Makam Puteri Lindungan Bulan yang terletak di atas sebuah bukit di Kota Seputih, Jitra membuktikan tempat itu pernah dijadikan pusat pemerintahan kerajaan negeri Kedah. - Kredit foto: Harian Metro.
JIKA dibandingkan Mahsuri dengan Puteri Lindungan Bulan ternyata Mahsuri lebih beruntung, bukan sahaja namanya sentiasa bermain di bibir kerana kecantikan, berdarah putih serta sumpahannya malah pusaranya di Pulau Langkawi juga sentiasa dikunjungi.
Hakikatnya, Mahsuri hanyalah rakyat biasa berbanding Puteri Lindungan Bulan yang merupakan seorang puteri daripada kerabat diraja Kesultanan Kedah pada kurun ke-16. Malah, daripada rupa paras, dia tidak kalah dengan Mahsuri, juga dikatakan turut berdarah putih!
Puteri Lindungan Bulan bukan cerita dongeng. Makamnya masih wujud di atas sebuah bukit di Kota Seputih, Jitra, Kedah, cuma malangnya, ia tidak kerap dikunjungi sebagaimana orang mengunjungi makam Mahsuri.
Begitulah malangnya nasib Puteri Lindungan Bulan yang bukan sahaja makin dilupakan malah ada rakyat negeri Kedah sendiri yang tidak mengenali dan mengetahui kisah hidupnya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusara
Dr Ibrahim Bakar, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.
Menyedari hakikat itu, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) membuat pelbagai perancangan untuk memastikan bukan sahaja kisah Puteri Lindungan Bulan tidak luput ditelan zaman malah diketahui generasi kini dan akan datang kerana ia berkait rapat dengan sejarah kesultanan Kedah.
Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, sebagai persatuan yang berfungsi mengkaji dan menjaga khazanah sejarah negeri Kedah, PSMCK akan berusaha meletakkan sejarah Puteri Lindungan Bulan pada kedudukan sewajarnya tanpa mengabaikan sejarah yang lain.
“Kita akui masyarakat lebih mengenali Mahsuri berbanding Puteri Lindungan Bulan. Ini kerana kisah Puteri Lindungan Bulan jarang ditonjolkan. Malah, ada yang tidak tahu makam beliau wujud di Kota Seputih, tidak kurang juga yang menganggap ia sekadar cerita dongeng.
“Jadi, PSMCK beranggapan sudah sampai masanya pihak-pihak berkaitan memainkan peranan untuk ‘memperkenalkan’ siapa sebenarnya Puteri Lindungan Bulan. Ia penting kerana kisahnya berkait rapat dengan susur galur sejarah Kesultanan Kedah lama.
“Selain dokumentasi serta penerbitan buku berkaitan hal berkenaan, PSMCK berharap ada usaha kerajaan untuk mengetengahkan sejarah ini dengan menjadikan Kota Seputih di mana letaknya makam Puteri Lindungan Bulan sebagai destinasi perlancongan sebagaimana dilakukan ke atas makam Mahsuri di Langkawi.
Buku-buku berkaitan sejarah negeri Kedah termasuk Kota Seputih Lindungan Bulan diterbitkan sebagai bahan rujukan sejarah.
“Selain makam Puteri Lindungan Bulan, masih terdapat sedikit sebanyak kesan sejarah peninggalan kesultanan Kedah di Kota Seputih yang boleh dijadikan tarikan pelancong di samping dapat mempromosi kehidupan serta kebudayaan setempat.
“Dulu-dulu, setiap kali selepas hujan, penduduk di sini akan menjumpai syiling lama yang mana membuktikan masih terdapat barang-barang peninggalan sejarah di kawasan ini.
“Kami yakin jika tempat ini dinaik taraf sebagai hab pelancongan, ia bukan sahaja mampu mengangkat sejarah Kesultanan Kedah melalui kisah Puteri Lindungan Bulan malah ia turut akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
“Kami sendiri dengan kerjasama Muzium Negeri Kedah sudah mempunyai perancangan untuk mempromosi tempat ini namun keadaan Covid-19 yang sedang melanda sekarang menyebabkan ia tertangguh,” kata Dr Ibrahim.
Menyingkap kisah Puteri Lindungan Bulan, menurut kajian, dia yang nama sebenarnya adalah Tengku Zaleha merupakan puteri kepada Sultan Sulaiman Shah 1 yang memerintah Kedah pada kurun ke-16.
Selain Tengku Zaleha, baginda memiliki seorang lagi puteri bernama Tengku Mariam. Namun nama Tengku Zaleha lebih menjadi buah mulut kerana mempunyai kecantikan luar biasa, malah didakwa memiliki keistimewaan seperti Mahsuri iaitu berdarah putih.
Kisah kecantikan rupa paras Tengku Zaleha serta keistimewaannya yang mempunyai darah putih menjadi buah mulut bukan sahaja dalam kalangan rakyat Kedah malah tersebar hingga ke seluruh Nusantara.
Ia telah menarik perhatian raja kerajaan Samudera-Pasai (yang merupakan sebahagian daripada Aceh), Sultan Zainul Abidin Malikul Dzahir apatah lagi selepas nujum yang menilik mimpi baginda memberitahu dua gadis yang muncul daripada sekuntum bunga melur gergasi sebagaimana dalam mimpi baginda adalah puteri kepada Sultan Sulaiman.
Ia membuatkan Sultan Zainul Abidin berhasrat memperisterikan Tengku Zaleha lalu menghantar rombongan peminangan.
Walaupun hasrat itu dipenuhi Sultan Sulaiman namun tanpa pengetahuan Sultan Zainul Abidin, baginda bertindak menukar Tengku Zaleha dengan Tengku Mariam kerana tidak rela puteri bongsu yang disayanginya menjadi isteri Raja Acheh.
Namun, selepas perkahwinan, rahsia itu terbongkar menyebabkan Sultan Zainul Abidin sangat murka.
Shaarani menunjukkan nota susur galur kesultanan Kedah yang dikaitkan dengan Puteri Lindungan Bulan ketika dikunjungi penulis pada 2017.
Menurut pengkaji sejarah, Datuk Shaarani Hassan sebagaimana dilaporkan oleh Harian Metro pada 2017 lalu, terdapat dua versi bagaimana rahsia itu boleh terbongkar.
“Versi satu menyebut bahawa Tengku Mariam terpotong jarinya ketika memotong sayur untuk dimasak dan mengeluarkan darah merah bukan putih.
“Cerita kedua dia terpotong jari semasa mengacip pinang. Pada saya versi kedua lebih logik kerana tidak mungkin seorang permaisuri raja disuruh memotong sayur.
“Walau bagaimanapun cara rahsia itu terbongkar tetap sama iaitu Tengku Mariam terpotong jarinya sehingga Sultan Zainal Abidin tahu bahawa dia bukan Tengku Zaleha yang dikatakan berdarah putih,” kata Shaarani.
Walaupun ketika itu bulan mengambang terang namun pintu masuk ke kubu persembunyian puteri itu menjadi gelap sehingga tentera Samudera-Pasai tidak dapat mengesannya."
Akibat terlalu murka ditipu Sultan Sulaiman, Raja Samudera-Pasai (yang merupakan sebahagian daripada Aceh) menyerang Kedah. Namun, Sultan Sulaiman sempat menyembunyikan Tengku Zaleha di dalam kubu yang dibina.
Sehingga serangan itu berakhir, tentera Samudera-Pasai gagal menemui Tengku Zaleha.
“Walaupun ketika itu bulan mengambang terang namun pintu masuk ke kubu persembunyian puteri itu menjadi gelap sehingga tentera Samudera-Pasai tidak dapat mengesannya.
“Berasaskan peristiwa inilah, lahirnya nama gelaran Puteri Lindungan Bulan kepada Tengku Zaleha. Malah dia dikatakan meninggal dunia di dalam kubu tersebut,” cerita Shaarani.
Mengenai kesahihan makam Puteri Lindungan Bulan yang terletak di atas sebuah bukit di Kota Seputih, baik Shaarani mahu Dr Ibrahim tidak dapat mengesahkannya ia adalah makam sebenar Tengku Zaleha.
“Kita tak dapat mengesahkan seratus peratus bahawa ia adalah makam Tengku Zaleha tapi berdasarkan latar belakang sejarah, ia diyakini sebagai makam beliau,” kata Dr Ibrahim.
Namun, menurut Shaarani, apa yang penting berdasarkan kajian ahli sejarah, daerah itu dulu memang merupakan pusat pemerintahan negeri Kedah pada abad ke-16. Dan kisah Puteri Lindungan Bulan memang benar, bukan rekaan atau dongengan walaupun ada sedikit tokok tambahnya. - KitaReporters