Kredit foto: FB Prof Dr Muhaya
Hujan tidak, ribut tidak, tetiba semalam (9 Jun 2021) netizen meletup lagi. Semuanya gara-gara ayat sensasi doktor pakar mata dan pakar motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad, mengenai tip berkaitan kedudukan wanita dan lelaki serta jodoh.
“Orang lelaki suka perempuan lembut-lembut, high estrogen, mengharapkan, perlu ditolong, biarlah macam bodoh-bodoh sikit, itu bolehlah. Sesiapa yang lambat-lambat jodoh tu tengok you punya karakter macam mana," katanya.
Ayat “Biarlah macam bodoh-bodoh sikit” itu benar-benar menggoncang netizen. Bukan saja wanita yang bersuara, malah lelaki pun turut menyelitkan pandangan.
Lagi cerita-cerita berkaitan rumah tangga
Prof Dr Muhaya
“Weh what is this did she really say kita kena jadi bodoh baru laki suka kalau tak, lambat kahwin? If women are too independent we would have high testosterone? I would rather be single if my stupidity attracts my future spouse?” Kata seorang netizen dengan lantangnya.
Itu pandangan dia (seorang netizen).
Berapa ramai sekali pun yang menyanggah kenyataan Prof Dr Muhaya, bagi penulis tidak juga salah dengan kata-katanya itu. Prof Dr Muhaya bukan menyuruh wanita menjadi bodoh, sebaliknya menasihatkan agar simpan atau sorok sedikit kepandaian/kemampuannya kerana hakikatnya ada lelaki tidak berani memilih pasangan wanita yang sangat bijak dan berkebolehan, sama ada kerana sedar diri atau ego.
- 1. Pertama kerana lelaki terbabit sedar dirinya siapa dan di tahap mana status pandainya, sekali gus timbul rasa rasa rendah diri menyedari akan gagal untuk uruskan wanita yang lebih bijak daripadanya. Golongan lelaki pertama ini pastinya mengelak daripada menerima wanita seperti itu sebagai pasangannya. Bimbang kelak tertonjol kebodohan atau kekurangan dirinya.
- 2. Namun itu tidak bermakna semua lelaki begitu. Ada lelaki golongan kedua yang kurang pandai tetapi berani kerana berpendapat walaupun tidak sepandai wanita itu tetapi dia ada kelebihan lain yang membuatnya mampu untuk mengurus atau memimpin wanita yang bijak itu.
- 3. Golongan ketiga ialah lelaki yang sedar lemah dari segi intelektual dan kepemimpinan, sebaliknya yakin dia bijak dari segi memanipulasi wanita yang berkemampuan itu untuk kepentingan dirinya yang serba kekurangan. Jenis suka mengambil kesempatan ke atas wanita!
- 4. Keempat ialah golongan lelaki yang lebih bijak daripada wanita, tetapi bilangannya terhad sangat.
JIka wanita itu tidak rasa terdesak hendak berkahwin, tidak perlulah dia beraksi bodoh-bodoh demi untuk memikat seorang lelaki. Namun bagi yang nak sangat berkahwin tidak kisah berlagak bodoh-bodoh sikit untuk mendapat peluang memikat lelaki (kategori nombor satu), kerana lelaki jenis ini sentiasa sedar diri dengan status dan tarafnya yang lebih rendah atau sederhana. Ini lumrah.
Memilih lelaki kategori pertama lebih baik daripada lelaki kategori ketiga, yang menerima wanita itu kerana hendak dijadikan mangsanya untuk dimanipulasi. Berhati-hati jangan sampai terkena dengan lelaki nombor tiga ini.
Demikian empat kategori lelaki yang penulis terfikir ada dalam kalangan kita, dan wanita boleh mempertimbangkan mana pilihan mereka untuk jodoh.
Pasangan yang mengekalkan ego masing-masing, mengundang masalah dan mungkin juga kemurungan dalam kehidupan mereka. - Kredit foto: Pexels.
Prof Dr Muhaya mengingatkan, ”Kita wanita (kena) menghargai lelaki, kekuatan mereka, mereka ketua. Orang laki-laki walau macam mana suami kita, dia tetap imam kita. Kalau solat, kita pangkat besar macam mana pun, kalau kat office kita ada seorang pekerja am, seorang CEO perempuan, apabila berimam, siapa depan? Masih yang laki-laki.”
Memang betul ayat Prof Dr Muhaya itu (dari sudut Islam), tidak siapa boleh menafikannya. Kalau ada lelaki dan perempuan di satu tempat, lelakilah yang sah menjadi imam solat ketika itu, perempuan tak boleh.
Tegas beliau lagi, "So orang perempuan, walau macam mana you all, please mesti kita celebrate apa yang Allah beri tentang kepimpinan lelaki. Imam pun lelaki. Nabi-nabi pun lelaki. Jangan sibuk nak liberate, nak berdiri sama-sama lelaki, no. Nanti you all sibuk nak buat apa yang lelaki nak buat, testosterone meningkat dan bagi siapa belum kahwin, lambatlah jodoh.” Tambahnya lagi, "Siapa tinggi testosterane, asyik nak drive, nak achieve, nak independent, memanglah."
Hakikatnya sebagai manusia, baik wanita mahupun lelaki ada pendirian dan ego masing-masing. Nasihatnya itu untuk golongan wanita yang mungkin sangat memerlukan seorang suami dan mempersoalkan fasal jodoh.
Lumrahnya wanita bijak, tinggi keegoannya, apatah lagi lelaki; walaupun sedar dia kurang bijak, tetap tinggi keegoannya. Justeru lelaki normal tidak akan pilih wanita lebih tinggi taraf kedudukan dan intelektualnya. Ini di sebalik hakikat, kalau sudah jodoh, takkan ke mana.
Sebagaimana yang kita sedar, golongan lelaki keempat iaitu yang bijak pandai pada akhir zaman ini dikatakan kian terhad, manakala bilangan wanita pandai semakin ramai. Bertuahlah wanita yang mendapat lelaki golongan keempat itu.
Jadi tinggallah golongan ketiga, keempat dan kedua, tapi siapa nakkan lelaki nombor tiga yang menyasarkan wanita bijak untuk dimanipulasi bagi kesenangan dirinya? Minta dijauhkan daripada jodoh yang ini! Siapa mendapatnya, sungguh malang sekali.
Pasangan ideal, masing-masing buang rasa ego dan bersedia untuk menerima tanggungjawab bersama dalam kehidupan berpasangan. Kredit foto: Pexels
Akhirnya tinggalah lelaki kategori pertama sahaja sebagai pilihan, yang taraf kepandaian biasa-biasa sahaja atau pun lebih rendah tetapi mempunyai kelebihan lain yang boleh membuat wanita berkenaan menerimanya.
Lelaki golongan pertama sudah out daripada list, kerana mereka sendiri sudah menetapkan tidak akan terima wanita yang lebih bijak dan tinggi intektualnya daripada mereka.
Akhirnya tinggal sedikit sahaja lagi `kek` lelaki yang tersedia sebagai calon pasangan. Justeru bagi wanita yang membutuhkan sangat seorang suami, tidak sabar mahu hidup berkeluarga dan mempunyai anak, hidup bahagia seperti kawan-kawan lain, maka di situlah logiknya pesanan Prof Dr Muhaya, agar wanita berkenaan menurunkan egonya dengan bersedia menjadi `seperti bodoh bodoh sedikit`, agar lelaki kategori satu tidak perasan mengenai hakikat yang wanita itu bijak/pandai, langsung dapat menerimanya.
Percayalah selepas berkahwin dan hidup bersama, akhirnya lelaki itu akan tahu juga siapa wanita yang menjadi isterinya itu, iaitu seorang yang lebih bijak daripadanya. Namun mengetahui itu selepas berkahwin, sudah terlambat untuk diluah balik kerana mereka sudah ada ikatan sah, sudah saling menyayangi dan mengenali, tahu buruk baik sifat masing-masing, maka kedua-duanya sedia menerima seadanya.
Pun begitu, dalam kes dan situasi pasangan ini, wanita dan lelaki (isteri dan suami) itu sama-sama kena pandai menangani ego. Dan untuk wanita bijak pandai yang mendapat suami seperti ini, dia mesti bersikap bijak untuk bermain dengan perasaan dan emosi, iaitu untuk terus menyederhanakan diri, dan tidak sangat menonjolkan kelebihannya itu agar si suami tidak terasa terancam, cuak dan rendah diri.
Wanita pandai, bijak menilai situasi dan psikologi pasangannya, tidak kisah untuk mengekalkan rasa rendah diri dan hormat kepada suaminya, tidak jatuh taraf intelektualnya jika dia berlagak sedemikian, itu baru dinamakan wanita bijaksana. Hakikatnya perkahwinan itu bukan satu battle untuk menunjukkan siapa pandai siap bijak, hadirnya mereka berdua dalam satu kehidupan adalah sebagai saling pelengkap, barulah bahtera rumah tangga tidak mudah dipukul badai, sebaliknya senantiasa aman, makmur dan bahagia.
Dalam hidup berpasangan, kerjasama dan saling menghormati dan menyayangi perlu untuk mengekalkan hubungan. Kredit Foto - Pexels.
Pandangan Prof Dr Muhaya yang dipersoalkan ramai itu ialah, "Orang lelaki suka perempuan lembut-lembut, high estrogen, mengharapkan, perlu ditolong, biarlah macam bodoh-bodoh sikit (bukan bodoh), itu bolehlah."
Yang ini memang benar pada pendapat penulis, wanita atau isteri yang menonjolkan sangat kepandaiannya terdedah kepada risiko, lama-kelamaan lelaki atau suami itu pula yang mengambil sikap `buat bodo` sehingga tak lagi ambil port pasal tanggungjawabnya, lalu menyerahkan semua tugas kepada isteri kerana dia tahu semua hal isterinya boleh uruskan.
Dan percayalah suatu hari nanti sampai satu tahap usia di mana wanita/isteri itu akan tersedar tiba-tiba terasa rimas dan lemas, hanya dia seorang diserah bebanan tanggungjawab keluarga.
Dan ketika itu sudah pun terlambat, sangat sukar untuk mengubah sikap lelaki yang sudah tepu dengan sifat sebegitu, bayangkan kalau dia lebih rela menjadi Pak Turut, tak perlu memikir apa-apa, mahu menerima arahan sahaja, menjadi seorang yang tiada keyakinan dan motivasi. Mahu tak mahu, wanita/isteri itu mesti terima yang itu adalah kesilapannya sendiri.
Jadi sebelum menjadi mangsa keadaan seperti itu, justeru dalam sebuah rumah tangga perlu kerjasama antara kedua-dua pihak dari awal lagi, saling berbahagi bebanan tanggungjawab untuk sama adil.
Selain itu Prof Dr Muhaya menyoal lagi, "Sesiapa yang lambat-lambat jodoh tu tengok you punya karakter macam mana."
Maksudnya, wanita itu perlu menilai dirinya sendiri, kenapa dia lambat dapat jodoh, dan jenis bagaimana sifat semula jadinya.
Andai wanita itu sememangnya kuat mempertahankan kehebatannya dan dan tidak akan berkompromi untuk berpura-pura menjadi seorang wanita sederhana, ini tidak menjadi hal bagi sesiapa pun kerana itu adalah pilihan dan prinsip wanita itu sendiri. Alasan mudahnya, jodoh itu di tangan Tuhan!
Apa pun dari segi motivasi bukan bermakna level ketinggian atau martabat seseorang itu pantang direndahkan, semuanya bergantung kepada. keadaan, dalam hal tertentu boleh saja kalau nak berkompromi, bergantung kepada hal dan situasi, adakala orang yang mengalah dan merendah diri dan buat macam bodoh-bodoh sikit itulah pemenang! - KitaReporters