Kenderaan polis membawa keluar mayat Yaacob Lateh dari hutan Kampung Bukit Payong untuk dibawa ke Hospital Besut
MISTERI kehilangan seorang warga emas yang tular dalam media sosial sejak enam hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam hutan di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Yaacob Lateh, 83, yang menetap di Kampung Lubuk Kawah, dekat Jertih, Terengganu, dilaporkan hilang pada Ahad 4 Julai 2021.
Yaacob Lateh
Operasi cari warga emas hilang diteruskan! SAR tertumpu di kawasan hutan berbukit Hulu Besut!
Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan mencari dan penyelamat (SAR) kira-kira jam 4.45 petang pada Jumaat 9 Julai 2021 iaitu hari keenam mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad yang turut hadir di lokasi penemuan mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang pada Ahad lalu berdasarkan keterangan keluarga yang menggambarkan bentuk badan dan pakaian yang dipakai mangsa ketika keluar dari rumah.
Abdul Rozak Muhammad
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat warga emas itu telah dihantar di Hospital Besut untuk pengesahan COVID-19 sebelum diserahkan kepada keluarga.
Menurutnya, mayat
itu ditemui dalam keadaan terbaring dan masih berpakaian baju-T dan berkain
pelikat tetapi sudah berbau.
Abdul Rozak berkata, polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), RELA dan Jabatan Amal Malaysia serta penduduk kampung mula melancarkan gerakan mencari pada jam 9 pagi, Selasa 6 Julai 2021.
“Pencarian mangsa turut membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Netizen mengucapkan takziah menerusi media sosial
Kehilangan mangsa menarik perhatian penduduk setempat selepas ia tular dalam media sosial menyebabkan ramai netizen bersimpati dan mendoakan keselamatan warga emas berkenaan.
Mangsa yang mengalami masalah lemah daya ingatan, dikatakan keluar rumah dengan menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna hitam dengan memakain baju-T lengang panjang kuning, kain pelikat dan kopiah.
Pada hari kedua mangsa dilaporkan hilang, orang awam menemukan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa di tepi jalan di Kampung Bukit Mali, Hulu Besut.
Penemuan motosikal berkenaan memberi petunjuk kepada usaha pasukan mencari dan penyelamat melakukan fokus operasi pencarian di kawasan sekitar dan mayat mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari tempat motosikal milik mangsa. - KitaReporters
Ucapan daripada netizen.