dipertanding pula merangkumi 11 acara sukaneka dewasa dan lima acara sukaneka kanak-kanak.

Antaranya termasuk lari dalam guni, lari dalam kain sarung, lari ikat kaki, lari tutup mata, semuanya merangkumi peserta lelaki dan wanita. Juga ada lari bawa bola dalam sudu untuk kanak-kanak.


Team 5 muncul juara keseluruhan 'Sukaneka Kejururawatan' HTI. 


Pasukan Team 1 muncul naib johan keseluruhan 'Sukaneka Kejururawatan' HTI.


Pasukan Team 3 dengan tag line  'Lautan Biru' menduduki tempat ketiga dalam 'Sukaneka Kejururawatan' HTI.


Johan keseluruhan sukaneka ialah Team 5, merangkumi staf Unit Rawatan Rapi (ICU), Dewan Bedah, Klinik Orthopedik, Jabatan Pakar Pesakit Luar (SOPD), Unit Endoskopi (Scope Room), Wad 1A, 1D dan 2A. 

Naib johan Team 1, terdiri daripada Klinik Dada, Hemodialisis, Unit Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD),  Klinik Perubatan, Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), Wad 1B, Wd 2B, 2C, 2 D.

Tempat ketiga jatuh kepada Team 3, merangkumi Klinik Kanak-Kanak, Telinga Hidung dan Tekak (ENT), Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Klinik Oftamology (Mata), Rawatan Harian, Wad 1C, 3C,3D dan GB. - KitaReporters


Sebahagian staf Hospital Teluk Intan yang bekerja keras bagi menjayakan 'Sukaneka Kejururawatan.

su

12
17
0
13
0
You will be interested