Insan & Komuniti 06 Dec, 2023

Video| Hari Keluarga kakitangan hospital di pusat jagaan! Bagi tingkatkan mutu perkhidmatan pesakit!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


DALAM meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan kepada pesakit di hospital 40 kakitangan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor, memilih untuk mengadakan program Hari Keluarga di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), pada 2 Disember 2023.

Pemilihan lokasi Hari Keluarga yang kali pertama dibuat di pusat jagaan itu sebagai inisiatif melihat secara dekat keperluan yang diperlukan seorang pesakit di hospital kerana keadaan itu dapat diamati apabila bersama warga emas di PJMM yang uzur serta bergantung kepada peralatan kesihatan.


Warga emas, sukarelawan dan kakitangan JKSP turut menyertai senam zumba yang diadakan pada Hari Keluarga itu.


Ketua JKSP hospital itu, Rosalina Sabarin, berkata kalau di hospital, mereka akan melakukan tugas antaranya meneliti keperluan pesakit yang mendapatkan rawatan dari segi peralatan kesihatan bersesuaian dengan mereka untuk digunakan.

Menurutnya, penelitian yang dibuat itu akan membabitkan banyak perkara termasuklah penyakit yang dihidapi, kemampuan untuk berdikari, bergerak, kawasan atau tempat digunakan dan sebagainya supaya peralatan yang disediakan mampu digunakan.

Tambahnya, apabila datang ke PJMM kakitangan terbabit akan menyantuni warga emas di pusat jagaan itu yang sebahagian daripada aktiviti Hari Keluarga dan berpeluang melihat secara dekat kesukaran warga emas seperti untuk bergerak apabila terpaksa menggunakan kerusi roda atau tongkat.


Rosalina Sabarin (tengah) mencabut undi untuk menyertai acara sukaneka yang turut membabitkan warga emas.


“Kesempatan ini mereka boleh memberi tunjuk ajar atau membimbing warga emas terbabit cara yang betul menggunakan peralatan kesihatan seperti kerusi roda supaya tidak menjadi bebanan apabila hendak bergerak ke satu-satu tempat,” ujarnya yang ditemui pada program itu.

Program Hari Keluarga itu turut disertai beberapa sukarelawan hospital yang dimulakan dengan aktiviti bersarapan bersama warga emas, senam zumba dan sukaneka yang membabitkan penghuni di PJMM dalam mengeratkan hubungan silaturahim.

Rosalina berkata, selain untuk memupuk komitment budaya kerja berpasukan kakitangan dalam menjayakan program di luar pejabat juga untuk mendedahkan kepada komuniti bidang tugas seorang JKSP dalam membantu pihak hospital serta mereka yang datang mendapatkan rawatan.


40 kakitangan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP), Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, merakamkan kenangan bersama-sama sukarelawan dan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih, Selangor, selepas mengadakan program Hari Keluarga pada 2 Disember 2023.


Menurutnya, dengan pusat jagaan umpamanya JKSP akan membantu pihak hospital mengurus serta menyeliakan penempatan pesakit yang discaj malangnya disisihkan oleh ahli keluarga atau tiada waris memerlukan tempat perlindungan seperti di JPMM apabila keadaan semakin uzur.

“Sebagai contoh PJMM ini sememangnya sentiasa dekat di hati JKSP kerana banyak membantu serta memudahkan urusan penempatan apabila pihak hospital meminta bantuan bagi menempatkan khususnya warga emas yang tiada tempat hendak berteduh.

“Walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran pengurusan pusat jagaan ini turut berikhtiar melakukan pengesanan waris warga emas yang uzur itu untuk dimaklum keadaannya jika memiliki ahli keluarga atau kenalan rapat berdasarkan maklumat disertai JKSP,” ujarnya.


Pertandingan melukis untuk anak-anak kakitangan JKSP turut diadakan.


Sementara itu seorang kakitangan JKSP yang ditemui, Aidah Jaamat, berkata program itu bukan semata-mata Hari Keluarga juga sebagai tempat untuk berkongsi pengalaman pengurusan warga emas yang uzur kerana tidak jauh berbeza dengan menyantuni pesakit di hospital.

Menurutnya, setiap kakitangan JKSP juga tidak dapat mengelak pelbagai karenah pesakit apabila membuat perincian peralatan kesihatan yang mereka perlu gunakan supaya tidak memberi kemudaratan kepada penyakit dihidapi.

Jelasnya, di PJMM itu sambil kakitangan bergembira pada Hari Keluarga juga berpeluang melihat lagak serta pelbagai gaya warga emas menggunakan peralatan kesihatan terutamanya kerusi roda atau tongkat untuk membantu mereka lancar bergerak

“Pada Hari Keluarga ini juga bukan setakat merapatkan hubungan antara kami bekerja dalam satu pasukan malah berganding bahu menggembirakan hati warga emas di PJMM yang sekurang-kurangnya dapat menghilangkan tekanan perasaan mereka,” ujarnya. - KitaReporters


Warga emas disantuni kakitangan JKSP HSIS dalam sukaneka yang diadakan pada program Hari Keluarga itu.

27
11
1
8
0
You will be interested