Untuk mendidik masyarakat dalan sesuatu perkara sememangnya bukan mudah tetapi usaha yang dilakukan perlulah konsisten.
Itu yang dilakukan oleh Majlis Perbadanan Ampang Jaya (MPAJ) apabila mengambil inisiatif dengan mengadakan Sambutan Hari Bebas Plastik Sedunia Peringkat MPAJ 2023 pada 16 September 2023 lalu bertempat di Tasik Pandan Perdana, Ampang, Selangor.
Tujuan utama adalah untuk mendidik masyarakat agar dapat mengamalkan gaya hidup bebas plastik.
Semua sedia maklum, penggunaan plastik ini boleh memberi kesan buruk kepada bumi kerana ia mengambil masa terlalu lama untuk luput.
Apatah lagi masih ramai masyarakat tidak peka berkenaan bahayanya plastik ini jika tidak dibuang di tempat yang betul.
Disebabkan itu, inisiatif yang dilakukan oleh MPAJ ini untuk terus melestarikan alam sekitar, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Bagi menarik lebih ramai orang menyertai program tersebut, MPAJ telah mengadakan beberapa aktiviti seperti aktiviti Kutip Sampah sambil Riadah di sekitar kawasan Tasik Pandan Perdana, Pertandingan Reka Cipta Bahan Kitar Semula dan Pertandingan Anyaman daripada Bahan Terbuang.
Aktiviti yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan seramai 500 orang dan ini satu perkara baik dalam menyampaikan mesej utama program ini.
Selain itu ia mendapat kerjasama dari pelbagai agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Indah Water Konsortium (IWK) dan Sahabat Sungai Malaysia.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur dan Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad. - KitaReporters