RAMAI penduduk Lahaina, di Maui Hawaii lari ke laut untuk menyelamatkan diri daripada terbakar. Manakala yang menaiki kenderaan, ada yang maut, akibat sesak nafas kerana asap tebal.
Antara yang terselamat adalah seorang wanita tua berusia 88 tahun dan anaknya selepas berada di dalam lautan selama tujuh hingga 8 jam.
Elena Nakumura, sebelum itu cuba menyelamatkan diri dengan menaiki kereta tetapi terpaksa terjun dari benteng penghadang ombak ke lautan dengan depannya api sedang marak dan di belakangnya ombak yang kuat. Namun dia diselamatkan pada jam 2 pagi oleh pasukan penyelamat maritim.
Hampir 80 peratus pusat peranginan, kawasan bersejarah, bermulanya kota diraja yang dibuka seribu tahun lalu oleh bangsa Polynesian, jadi padang jarak kerana kebakaran itu buatkan bangunan jadi debu, sama paras dengan tanah.
Bandar itu bersama 2,000 kediaman hangus dijilat api selepas angin kuat dibawa oleh taufan Dora dan meragut lebih 80 nyawa setakat 12 Ogos 2023.
Bandar yang pernah menjadi ibu negara Hawaii selepas dibuka pada 1802 oleh Raja King Kamehameha. Lahaina menjadi ibu negara selama 50 tahun sebelum digantikan dengan Honolulu.
Taufan Dora dikatakan meruntuhkan tiang elektrik dan api merebak dengan cepat disebabkan angin kuat dan melumpuhkan usaha menggunakan helikopter untuk kerja-kerja menyelamat.
Ada penduduk kesal kerana pihak berkuasa bandar itu tidak menguruskan pokok yang terbiar itu tumbang dan mulakan pecikan api.
Malah terkini timbul pula teori bandar itu terbakar kerana dikatakan 'kerja jahat' HAARP (High-frequency Active Auroral Research Program) yang dikatakan berlaku panahan petir dihasilkan oleh mesin berkenaan.
CNN melaporkan Gabenor Hawaii, Josh Green menyifatkan Lahaina di Maui musnah sama sekali dan kerajaan Amerika Syarikat sudah mengatur bantuan segera dan jangka panjang termasuk mengaktifkan program perumahan sementara menempatkan penduduk yang terbabit.
Amerika menjangkakan kos membina balik bandar itu menelan belanja lebih RM25 bilion ($5.5 billion) .
Sebelum itu, Pemangku Gabenor Sylvia Luke dan Datuk Bandar Maui, Richard Biseen mengisythyiarkan darurat dan pasukan keselamatan Hawaii digerakkan bagi menjalankan usaha keselamatan membabitkan sekitar wilayah Maui yang musnah teruk akibat kebakaran paling dahsyat selepas kebakaran di California.
Seorang jurugambar amatur Kevin Foley yang menghantar rakamannya ke Fox Weather mahu memberitahu dunia, betapa sedihnya apabila melihat api marak membakar rumah dan kenderaan sepanjang malam.
Lahaina antara lokasi percutian di Hawaii yang termahal menerima lebih dua juta pelancong setiap tahun kerana mahu menghabiskan masa santai di perairan terutama bermain luncur air, melawat galeri seni lukis terbaik dunia dan sesuai dengan gelaran "Heart of West Maui".
Hebatnya sukan luncur di Hawaii menjadikan siri drama Hawaii Five-O popular dan kartun animasi kanak-kanak Moana sangat dekat di hati penduduk dunia.
Maklumat daripada Maui Property memberitahu untuk hidup di sini kena ada wang yang banyak kerana jika indek kos sara hidup jika puratanya 100. Lahaina mencatatkan 164.5, maknanya taraf hidup di sini sangat tinggi.
Pendapatannya paling rendah bermula dengan RM388,000 (AS$74,000) dan rumah harga sederhana sekitar AS$721,014 (RM3.3 juta). Secawan kopi Amerika berharga RM23 hingga RM49 di sini.
Hawaii adalah bandar raya untuk orang kaya yang mahu hidup ringkas. Di sini ada pantai yang landai, panorama gunung ganang yang cantik dan budaya rakyatnya ada ikatan rapat, membuatkan sesiapa saja yang cintakan kedamaian dan tenang tinggal di sini.
Lebih kurang ada 13,000 penghuni di Lahaina tertumpu terutama di Kapalua dan Kaanapali di utara pulau berkenaan.
Sejarahnya pada 1710, Raja Kamehameha I menjadikan Lahaina pusat pentadbiran dan dari 1820 hingga 1845 Lahaina adalah ibu negara Hawaii ketika Raja Kamehameha III (anak kepada Raja Kamehameha I) dengan istananya dibina di Mokuula, satu ekar kawasan kolam perikanan.
Dari sebuah bandar menangkap ikan paus kemudian bertukar pelabuhan yang menerima 400 kapal setiap tahun untuk mendapatkan kemudahan asas dan hiburan.
Sebelum itu pulau terbabit diuruskan oleh mubaligh Kristian, pernah berlaku konflik apabila rumah ketua agama itu, William Richard dibedil oleh pelayar kapal apabila Kapten John Palmer ditangkap sebab membawa naik wanita ke kapalnya.
Akhirnya Lahaina terkenal dengan industri ladang gula dan bermula 1970, pulau itu mula menerima pelancong.
Maui Property mencatatkan keistimewaan dengan jalan utamanya dinamakan satu daripada 10 jalan terhebat oleh American Planning Association. Kompleks beli belah Old Lahaina Center, Lahaina Cannery Mall dan Lahaina Gateway ada semua keperluan yang wujud di Hawaii.
Mahu menikmati tarian hula singgahlah di Royal Lahaina Resort's Luau, Myths of Maui untuk mempelajari budaya Hawaii, Tahiti, New Zealand dan Samoa. Perairan Lahaina tempat terbaik untuk melihat paus bonggok (humpback Whale).
Kini semua itu menjadi debu dan hanya kekal dalam lipatan sejarah sehingga pembangunan Lahaina dimulakan dari titik asasnya. - KitaReporters