Insan & Komuniti 13 Apr, 2024

Lepak Lepas Tarawih: Kemanusiaan dan Palestin! Jentik kesedaran dan kesukarelawanan mahasiswa USIM!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Kehadiran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Cinta Syria Malaysia ke Program Lepak Lepas Tarawih: Kemanusiaan dan Palestin yang diadakan pada 29 Mac 2024 baru-baru ini di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menjentik hati mahasiswa USIM dengan perkongsian pengalaman mereka sepanjang mengikuti bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.  

Nurul A’ina Sofea Mohd Kamal, alumni USIM yang juga mantan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar berkata, tujuan utama program Lepak Lepas Tarawih: Kemanusiaan dan Palestin ini diadakan di USIM adalah untuk memberi kesedaran secara terus menerus terutama kepada pelajar berkenaan isu Palestin yang sedang bergolak sehingga hari ini.

Beliau yang juga salah seorang staf di Cinta Syria Malaysia berkata, selain menghulurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Syria, mereka juga turut membuat pembahagian beberapa kumpulan mengadakan program-program kesedaran tentang Isu Palestin-Israel di seluruh dunia untuk membuka mata dan hati seluruh masyarakat.



Sementara itu, Nadir Al-Nuri, pengasas Cinta Syria Malaysia dan MyAqsa Defenders berkata dalam ucapannya, beliau sangat bangga dengan USIM kerana kebanyakan pekerja dan sukarelawan di pertubuhan beliau adalah merupakan alumni USIM. 

“Isteri saya juga merupakan salah seorang alumni USIM. Saya sangat berbangga dan bersyukur kerana masih ada lagi dalam kalangan pelajar universiti yang mengingati dan berjuang bersama kami dalam isu Palestin ini kerana semakin hari isu Palestin ini semakin dilupakan. 

"Saya berharap USIM dapat melahirkan mahasiswa yang aktif dan giat dalam program kemanusiaan dan sukarelawan seperti ini” katanya.

Salah seorang peserta yang hadir Haifa Umairah, 22, pelajar Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM berkata, program kesedaran seperti ini menguatkan lagi semangat mahasiswa USIM yang telah datang pada malam tersebut.

“Selepas mendengar kisah-kisah dan pengalaman yang dikongsikan oleh Aizat Amdan, saya berasa sangat bersyukur kerana kita masih lagi diberikan nikmat untuk duduk di bawah bumbung yang selesa. 

"Saya juga berasa sedih kerana sebagai seorang umat Islam, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka yang berada di bumi Palestin,” ujarnya lagi. - KitaReporters/USIM



11
13
0
15
0
You will be interested