Insan & Komuniti 15 Nov, 2025

Syabas MBAS! Bertegas bersihkan longkang yang sangat kotor, menjijikkan! Sikap penduduk dibidas!

Share this

Sudah beberapa kali peringatan dan notis ditampal dan diberikan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kepada orang ramai. Namun begitu peringatan tersebut seolah-olah dengar telinga kanan dan keluar telinga kiri.


Longgokan sampah dalam longkang sekitar Jalan Putra yang menyakitkan mata memandang.

Tidak kurang juga yang pura-pura tidak nampak sampah yang telah memenuhi longkang, air melimpah, banjir kilat dan longkang tersumbat. Ditambah pula dengan musim hujan yang begitu kerap setiap hari.

Demi kepentingan orang ramai dan keadaan yang mendesak MBAS tidak tunggu lama.

Mereka mengambil tindakan drastik dengan segera mengorek dan menggali timbunan sampah sarap yang menimbuni longkang sekitar Jalan Putra pada 12 November 2025.


Sampah sarap yang jelas berada dalam longkang boleh menyebabkan banjir kilat.

Bahagian Perkhidmatan Bandar MBAS telah menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.

Malah tindakan ini adalah susulan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang terus membuang sampah ke dalam sistem saliran yang menjadi punca utama banjir kilat kerap berlaku.

Selain itu,longkang yang tersumbat dan kotor bukan sahaja menyebabkan banjir, tetapi turut berisiko menjadi sarang pembiakan pelbagai penyakit yang boleh mengancam kesihatan awam penduduk.


Kakitangan MBAS bertungkus lumus membersihkan longkang yang penuh dengan sampah sarap.

MBAS tetap tegas untuk menjaga kebersihan bandar dan akan terus komited bagi memastikan sistem saliran serta kelancaran infrastruktur bandar raya.

Justeru itu MBAS menasihatkan orang ramai supaya senantiasa peka dan peduli serta membuang sampah ditempat yang telah ditetapkan bagi memastikan persekitaran bandar kekal bersih dan sihat. - KitaReporters


Kakitangan MBAS giat mengorek dan menggali longkang yang dipenuhi sampah sarap.

19
14
0
8
0
You will be interested