Insan & Komuniti 21 Jul, 2025

Lidah Pengarang| Satu Malaya kena prank! Pempengaruh sosial susahkan polis, bomba! Perlu dihukum!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

KERETA Axia ditemui dalam Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong, Johor. Gambar kecil: Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin @ Ija.


"PASUKAN keselamatan sudah berhari-hari berkampung di lokasi untuk mencari dan menyelamatkannya. Kita berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mencari orang hilang namun perkara berlaku sebaliknya," kata Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari.

Beliau meluahkan kekecewaan ekoran pihak bomba  menjadi mangsa ‘sandiwara’ seorang pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau Ija yang berpura-pura hilang sehingga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM bertungkus lumus mencarinya.

Tumpuan operasi bertumpu di sekitar Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong, Johor, selepas sebuah kereta Axia milik isteri Ija ditemui di dalam sungai berkenaan.

Namun, apa yang mengecewakan, akhirnya terbongkar kehilangan pempengaruh itu hanyalah lakonan atau satu sandiwara yang dirancang untuk kepentingan peribadi.


OPERASI mencari dan menyelamatkan Ija dilakukan oleh pihak bomba. 


Sebelum itu kecoh ‘satu Malaya’ apabila pempengaruh popular itu dilaporkan hilang dengan laporan kehilangan dibuat oleh adiknya, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, pada 15 Julai, 2025.

Namun, siasatan polis kemudian mendapati kereta itu sengaja ditenggelamkan sebelum Ija melarikan diri ke sebuah negara jiran.

Lebih memeranjatkan, siasatan polis juga mendapati adik Ija, Tengku Aziz Tengku Zainudin turut bersubahat dalam kejadian itu termasuk berpura-pura menjalankan operasi pencarian bagi mengelirukan pihak berkuasa dan orang awam.

Justeru, kita memahami mengapa Norshuhada begitu kecewa akibat ‘diprank’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana bukan sedikit sumber, tenaga dan masa ditumpukan kepada usaha pencarian itu.

Menurut Norshuhada, sepanjang operasi berlangsung empat hari, seramai 30 pegawai dan anggota bomba dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi untuk mencari mangsa.


NORSHUHADA AMSARI. - Kredit foto: Bernama


"Ia juga membabitkan risiko keselamatan pasukan penyelamat serta mengganggu tugas-tugas kecemasan lain. Tindakan ini turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat dan pihak berkuasa.

“Saya tegaskan ia adalah tindakan yang tidak wajar kerana kami bimbang boleh mengganggu insiden kecemasan lain.

"Dia membuat tindakan yang tidak relevan seperti ini pada keluarga terdekat, orang awam serta pasukan penyelamat dan pihak berkuasa, jadi dia perlu lakukan sesuatu untuk memulihkan situasi ini,” katanya lagi seperti dilaporkan Harian Metro.

Susulan itu, JBPM Johor membuat laporan polis terhadap pempengaruh dan adik lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.


LAPORAN Sinar Harian.


Selain aduan JBPM, pihak polis juga sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.

Di bawah seksyen berkenaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

KitaReporters beranggapan ia adalah satu tindakan yang sangat wajar supaya ia menjadi pengajaran kepada orang awam agar tidak melakukan perkara seumpama itu.

Malah, bukan saja pempengaruh itu dan adiknya mesti diambil tindakan undang-undang sebaliknya perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut terpedaya dengan sandiwara mereka.

Bagi KitaReporters, kesalahan dilakukan bukan perkara kecil yang boleh dilepaskan begitu saja sebaliknya hukuman maksimum sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen berkenaan wajar dikenakan ke atas mereka jika didapati bersalah.


KETUA Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz


Malah undang-undang sedia ada perlu digubal supaya hukuman dalam seksyen berkenaan dikenakan lebih berat berbanding yang diperuntukkan sekarang. Ia bagi membendung perbuatan seumpama itu dilakukan sewenang-wenangnya.

Janganlah kita memperolok-olokkan pihak berkuasa demi kepentingan peribadi kerana ia satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab, menyusahkan malah mendatangkan risiko kepada orang lain.

Sebagaimana dikatakan oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, tindakan mereka itu boleh menjejaskan tugasan serta sumber kepolisian yang seharusnya ditumpukan kepada kes sebenar dan kecemasan.

Malah, bayangkan jika berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini ke atas mereka (anggota polis dan bomba) yang terbabit dalam usaha pencarian itu, siapakah yang akan dipertanggungjawabkan? - KitaReporters

 

 

17
8
0
10
1
You will be interested