Insan & Komuniti 14 Jun, 2020

PKP, PKPB tamat! Agong, Permaisuri santuni rakyat memerlukan

@zamzurina ahmad
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan berpengalaman selama 11 tahun dengan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Pulau Pinang, Kedah dan Pahang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Putra Malaysia.

Share this

SEBAIK sahaja berangkat ke Kuantan buat kali pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) berakhir pada 9 Jun 2020, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat bercemar duli menziarahi golongan memerlukan di Kampung Bukit Kuin, Kuantan, Pahang pada Sabtu, 13 Jun 2020. : KitaReporters

Perkara pertama dilakukan oleh Seri Paduka Baginda selepas PKP


Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dilihat memandu sendiri bersama Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj  dan diiringi paduka-paduka anakanda dalam sebuah kenderaan pada pukul 2.30 petang menuju ke rumah golongan memerlukan itu dengan mengetepikan protokol.

Tuanku berdua bersama tiga anakanda, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah menziarahi empat individu di kampung berkenaan.


 

Tujuan utama kedua-dua baginda berkenan melakukan program Ziarah Kasih kepada penduduk yang kurang berupaya adalah untuk bertanya khabar dan melihat sendiri kesukaran yang dialami.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi di samping memberi kata-kata semangat agar mereka terus cekal dalam meneruskan kehidupan ini dalam keadaan serba kekurangan.


Seorang penerima yang ditemui, Rohani Mohd. Noor, 56, yang merupakan seorang balu berkata dia pada mulanya tidak percaya apabila dimaklumkan sehari sebelum kunjungan itu bahawa pasangan diraja bakal mencemar duli ke rumahnya.

"Sungguh saya tidak percaya kerana beranggapan mana mungkin 'orang besar' akan berbuat demikian. Agong dan Permaisuri pula. 

"Namun, hari ini memang saya terkejut dan rasa cukup bertuah," katanya.


Turut menerima ziarah kasih ialah penduduk orang kelainan upaya (OKU), Faratun Naim Mi, 47, yang mengakui terharu apabila Al-Sultan Abdullah secara spontan menitahkan supaya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberikan kerusi roda baharu kepadanya selepas melihat kerusi roda yang digunakan. 

"Saya beritahu kerusi roda saya masih elok tapi baginda tetap mahu mengurniakan yang baharu. 

"Tunku Azizah yang mendengar terus mencadangkan supaya kerusi roda asal digunakan untuk melasak manakala yang baharu dibuat melaram. 

"Saya gemuruh juga bila dimaklumkan mengenai kehadiran Seri Paduka berdua ke sini kerana bimbang jika tersalah cakap tapi keperibadian baginda berdua yang ramah menyebabkan semua rasa itu hilang," katanya. 

Faratun Naim berkata baginda berdua juga menasihatkannya agar terus cekal dan bersemangat selepas disembah maklum bahawa dia masih melakukan pelbagai kerja, termasuk memotong rumput walaupun berkerusi roda. 

Faratun Naim berkata dia lumpuh dari aras pinggang ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada usia 21 tahun dan kini tinggal berdua dengan ibunya, Zaleha Abdullah, 75, di Bukit Kuin 1. - KitaReporters 

 

8
0
0
0
0
You will be interested