JADUAL musim haji pada tahun 2020 Masihi bersamaan 1441 Hijrah ini masih lagi menjadi persoalan sama ada diteruskan atau ditangguhkan secara rasmi. Namun peningkatan penularan pandemik COVID-19 ini, dengan jumlah mereka yang positif sudah melepasi angka 1 juta dan jumlah korban pula melebihi 53,000 orang, kemungkinan besar musim haji kali ini ditangguh amat besar. : KitaReporters
Kredit foto: IG @masjidilharam (https://www.instagram.com/masjidilharam/)
Baru-baru ini, Kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten telah meminta kerajaan Islam dan jemaah haji menangguhkan dulu semua persiapan serta tempahan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ini katanya, berikutan langkah-langkah keselamatan yang dilakukan di kedua-dua kota suci Islam di Arab Saudi bagi mengekang penularan wabak penyakit Covid-19 yang berkemungkinan besar boleh berjangkit kepada jemaah haji.
Makluman penangguhan sementara haji itu, turut disahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary yang menyatakan kerajaan Malaysia akur dengan arahan serta nasihat daripada kerajaan Arab Saudi itu.
"Kita tunggu dan lihat dulu perkembangan selanjutnya. Manalah tahu mungkin ada perubahan positif kemudian
hari." komen beliau ketika mengulas keputusan Arab Saudi ketika ini.
Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan memaklumkan kepada semua pihak termasuk agensi-agensi berkaitan sebelum keputusan muktamad diberikan kepada jemaah haji pada tahun ini.
Penangguhan ibadat haji kali ini, bukanlah pertama kali kerana pernah berlaku sebelum ini akibat wabak penyakit.
Ibadah haji telah ditangguhkan pada tahun 1821 dan 1865 akibat wabak kolera yang telah mengorbankan sehingga 20,000 orang dan 15,000 orang bagi kali kedua.
Pada 2012, Arab Saudi pernah dikejutkan dengan penularan wabak penyakit Sindrom Pernafasan Timur
Tengah (MERS) serta mengorbankan ratusan orang.
Kali ini, bumi Anbiya itu turut dilanda ancaman pandemik penyakit Koronavirus-2019 (Covid-19) dengan lebih 1,800 kes positif telah dilaporkan dan 21 kematian direkodkan di Arab Saudi.
Setiap tahun, seramai lebih 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia akan datang berkumpul di Mekah serta Madinah dan tahun ini, ibadat haji akan bermula pada Julai 2020. - KitaReporters
Yang kita sembah hanya Allah Subhanahu Wata’ala bukan Ka’bah. Jadi jangan berputus asa dari rahmat Allah. - Kredit foto: IG @masjidilharam