Insan & Komuniti 19 Nov, 2024

Kempen Madani Go Green! Kelestarian Bandar Taiping Melalui Kitar Semula! JKP MPT kena main peranan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian dan Harian Watan. Emel: [email protected]

Share this


Peningkatan barangan atau sisa buangan setiap hari jelas memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

Justeru itu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melancarkan Kempen Madani Go Green: Kelestarian Bandar Taiping Melalui Kitar Semula dan penyerahan tong kitar semula kepada 24 Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPT di bandar Taiping ini.

Serentak itu, kesemua JKP di bandar warisan Taiping ini juga diminta memainkan peranan dalam memastikan kelestarian bandar Taiping melalui kitar semula tercapai.

Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, setiap JKP perlu menggumpul data bagi merekodkan setiap jenis barang yang dikumpul pada setiap bulan.

“JKP hendaklah memastikan tong kitar semula penuh dengan barangan kitar semula dan barang yang dikumpul itu boleh dijual kepada vendor dan ini memberikan pendapatan kepada JKP,” katanya kepada KitaReporter di Taiping pada 19 November 2024.

Khairul Amir berkata, penganjuran kempen ini merupakan langkah proaktif yang diambil oleh MPT untuk melibatkan masyarakat setempat terutama JKP dalam usaha memelihara alam sekitar melalui amalan kitar semula.

Beliau berkata, ia bertujuan mengubah sikap dan pemikiran masyarakat mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan kelestarian bandar Taiping.

“Dengan pendekatan ini MPT berharap dapat membina masyarakat yang lebih peka terhadap alam sekitar serta menyumbang ke arah mewujudkan persekitaran yang mampan dan harmoni,” katanya.

Selain itu, Khairul Amir berkata, penyerahan tong kitar semula ini memberikan kemudahan kepada komuniti setempat dalam melaksanakan dan mengamalkan aktiviti kitar semula bersama JKP masing-masing.

“Saya berharap masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya tong-tong kitar semula yang disediakan dan menjadikan amalan itu sebagai sebahagian gaya hidup seharian,” katanya.



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Goh See Hua yang merasmikan program berkenaan berkata, isu pencemaran alam sekitar adalah sesuatu perkara yang amat membimbangkan kerana kesan yang terakibat daripadanya berupaya menjejaskan kualiti hidup bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi juga masyarakat global. 

Menurut beliau, jumlah penjanaan sisa yang semakin bertambah saban hari selari dengan perkembangan populasi sejagat juga meningkatkan risiko pencemaran dan mengurangkan sumber alam semula jadi.

Katanya, tanpa kawalan yang sewajarnya bagi memastikan kemampanan alam sekitar, sudah pasti masyarakat akan terjerumus ke dalam pelbagai impak negatif seperti kemerosotan kualiti hidup, kepupusan flora dan fauna, peningkatan kejadian bencana alam dan krisis sumber asli.

Oleh demikian, katanya, pelaksanaan kempen kitar semula ini adalah merupakan sebuah langkah yang sangat penting bagi mendidik dan menyedarkan masyarakat akan kepentingan menguruskan sisa dengan bijak. 

“Melalui kempen ini, adalah diharapkan masyarakat dapat memahami terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah merupakan tanggungjawab bersama.

“Kempen ini juga adalah merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan kitar semula sebagai amalan harian serta budaya dalam komuniti kita. 

“Dalam menghadapi isu perubahan iklim dan peningkatan masalah sisa pepejal yang kian meruncing, setiap langkah yang diambil walaupun kecil mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya lagi. - KitaReporters


11
11
0
13
0
You will be interested