Insan & Komuniti 06 Jan, 2022

Tiada lagi Hamid Ramli! Striker bertukar jadi goalie emas SEA 1979! Pesaing Spiderman Arumugam!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

AKSI Abd. Hamid Ramli (kanan), penjaga gol Kelantan menangkis asakan lawan dalam Piala Malaysia.


PINGAT emas Sukan SEA Jakarta 1979 hampir sahaja tercicir daripada kalungan Abd. Hamid Ramli dan rakan sepasukan negara di Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Penjaga gol ini terlepas tolakan bola ke belakang oleh bek kanan, Jamal Nasir Ismail (Datuk) sebelum kapten yang juga bek tengah, Soh Chin Aun (Datuk) nekad dan pantas menangkisnya keluar.

Mujurlah Malaysia tetap memastikan kejuaraan bola sepak temasya serantau dwitahunan tanggal 30 September 1979 hasil jaringan tunggal 'Supermokh' Mokhtar Dahari (Allahyarham Datuk) pada minit ke-21 di depan 85,000 penyokong Si Merah Putih.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penjaga gol

ABD. Hamid Ramli turut mempunyai adik, Abd. Halim juga penjaga gol Kelantan. Gambar terkini (bawah). - Kredit foto: KUFC



KERATAN akhbar tempatan yang memaparkan profil Abd. Hamid Ramli. - Kredit foto: BH


“Saya di luar posisi sedangkan Jamal tidak menyedari posisi saya ketika mengumpannya. Mujurlah Chin Aun sempat menyekat gol sendiri itu. Terima kasih kepada kapten kita itu,” katanya, dipetik daripada sebuah temu bual dengan akhbar Berita Harian. 

Juga di barisan benteng pasukan negara yang dilatih Mohamad Bakar (Allahyarham Datuk) ialah Santokh Singh (Datuk) dan D. Devandran (Allahyarham Hanis Devandran Abdullah) selain pertahanan serba boleh, Wan Jamak Wan Hassan.

Tidak ketinggalan dalam koleksi kejayaan Hamid termasuk pingat kejuaraan Pestabola Merdeka 1976 dan 1979 (johan bersama). 

Dia jugalah anggota skuad negara yang beraksi secara merit (menerusi kelayakan) dalam pusingan akhir Piala Asia 1976 di Iran dan Kuwait, 1980, masing-masing di bawah bimbingan M. Kuppan (mendiang Datuk) dan Mohamed Che Su (Allahyarham).


ABD. Hamid Ramli (kanan, barisan tengah) bersama pasukan Piala Malaysia Kelantan 1981. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan


Hamid yang sepasukan dengan ‘Spiderman’ mendiang Datuk R. Arumugam, meninggal dunia kira-kira pukul 3.02 pagi 5 Januari 2022 di kediamannya di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Fatimah Wati Dahlan, 62 dan lapan anak.  

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 68 tahun akibat komplikasi jantung selepas mengalami masalah sesak nafas sebelah malam (4 Januari 2022), kata anak keempatnya, Mohd. Zaki Abd. Hamid, 38.

Hamid dilahirkan di Kampung Merbau, Kota Bharu tanggal 9 April 1953. 


KELANTAN FC merakamkan ucapan takziah atas kembalinya Abd. Hamid Ramli ke rahmatullah. - Kredit foto TRW


“Dia dibenarkan keluar Hospital USM, Kubang Kerian kira-kira pukul 6.30 petangnya (4 Januari 2022) dan dalam sejam dua kemudian di rumah, mengalami sesak nafas dan tertahan-tahan.

“Pada 2019, dia juga pernah mengalami masalah jantung tersekat dan menjalani rawatan angiogram tanpa menjalani apa-apa pembedahan,” katanya.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gati, Tanjung Cat, Kota Bharu kira-kira pukul 11.30 pagi 5 Januari 2022.  

Anak sulung daripada lima bersaudara ini turut mempunyai adik, Abd. Halim Ramli yang juga bekas penjaga gol Kelantan. 


ABD. Hamid Ramli (berdiri, lapan dari kiri) anggota skuad juara Pestabola Merdeka 1976. Supermokh dan Kuppan (berdiri, empat dan lima dari kanan), manakala R. Arumugam (depan, lima dari kiri). 


Pada 15 Julai 1979, Hamid, Arumugam dan barisan pemain yang hampir sama dalam Sukan SEA, berkongsi kejuaraan Pestabola Merdeka Ke-23 setelah diikat Korea Selatan B 0-0 sehingga masa tambahan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Hamid juga menganggotai skuad juara Pestabola Merdeka Ke-20 setelah dua jaringan Mokhtar menumbangkan Jepun 2-0 pada perlawanan akhir juga di stadium itu tanggal 22 Ogos 1976.

Dalam era akhir 70-an hingga awal 80-an, posisi penjaga gol utama Malaysia miliknya selain Arumugam, turut disaingi Lim Chuan Chin, Ong Yu Tiang (mendiang), Peter Rajah (mendiang) dan Rashid Hasan.


ABD. Hamid Ramli dan 'Spiderman' Arumugam (berdiri, enam dan tujuh dari kiri) saling bersaing bagi posisi penjaga gol utama pasukan kebangsaan. Jamal Nasir Ismail (depan, kiri) dan Soh Chin Aun (berdiri, dua dari kanan) - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan


Mohamed Che Su, bekas jurulatih Kelantan dan penolong jurulatih skuad Sukan SEA 1979 mula-mula mengasah bakat dan mengubah posisi Hamid daripada sebagai penyerang Kelab Persatuan Pemandu Kelantan.

Hamid mulai mengawal gawang Kelantan pada 1972 dalam Piala Burnley (kemudiannya Piala Razak - kejohanan remaja bawah 19 tahun kebangsaan), kemudian Piala Malaysia selepas kerap berlatih melompat tinggi untuk menguasai perebutan bola di udara biarpun dia agak rendah.

Arena Piala Malaysia 70-an dan 80-an sering menyaksikannya dalam pasukan Kelantan di samping Nik Fauzi Hassan, Mahadi Yussof, Kamaruddin Mohd. Nor, Yassin Mohd. Noor, Nik Salleh Nik Man, Nordin Hassan, Ramli Abdullah, Salim Mahmud Muhaidin serta Wan Ab. Aziz Wan Ahmad.

Sebaik sahaja menggantung but, Hamid beralih sebagai jurulatih penjaga gol negeri kelahirannya selain Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Muda Naza, Polis Diraja Malaysia dan Negeri Sembilan dalam Liga Super dan Perdana serta yang terakhir, Tok Janggut Warriors, sebuah kelab Liga M4. - KitaReporters


ABD. Hamid Ramli (dua dari kanan) mencurahkan ilmu, kemahiran dan pengalaman penjaga golnya kepada kelab Liga M4, Tok Janggut Warriors. - Kredit foto: KUFC

13
14
0
10
0
You will be interested